16 September 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Wakil tuan rumah, iaitu peserta dari Selangor, Ahmad Sai’dun Mohamad Mokhtar telah menjadi johan dalam pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SPDAHM) Ke-5 Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.

Beliau telah mengalahkan 13 lagi peserta yang diadakan di Dewan Karangkraf Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Tempat kedua pula milik Nor Atiekah Hidayah Hussain, peserta dari Terengganu dan tempat ketiga dibolot oleh Zainatul Shuhaida Abdul Rahman (Perlis).

Mereka bertiga telah membawa pulang hadiah yang lumayan, iaitu sebanyak RM 2000, RM 1500 dan RM 1000 serta hadiah iringan.

SPDAHM ini merupakan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Media Karangkraf.

Matlamat sayembara ini diadakan untuk memupuk dan mencerminkan bait-bait puisi bercitrakan kemakmuran serta keharmonian negara Malaysia.

Sebelum itu, majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Dalam ucapan, beliau menyatakan kegiatan sastera seperti deklamasi puisi ini juga penting dilaksanakan dalam mengisi dan memupuk semangat cinta akan tanah air.

“Sastera berupaya menjadi pengimbang antara tuntutan fizikal dan nilai insani”

“Masyarakat yang memahami pentingnya sastera dalam kehidupan, seperti menghidupkan ruang pemikiran dalam memajukan diri dan negara.” Ujar beliau lagi.

Malahan, beliau turut mencadangkan program sedemikian boleh dijadikan produk pelancongan agar kegiatan sastera, seni dan budaya dapat menarik pelancong luar hadir dan memaparkan sisi Malaysia yang harmoni.

Oleh itu, TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri Melaka untuk bekerjasama dengan PEMUISI dan pelbagai pihak dalam melaksanakan Festival Puisi Antarabangsa yang akan diadakan di negeri itu tahun hadapan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, YB Dato’ Borhan Ahmad Shah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustapa; Penasihat Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Haji Nasir bin Hamzah; YBhg. Kapten Dato; Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Penasihat Program; Presiden PEMUISI Dato’ Radzuan Ibrahim dan Encik Hashim Merana Anang, Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf.

Kredit Foto: Mohd Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.