Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMiri – “Kepelbagaian etnik dan kerencaman bahasa yang terdapat di Sabah, Sarawak dan Brunei memperkukuhkan lagi pandangan bahawa Wilayah Borneo memiliki kekayaan khazanah karya sastera yang menarik untuk dibaca dan dikaji.”
Perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucaptama Dialog Teluk ke-11 di Hotel Dynasty, pagi tadi.
Beliau menjelaskan bahawa khazanah karya sastera yang dicipta oleh para penulis Wilayah Borneo datang daripada sastera rakyat etnik masing-masing, yang cukup kaya dengan nuansa sosial dan budayanya.
“Sastera rakyat merupakan bentuk sastera yang terawal dicipta oleh sesuatu kelompok masyarakat melalui lisan dan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Perkara ini ditambah dengan kepelbagaian etnik telah menyebabkan bahasa dan sastera berkembang baik, contohnya di Sarawak sahaja, direkodkan mempunyai 44 hingga 46 bahasa yang mempunyai ceritanya sendiri,” jelas beliau.
Selain itu, Dr. Hazami juga menyentuh tentang citra kearifan tempatan dalam karya sastera moden yang menyemarakkan lagi nilai isi kandungan sastera.
Sastera moden berbentuk prosa atau novel banyak ditonjolkan oleh penulis di Wilayah Borneo, misalnya Sasterawan Negeri Sarawak keempat, Jong Chian Lai, menghasilkan karya yang mengangkat budaya dan amalan masyarakat Cina.
Novel Jong Chian Lai, iaitu Ah Fook, memaparkan amalan membalut kaki dalam kalangan perempuan Cina sejak kecil sehingga dewasa kerana tunduk dan memenuhi kerangka tradisi masyarakatnya.
Selain itu, Amil Jaya, penulis dari Sabah juga turut memanfaatkan medium sastera moden dalam mengangkat kearifan tempatan masyarakatnya.
“Novel Amil Jaya, Bagaton dan Ngayau dengan jelas mengemukakan latar tempat, budaya dan pemikiran dua suku kaum di Sabah, iaitu kaum Dusun dan Bajau yang terkenal dengan mengamalkan tradisi ngayau atau memburu kepala manusia.
“Dalam tradisi tersebut, pemuda yang memperoleh kepala manusia akan mendapat penghormatan daripada kaumnya dan disukai oleh kaum wanita bujang kerana melambangkan keberanian dan jaminan bahawa lelaki tersebut mampu menjaga keselamatan wanita yang dikahwininya,” jelas Dr. Hazami lagi.
Sementara itu, antara penulis di Negara Brunei Darussalam yang banyak mengetengahkan kearifan tempatan dalam karya mereka termasuklah Muslim Burmat.
Novel Muslim Burmat, seperti Pohon-pohon di Alps, Lari Bersama Musim dan Puncak Pertama banyak mengetengahkan persoalan budaya, kegiatan ekonomi dan moral masyarakat Brunei.
Sebelum mengakhiri ucapanya, Dr. Hazami Jahari berharap agar kisah yang terselit dalam kearifan tempatan yang masih tersimpan dalam pengetahuan peribumi mana-mana kumpulan etnik terus diketengahkan untuk tatapan masyarakat di dalam dan luar negara.
Dialog Teluk pada kali ini menghimpunkan para penulis dari wilayah di persisiran Teluk Brunei, yakni Negara Brunei Darussalam, Labuan, Limbang, Lawas, dan Pantai Barat Sabah.
Dengan tema “Citra Sastera Sebudaya Wilayah Teluk”, dialog ini membincangkan persoalan bahasa, sastera dan budaya.
Selain itu, dialog ini juga mencitrakan perkembangan terkini hasil karya sastera di wilayah Teluk Brunei.