Oleh Rozaini Abdullah
21 Jun 2024, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan Rozaini Abdullah. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.06/2024. Cari dan telaah buku pilihannya dan pengalaman bacaannya.

Buku yang dibaca sekarang | Saya menelaah tulisan Solehah Yaacob dalam bukunya Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku setebal 388 muka surat ini belum saya khatamkan. Saya tertarik dengan buku ini apabila membaca muka depannya yang tertulis: Menelusuri Perkembangan Bahasa Semitik dan Susur Galur Peradaban Manusia dari Zaman Nabi Adam a.s. hingga Zaman Para Sahabat. Saya ingin turut serta dan bersama-sama penulisnya membongkar maklumat silam tentang asal usul bahasa al-Quran, bahasa yang berkait rapat dengan tamadun bangsanya, iaitu bahasa Arab Fushah.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Sudah semestinya Rontok karya Sasterawan Negara (SN) Arena Wati. Novel inilah penyebab saya meminati dunia sastera. Mengisahkan dua watak utamanya, iaitu Umar dan Tijah, anak gelandangan yang berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Mereka saling bergantung hidup dan menjaga antara satu sama lain. Penceritaan yang disampaikan oleh Arena benar-benar berkesan dan membekas di hati saya.

Penulis kegemaran sepanjang zaman | Ramai sebenarnya yang saya minati. Sudah pastinya Arena Wati. Selain itu, SN Shahnon Ahmad, SN S. Othman Kelantan, SN Anwar Ridhwan, SN Kemala, Mana Sikana, Fatimah Busu, S.M. Zakir, Rohani Deraman, Zahari Affandi, Salina Ibrahim, dan ramai lagi.

Watak dalam karya sastera yang digemari | Mek Romah dalam Lukanya Merah karya Rohani Deraman. Kegigihan Mek Romah mengingatkan saya kepada arwah nenek saya yang sihat dan masih kuat bekerja ketika itu walaupun usianya menghampiri 70 tahun, sinonim dengan watak Mek Romah yang kudratnya mengalahkan anak muda.

Mek Romah seorang wanita yang berusia 65 tahun, berjuang untuk membela kedaulatan tanah air dan mempertahankan hak daripada pemerintah yang kejam. Perjuangannya bermula setelah suami dan dua orang anaknya mati dibunuh. Mek Romah telah mengorbankan harta, waktu dan keringat, hatta sanggup bergadai nyawa demi perjuangannya. Paling penting, Mek Romah meletakkan agama di tempat yang teratas.

Genre penulisan yang seronok dibaca sekarang | Saya tetap menggemari karya kreatif, terutamanya cerpen. Kadang-kadang, saya boleh membacanya berulang kali andai sesebuah cerpen itu menarik dan memberikan kesan kepada saya.

Buku yang selalu diulang baca | Jarang-jarang saya mengulang semula buku yang telah dibaca. Namun setiap kali saya menulis, saya akan pastikan Kamus Dewan Perdana tetap di sisi. Dan saya memang suka membaca kamus. Banyak perkataan baharu saya dapat dan kemudian saya lupa maksudnya, maka sebab itu saya sering ulang membacanya.

Dua buah buku lagi ialah Antologi Cerpen Pilihan Dewan Sastera 1990 – 1999 bertajuk Titah Paduka Seri yang memuatkan karya 31 orang penulis tersohor negara dan kumpulan 25 cerpen pilihan Sasterawan Negara Kemala berjudul Laut Takjub yang saya hadam berkali-kali, terutamanya cerpen “Kaki”. Entah mengapa, saya suka membacanya.

Buku yang menjadikan saya seorang penulis | Saya tidak dapat memastikan buku yang benar-benar membuatkan saya menjadi seorang penulis. Yang pasti, saya meminati sastera kerana Rontok. Saya menulis di bangku sekolah lagi, ketika menyertai pertandingan pidato, bahas dan pesta pantun. Apabila bergelar guru saya menulis lirik nasyid, teks bercerita dan syarahan untuk pelajar saya. Mungkin itu salah satu faktornya.

Dunia bacaan ketika kanak-kanak | Saya suka meminjam buku di perpustakaan sekolah. Saya akan pinjam apa-apa sahaja buku yang menarik pada pandangan saya untuk dibaca, namun banyak judul yang telah keluar dari radar ingatan. Saya hanya mengingati buku Bila Biduk Berlalu karya Othman Puteh. Tetapi saya juga peminat tegar siri Nancy Drew, Hardy Boys dan Lima Sekawan atau The Famous Five oleh Enid Blyton. Saya sangat suka cerita misteri dan penyiasatan. Hinggakan saya pernah bercita-cita untuk menjadi polis atau pegawai penyiasat!

Buku bukan fiksyen yang disukai | Saya lebih memilih buku yang terarah kepada membangunkan watak, minda dan personaliti seseorang. Banyak buku yang seumpamanya. Buku yang sering juga saya belek halamannya ialah How to Win Friends & Influence People karya Dale Carnegie (diterjemahkan oleh Hidayati Kesuma Abdul Hadi).

Buku yang biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain | Saya rasa tidak perlu untuk saya menyebutkan buku berkenaan. Lain orang lain penilaiannya. Kadang-kadang minat dan kesukaan seseorang sememangnya berbeza antara satu sama lain. Analoginya, saya terlalu suka nasi berlaukkan ulam-ulaman, maka saya tidak akan pernah jemu untuk menikmatinya. Berbanding nasi kandar yang tiada langsung dalam senarai makanan kegemaran saya, saya menelannya apabila tiada pilihan lain sahaja.

Buku-buku yang teringin dibaca tetapi masih belum sempat | Buat masa terdekat, saya ingin membaca dua buah buku yang telah sekian lama dibeli, iaitu Kitab Tamadun Islam karya Ibn Jawi dan Kitab Tamadun Melayu oleh Panel Penulis The Patriots.

Cadangan buku untuk dibaca oleh kanak-kanak atau remaja | Terlalu banyak sebenarnya pilihan untuk buku kanak-kanak. Saya cadangkan buku Ceritalah Lagi  yang mempunyai enam siri semuanya. Buku ini menghidangkan pelbagai jenis cerita, seperti cerita rakyat dunia, cerita rakyat Malaysia, cerita moden termasuklah puisi tradisional dan moden.

Novel pula Mengusung Rumah Lama karya Ahmad Safarman Dollah, “Mengusung rumah lama membuatkan aku mengusung sebuah bahtera bahagia.”

Manakala untuk buku remaja, saya sarankan Sukarelawan Nan Lima karya Nurimas SN. Bertepatan dengan isu dunia sekarang, iaitu Palestin, novel ini menceritakan suka duka pelbagai peristiwa yang berlaku terhadap lima orang sahabat yang sukarela melaksanakan misi kemanusiaan, sepanjang penglibatan mereka dalam menguruskan mangsa yang terlibat dengan banjir.

Rancangan bacaan seterusnya | Saya sememangnya berniat untuk membaca sebanyak yang mungkin. Namun begitu, kekangan kerja hakiki kadang-kadang membantut keinginan saya. Sebenarnya, saya tidak boleh membuat alasan itu, tetapi saya terpaksa gunakannya juga. Justeru, untuk mengelak rasa bersalah kepada diri sendiri, saya kekalkan momentum membeli buku. Saya membeli dahulu dengan harapan, saya pasti akan membacanya juga nanti.

Rak buku atau pustaka? | Saya ada kenangan yang menyedihkan tentang rak buku. Tahun 2014, rumah saya termasuk dalam catatan sejarah banjir besar di Kelantan. Paling menyedihkan, dua minggu selepas kembali dari rumah saudara saya (saya dan keluarga tidak menginap di pusat pemindahan banjir), dua rak buku lima tingkat saya tersungkur akibat terlalu lama berendam dalam air. Semua buku bersalut pekat lumpur, hancur dan tidak dapat diselamatkan. Sebahagian sahaja yang masih ada, terpelihara kerana berada di dalam sebuah almari kayu yang merupakan satu-satunya perabot rumah saya yang tidak rosak. Apa yang saya ingat, saya menangis ketika mengutip satu per satu buku-buku tersebut untuk dibuang.

Semenjak itu, saya masih belum ada perancangan untuk satu bilik perpustakaan yang ideal. Saya hanya ada rak buku sahaja untuk dipenuhkan terlebih dahulu.

Beli buku tulisan sendiri? | Pernah, apabila kehabisan stok untuk dihadiahkan kepada orang.

Selera pembacaan | Saya memilih bahan bacaan yang saya minat. Saya beli dan saya akan terus baca. Buku yang saya rasa bermanfaat dan molek untuk berada di rak buku saya (semua buku ialah lubuk ilmu yang sebetulnya), saya akan beli juga dan saya akan menyelongkarnya apabila memerlukan maklumat yang terdapat di dalamnya. Paling banyak, buku-buku agama, sesuai dengan tuntutan kerja saya dan juga buku fiksyen.

Suasana ideal untuk membaca | Selalunya, saya lebih selesa membaca pada waktu lapang, dalam suasana sunyi sambil bersandar dan melunjurkan kaki di atas sofa. Saya agak sukar memberi tumpuan sekiranya berada di tempat awam dan di tempat yang hingar.

Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | S.M. Zakir

______________________________

Kenali Rozaini Abdullah dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.06/2024. Beli majalah Dewan Sastera Bil.06/2024 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.