Oleh Karmila Azmi
27 Jun 2024, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Apa yang menjadi keutamaan dalam pengisian karya sastera, popular atau intelek? Isu ini mungkin sudah lapuk untuk dibincangkan namun berdasarkan perkembangan semasa, hal ini menjadi tarikan untuk diperkatakan.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan kebanyakan media massa hari ini yang sudah beralih kepada berita dalam talian, justeru hal-hal berkaitan populariti selalu diketengahkan.

Walau bagaimanapun, menerusi perbincangan dalam Suara dari Anjung Dewan Sastera yang menampilkan pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi; pengarang Rebecca Ilham dan editor Berita Harian, Mohd Nazmi Yaakub, hal popular dan intelek digariskan serupa tetapi tidak sama.

Menerusi acara yang dikelolakan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Dewan Bahasa dan Psutaka, Saifullizan Yahaya, Rebecca menyifatkan cabang ilmu dalam Islam asasnya mesti memberi manfaat dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Justeru katanya, hal ini seharusnya menjadi panduan bahawa karya sastera itu haruslah bersifat intelek.

“Kita mahu menulis untuk tradisi sedia ada dan berabad lamanya, atau mahu mengikut selera pembaca?

“Selera masyarakat bukan piawaian bagi kita dan mereka tidak memiliki autoriti untuk mengawal apa yang kita tulis.

“Selera masyarakat juga berubah-ubah,” katanya.

Tambah Rebecca, karya sastera memiliki peminatnya tersendiri dan walaupun mungkin tidak popular tetapi ia berada dalam khalayaknya.

Sementara itu, bagi Awang Azman, beliau menyifatkan ada hal-hal popular yang apabila kerap dikaji dan diperkatakan, karya itu menjadi hal yang dianggap intelek dan sastera.

Mengambil contoh sajak “Aku” oleh Chairil Anwar, beliau secara peribadi melihat sajak itu sebagai karya popular. Bagaimanapun, apabila sajak itu kerap dikaji dan diperkatakan, akhirnya ia menjadi karya penting.

Hal yang sama turut ditegaskan oleh Mohd Nazmi kerana baginya, popular ialah hal yang datang kemudian.

Katanya, ada kala sesuatu hal itu bersifat intelek tetapi juga suatu perkara popular kerana menyentuh setiap lapisan masyarakat.

Kredit Foto: Farid Jainudin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.