Oleh Pie Asyraf
3 Ogos 2024, 18:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Tujuh buah karya penulis Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dilancarkan bersempena dengan Dialog Teluk ke-11 di Hotel Dynasty, semalam.

Antara karya yang dilancarkan semalam termasuklah Lelaki Sunyi di Alam Sembunyi karya Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Tidak Cukup Hanya Rindu (Basri Abdillah), Petunjuk Jalan (Jaya Ramba) dan Citra Sainatra (Awang Alfizan).

Selain itu, karya pemuisi Juni Jon Ajinoor yang bertajuk Bahasa Tumbuh di Tubuh juga dilancarkan, termasuk dua lagi karya penulis wanita, iaitu Eksplorasi nukilan Marilyn Albert Matu dan Lyrics & You ciptaan Nurul Jannah Usop.

Karya ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Puan Norihan Mohamed Naim, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Perpaduan Negara mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Dagang.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Kementerian Perpaduan Negara melihat penganjuran Dialog Teluk ini sebagai salah satu elemen penting untuk menyokong kerangka membangunkan Malaysia MADANI melalui perpaduan dalam kepelbagaian.

“Dialog Teluk yang bertemakan ‘Citra Sastera Sebudaya Wilayah Teluk’ ini sangat relevan kerana objektif penganjuran dan penglibatan golongan sasar adalah berfokus.”

Puan Norihan Mohamed Naim, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Perpaduan Negara melancarkan karya penulis PUTERA di Hotel Dynasty Miri, semalam.

“Golongan yang dimaksudkan ialah komuniti penulis sastera yang mapan mampu untuk mengangkat nilai-nilai kemanusiaan serta integrasi nasional.”

Dialog Teluk pada kali ini menghimpunkan para penulis dari wilayah di persisiran Teluk Brunei, yakni Brunei, Labuan, Limbang, Lawas dan Pantai Barat Sabah.

Tujuan dialog ini adalah untuk membincangkan persoalan bahasa, sastera dan budaya. Selain itu, penganjuran dialog ini mencitrakan perkembangan terkini hasil karya sastera di wilayah Teluk Brunei.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.