22 Disember 2024, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Kejayaan Program Semarak Monsun Puisi dan penglibatan proaktif anak muda sebagai ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan dalam setiap aktiviti dan kegiatan sastera yang dijalankan sepanjang tahun ini amat membanggakan.

Demikian ucapan Ketua DPMP Kawasan Kuantan, Tuan Haji Mat Nordin Mat Salleh dalam Program Semarak Monsun Puisi yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Agung DPMP Kawasan Kuantan 2024 bertempat di Pusat Warisan Intelek Negeri Pahang, Aras 2 Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP).

Menurut Setiausaha DPMP Kawasan Kuantan, Ahmad Farihan Abdul Manan pula, penglibatan aktif ahli-ahli DPMP Kawasan Kuantan didorong oleh penubuhan sayap penulis muda dan sayap remaja yang menjadi nilai tambah dalam menarik lebih ramai anak muda mendekati dunia puisi, gurindam, syair serta teater.

Barisan tetamu kehormat bergambar bersama-sama dengan peserta yang hadir dalam Program Semarak Monsun Puisi bersempena dengan Mesyuarat Agung DPMP Kawasan Kuantan 2024.

Perasmian program tersebut dilaksanakan oleh YB Dato Sri Shafik Fauzan Sharif, merangkap Wakil Rasmi YB Dato Ir. Razali Kassim, Exco Kerajaan Negeri Pahang yang menegaskan tentang kepentingan kewajipan solat dan menggunakan penulisan dan puisi sebagai dakwah secara tidak langsung ke arah kebaikan.

“Di samping kita mengadakan aktiviti sastera dan penulisan, jangan lupa mengingatkan ahli ke arah kebaikan dan mendekatkan diri dengan Sang Pencipta melalui tulisan dan puisi. Karya tersebut seharusnya mengajak manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, kerana kita bertanggungjawab atas apa yang ditulis.”

Program tersebut dihadiri oleh hampir 80 orang peserta program yang merupakan ahli DPMP Kawasan Kuantan dan pelajar dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) serta golongan belia di sekitar Kuantan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden DPMP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mansor Abdullah; Naib Presiden DPMP, Tuan Haji Asmui Mustapha dan Penolong Setiausaha DPMP, Nasrul Isyam Abdul Hamid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.