Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Abang Patdeli Abang Muhi. Beliau Sasterawan Sarawak ke-6 dan merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.01/2023. Cari dan telaah buku pilihannya dan pengalaman bacaannya.
Buku yang dibaca sekarang | Saya membaca banyak buku setiap bulan, dan setiap hari saya membaca, khususnya buku rujukan untuk saya siapkan makalah, artikel, manuskrip, dan esei yang ditugaskan kepada saya. Di samping itu, saya membaca buku puisi dan novel. Kini saya sedang membaca novel falsafah alegori Hayy Bin Yaqzan karya agung Ibn Tufail yang diterjemahkan oleh Ahmad Muziru Idham Adnan, dan membaca beberapa buah buku biografi, termasuk Riwayat Ungku Aziz oleh Asmah Haji Omar serta buku Tunku: Kelana Penuh Cinta oleh Kobkua Suwannathat-Pian.
Saya membaca buku puisi dan novel yang pada pandangan saya wajar dibaca, lebih-lebih lagi yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, seperti karya yang dikarang oleh para Sasterawan Negara kita, Sasterawan Negeri kita, penerima SEA Write Award kita, dan karya yang memenangi pelbagai hadiah sayembara dan sebagainya, termasuk yang dikarang oleh para sasterawan dari mancanegara di dunia, termasuk karya penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan. Tentu sahaja saya membaca dan menelaah buku-buku tersebut untuk memperkaya ilmu pengetahuan dalam pelbagai genre, sekali gus memperkukuh kepengarangan saya.
Buku yang digemari sepanjang hayat | Sejujurnya, tidak ada satu buku khusus yang saya gemari sepanjang hayat. Namun begitu, novel yang masih lagi segar dalam ingatan saya, dan berkemungkinan besar mempengaruhi saya untuk menjadi penulis, kerana buku-buku itulah yang julung-julung kali didedahkan kepada saya, dan merupakan novel atau buku drama yang dibaca dan ditelaah secara mendalam. Novel satira Animal Farm oleh George Owell, Great Expectations oleh Charles Dickens, Julius Caesar oleh Shakespeare, dan Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Anantoer.
Sekitar awal tahun 1990-an, baru saya menyedari bahawa keempat-empat mereka ialah sasterawan besar dunia. Seingat saya, dan sekitar akhir tahun 1970-an, saya membaca novel Sungai Mengalir Lesu dan Salina karya A. Samad Said. Kesemua buku tersebut sarat dengan nuansa politik yang saya kira sangat mempengaruhi kepengarangan saya, dan kalau diteliti karya-karya saya, baik cerpen, puisi mahupun drama, kebanyakannya mengangkat tema politik. Maka, saya menggemari novel atau buku yang ada nuansa politiknya.
Penulis kegemaran sepanjang zaman | Terus terang saya katakan yang saya tidak ada satu-satunya penulis yang digemari sepanjang zaman, tetapi saya gemar membaca karya-karya Shahnon Ahmad, dan telah membaca kesemua karyanya, termasuk buku Weltanschauung: Suatu Perjalanan Kreatif yang selalu saya rujuk untuk menyiapkan esei-esei kritikan dan makalah saya. Buku ini sangat sarat dan kaya dengan proses kreatif serta pengalaman panjang kepengarangan Shahnon, sangat wajar dibaca oleh mereka yang menekuni bidang kesusasteraan. Saya juga pernah membicarakan dan mengkritik novel Shit. Justeru, dalam kalangan penulis yang saya gemari, penulis yang lebih saya tekuni karya-karyanya ialah Shahnon Ahmad, Pramoedya Ananta Toer dan Hamka.
Watak dalam karya sastera yang digemari | Sukar juga bagi saya hendak mengatakan secara khusus watak yang mana, namun saya amat menggemari watak Jeha dan Sanah dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan yang menggambarkan kekentalan serta ketabahan wanita Melayu yang berjaya menempuh dan mengatasi pelbagai masalah dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Jeha dan Sanah memperlihatkan nilai tinggi wanita Melayu yang tidak mudah menyerah kalah, malah Jeha watak wanita Melayu yang taat beragama, walaupun hidupnya sebagai ibu tunggal dihimpit kemiskinan dan dihadapkan dengan pelbagai masalah yang menguji kesabaran dan keimanannya.
Genre penulisan yang seronok dibaca sekarang | Sedari dahulu, saya seronok membaca novel, walaupun tentu sahaja saya juga seronok membaca buku ilmiah dan separa ilmiah berkaitan falsafah, sosiobudaya dan sosiopolitik.
Buku yang selalu diulang baca | Saya mengulang baca novel Madu dalam Saringan karya Kamala Markandaya yang diterjemahkan oleh Mokhtar Ahmad.
Buku yang menjadikan saya seorang penulis | Sebenarnya, saya tidak dapat menyatakan buku mana yang benar-benar telah menjadikan saya sebagai seorang penulis, kerana semuanya bergantung pada genre yang mula-mula diceburi oleh seseorang penulis. Saya menulis esei, dan esei itu menang, tanpa membaca buku yang khusus, melainkan membaca majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan saya pun tidak berapa ingat buku lain yang saya rujuk di perpustakaan sekolah kami yang sangat daif ketika itu.
Mungkin pendedahan saya pada Literature in English, dan beberapa karya besar oleh pengarang dunia seperti yang disebut sebelum ini, selain membaca beberapa ulasannya, yang secara tidak langsung menumbuhkan minat serta keinginan untuk saya menulis.
Barang diingat, buku pertama saya baca ialah Kerana Budi (DBP, 1995) yang menghimpunkan 10 buah skrip drama radio saya yang pernah diterbitkan oleh RTM, Kuching dari tahun 1986 – 1990, tanpa merujuk atau membaca mana-mana buku yang mengandungi skrip drama radio, bahkan tidak pernah menghadiri mana-mana bengkel penulisan. Kejayaan saya menulis skrip drama radio merupakan titik tolak kejayaan saya seterusnya dalam penulisan cerpen dan puisi, serta skrip drama pentas dan bangsawan.
Sementara itu, dalam genre cerpen, saya menjadi cerpenis hasil daripada Bengkel Penulisan Cerpen yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak dalam tahun-tahun akhir 1980-an di Santin Resort pada ketika itu. Pada waktu itulah saya buat pertama kalinya diperkenalkan dengan proses dan kaedah menulis cerpen secara formal. Dan, cerpen yang sangat memberi kesan kepada saya ialah “Robohnya Surau Kami” karya A.A. Navis yang dibengkelkan itu, dan gaya penulisannya banyak mempengaruhi saya sehinggalah saya mempunyai gaya kendiri dalam penulisan cerpen.
Dunia bacaan ketika kanak-kanak | Saya lahir dan membesar nun jauh di pesisiran laut dalam keluarga yang serba kekurangan, dan kampung halaman yang serba daif daripada pembangunan—tiada bekalan elektrik, tidak ada bekalan air bersih, tidak ada rangkaian jalan raya berturap (untuk ke pekan kecil dan ke bandar Kuching, kami perlu melalui sungai dan laut), dan kemudahan perpustakaan jauh sekali.
Ibu bapa saya tidak bersekolah. Maka, dalam zaman kanak-kanak, saya tidak membaca mana-mana buku, melainkan buku teks sekolah rendah dalam bahasa Inggeris. Mungkin yang menyemaikan benih minat pada seni dan sastera itu tanpa disedari ialah cerita-cerita rakyat sebelum tidur yang didengar daripada ibu dan emak saudara saya.
Dalam zaman kanak-kanak saya, saya banyak menonton filem Cina, Hindustan, animasi Jepun, dan filem lama Melayu yang ditayangkan di panggung wayang (sekolah Cina) di kampung saya yang menumbuhkan minat pada seni di jiwa saya. Dalam zaman kanak-kanak dan semasa di sekolah menengah rendah, saya juga sering mendengar siaran Drama dalam Syair yang disiarkan oleh RTM, Kuching, selain drama lain yang turut disiarkan secara berkala oleh stesen—tentu sahaja semua pengalaman itu telah memberikan kesan, sekali gus mendorong saya untuk meminati seni dan kesusasteraan.
Buku bukan fiksyen yang disukai | Sebenarnya, banyak buku bukan fiksyen yang saya sukai. Antaranya termasuk The Malay Dilema oleh Tun Dr. Mahathir, Long Walk to Freedom (autobiografi Nelson Mandela), Jalan Yang Lurus oleh Kassim Ahmad, Ensiklopedia Soal Jawab Agama, Perangai Bergantung pada Diri Sendiri oleh Pendeta Za’ba, Lembaga Hidup oleh Hamka, Jalaluddin Rumi oleh Anom Whani Wicaksono, dan beberapa judul buku yang ditulis oleh tokoh bahasa, sastera, agama, sains sosial, serta sains politik yang lain.
Pokoknya, saya memang cenderung membaca buku politik atau yang berunsur politik kerana dunia politik sarat dengan pelbagai tema, peristiwa, gejala, dan persoalan yang boleh digarap dalam karya kita. Buku sejarah juga saya suka, antaranya termasuk Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (ada lima jilid kesemuanya) yang dihadiahkan oleh Datuk Dr. Haji Jeniri Amir kepada saya. Saya sentiasa membacanya, malah menjadi sumber rujukan yang sangat berharga kepada saya.
Buku yang teringin dibaca | Saya ingin sangat membaca buku Historical Fact and Fiction oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas yang ada dalam koleksi buku saya, tetapi belum ada kesempatan untuk membacanya.
Rancangan bacaan seterusnya | Sesungguhnya, saya memang banyak membaca, dan setiap hari saya membaca buku (termasuk al-Quran). Saya juga menulis setiap hari, dan membeli buku setiap bulan. Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk mengekalkan semangat membaca saya agar tidak menurun, dan tekad saya, sekurang-kurangnya selesai membaca tiga atau empat judul buku karya kreatif sebulan, tidak termasuk beberapa buku rujukan yang memang saya baca dan telaah dari semasa ke semasa.
Rak buku atau pustaka? | Saya hanya ada rak buku, dan ruang rumah tidak membolehkan saya mempunyai pustaka. Rak buku itu berada di ruang tamu, dan bilik khas di rumah saya di Seri Kembangan, Selangor. Rak di rumah saya di Kuching juga penuh dengan buku.
Beli buku tulisan sendiri? | Saya memang membeli buku tulisan sendiri, terutamanya kumpulan cerpen Urip dan novel Hati Emas untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang saya mahu berikan.
Selera pembacaan | Saya membaca (dan membeli) semua genre buku yang saya fikirkan perlu dan wajar saya baca. Saya membaca puisi, cerpen, novel, drama, dan buku bukan fiksyen, termasuk buku rujukan dan agama yang saya kira perlu saya baca, baik untuk memenuhi minat membaca saya mahupun untuk tujuan memperkaya minda dan ilmu pengetahuan saya. Tentu sahaja semakin usia kita meningkat, selera membaca kita pun turut berubah. Tetapi yang penting kita tidak malas membaca.
Suasana ideal untuk membaca | Saya membaca tidak mengira suasana, tetapi tentu sahaja bukan dalam suasana yang riuh-rendah, berbau, panas, dan rimas. Saya boleh sahaja membaca dengan duduk di depan televisyen, berbaring, di dalam kapal terbang, dan pada waktu siang, malam, tengah hari, malam, atau tengah malam. Yang penting, saya membaca setiap hari, dan bukan mengikut angin.
_________________________
Kenali Abang Patdeli Abang Muhi (Dr.) dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.01/2023.