Oleh Jack Malik
19 Jun 2024, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik mencadangkan lima buah buku puisi tempatan yang harus dibaca, khususnya kepada penggemar dan penulis pemula sastera yang hendak melalui dunia puisi moden Malaysia.

Dengan senarai ini, saya menghulurkan tangan kepada para pembaca semua: izinkan saya membawa anda semua ke sebuah lapangan yang pernah saya jejaki.

Pada 13 Disember 2023, rencana Arif Mustaqim Md Salleh tersiar dalam Berita Harian bertajuk, “Apa Karya Puisi Tempatan yang Harus Dibaca?”. Beliau menceritakan hal Joseph Brodsky; juga tentang pengkritik; tentang puisi lwn. prosa, sebelum meninggalkan para pembacanya dengan babak yang tergantung atau cliff hanger.

“Siapakah … penyair tempatan yang harus dibaca,” tanya Arif ketika menyepak bola tanggungnya. Lebih mustahak lagi baginya, siapakah penyair kita yang perlu dibaca “untuk meningkatkan apresiasi dan kecerdikan sastera rakyat negara ini?”

Soal meningkatkan apresiasi dan kecerdikan sastera, bagi saya, pertama sekali hal ini perlu bermula dengan menghentikan perbandingan yang keanak-anakan. Seni atau Sains; Fiksyen atau Bukan Fiksyen; Bahasa Sumber atau Bahasa Sasaran; Prosa atau Puisi—orang yang cerdik pasti tidak melihat pada garis pemisahan. Sebaliknya, dia mencari titik pertemuan. Bahkan, berdamai dengan perbezaan.

Walau bagaimanapun, saya cuba memahami hal sebenar yang ingin disampaikan. Saya bersetuju bahawa penulis wajar memahirkan diri, manakala pembaca pula perlu mengambil sikap memilih-milih. Hal ini saya percaya disampaikan dengan lebih kukuh oleh rakan penulis saya, Johan Radzi.

Apabila membaca esei Johan “Seni Menikmati Buku” yang tersiar dalam SelangorKini pada 11 Februari 2023, beliau menyatakan suatu pembacaan “[tidak] harus merasa seperti terpaksa, sebaliknya ia harus hadir di dalam jiwa secara alami.” Johan juga menutup eseinya dengan mengingatkan kita pada perkara mustahak yang sebenar:

[Tiada] salahnya jika kita tak membaca banyak atau buku-buku spesifik seperti yang disebut-sebut orang, kerana buku akhirnya harus menyumbang kepada pendewasaan kita sebagai manusia per se, bukannya orang-orang lain, dan semestinya bukan objek-objek yang kita susuni di rumah sebagai pameran ego.

Hal ini senada dengan apa yang cuba disampaikan oleh Arif. Ada beberapa perkara yang saya setuju dan percaya sebenarnya dapat disampaikan dengan cara yang lebih ringkas—seperti yang dituliskan oleh Johan.

Sekarang, saya menjawab pertanyaan rencana asal. Saya tidak pasti sama ada senarai pendek ini dapat mencerdikkan kita atau membuat kita lebih menghargai sastera. Perihal ini berada di luar lokus kawalan saya serta para pemuisi yang bakal saya sebutkan. Dalam pada itu, saya percaya rumusan ini mempunyai sesuatu untuk ditawarkan pada pembinaan kraf seorang pemuisi muda.

Ada yang masih berada di pasaran, ada juga beberapa naskhah yang memerlukan sedikit asa dan daya untuk memperolehnya:

(1) Titian Zaman (1979)

Naskhah klasik selenggaraan Sasterawan Negara Usman Awang dan Ismail Ahmad, Titian Zaman, merupakan antara buku yang bagus untuk kita mengenali puisi moden (sajak) tanah air. Kekuatan naskhah ini bukan semata-mata menghimpun karya daripada pasang surut satu dasawarsa menuju satu dasawarsa seterusnya. Usman dan Ismail memberikan pengenalan kepada setiap titian dekad dengan merungkaikan tema, gaya dan suara tahun-tahun berikut. Sejarah hanya menjadi kutukan jika kita tidak mengambil hikmah pengajarannya. Kalau buku ini tidak mampu mencerdikkan seluruh rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya Titian Zaman mampu mencelikkan pemuisi muda kita. Sayangnya, buku ini sukar didapati di pasaran buku terpakai. Selain itu, buku ini hanya merakam tahun 1930-an yang menuju noktahnya pada tahun 1970-an – 1980-an.

(2) Sajak-Sajak Saleh (1987)

Seksi dan anggun. Puisi Melayu beliau begitu rapi dan bijak, datang daripada seorang adiguru bahasa yang sebenar. Karya-karya satiranya menggelikan hati; kritikan pedas beliau membuatkan otak kita ligat berfikir; surat cinta dan kisah dukanya membuat kolam mata bergenang. Salleh Ben Joned. Tiada nama lain yang lebih enigmatik dalam dunia persajakan Malaysia selain nama tersebut. Karya-karyanya “puncak sajak penuh rentak,” kata Latiff Mohidin, gergasi puisi Malaysia pada tahun 1970. Semestinya, Salleh Ben Joned ialah “penyair tulen lagi jantan” yang wajib dibaca oleh mereka yang ingin meneroka dunia kata-kata yang penuh serba-serbi, serta kemungkinan yang kecil dan besar. Syukur, kumpulan puisi pertamanya, Sajak-Sajak Saleh, diterbit semula oleh Fixi Retro pada lewat tahun 2022. Anak perempuannya, Anna Salleh, juga menerbitkan sebuah biografi berjudul, Salleh Ben Joned: Truth, Beauty, Amok and Belonging pada lewat tahun 2023. Bacaan lanjut tentang kepengarangan Salleh Ben Joned turut boleh ditemui dalam Dewan Sastera Bil.08/2023 dan laman sesawang Solidaritas yang ditulis oleh Faisal Tehrani, “Sajak-sajak Bahasa Melayu Salleh Ben Joned: Satu Reviu Yang Terlambat”.

(3) Holokos (2016)

Naskhah ini merupakan kumpulan puisi yang terbaik pernah saya baca pada tahun terbitannya. Ridhwan Saidi tampil dengan sebuah naskhah eksperimental, karya-karya yang melawan status quo dunia persajakan Malaysia semasa dengan menonjolkan bentuk-bentuk dan pengucapan avant-garde yang memecah tembok kaku konvensionalisme. Jika kita mengukur Holokos dengan peralatan yang tidak sesuai serta kaedah yang salah, sudah pasti naskhah ini dianggap sebagai suatu kegagalan. Masyarakat awam—bahkan orang sastera dan orang seni sendiri—barangkali sukar menghayati puisi-puisi yang dihimpun dalam kumpulan ini. Justeru, untuk berlapang dada, perlu persiapkan diri dengan “alat ukur” dan “kaedah” yang secocok bagi menghayati pesona naskhah ini. Tinggalkan pencarian “makna” dahulu. Temuilah pengucapan “lain” yang dilontarkan oleh Ridhwan. Buat masa sekarang, Holokos boleh didapati terus daripada penerbitnya, Moka Mocha Ink.

(4) Tubuh yang Tidak Lagi Ingin Bersamaku (2022)

Juga antara judul puisi terbaik yang pernah saya baca bagi tahun terbitannya, Cahaya Jais dalam kumpulan puisi sulungnya ini hadir dengan 43 sajak yang hanya lima yang saya benar-benar suka. Dan, “Mencair di Pinggulmu” secara sahihnya meletakkan dirinya dalam senarai penyajak kegemaran. Secara peribadi, kepenyajakan Cahaya mengingatkan saya pada beberapa gergasi puisi pada tahun 1970-an, antaranya termasuk T. Alias Taib dan Latiff Mohidin. Namun begitu, Tubuh yang Tidak Lagi Ingin Bersamaku hadir dengan pengucapan yang lebih santai dan prosaik. Walaupun banyak karyanya sama ada tidak mengena atau terlepas pandang, saya menemukan “lagu” dalam pengucapan Cahaya, menjadikan baris puisinya beralun-alun.

(5) Misa Terakhir di Cakerawala (2023)

Kehadiran Clariessa Kesulai dalam beberapa tahun ini antara kehadiran yang disambut baik. Sajak yang saya benar-benar ingat mempunyai imej Kristian tetapi diucapkan dalam bahasa rantau ini ialah sajak WS Rendra, “Nyanyian Angsa”. Clariessa tiba bukan sekadar membawa ingatan pada sebuah sajak yang begitu menarik bahasanya, tetapi menawarkan sesuatu yang lari daripada klise dalam pernikahan antara teologi dengan seni. Jika Salleh Ben Joned menunjukkan kita bagaimana bahasa Melayu ialah bahasa yang penuh ghairah, Clariessa menampakkan bahasa Melayu ialah bahasa yang sarat pengabdian. Beliau mengingatkan kita apakah yang penulis Bukan Melayu dapat tawarkan untuk memperkayakan bahasa ini.

Maka, ini sahaja senarai saya buat masa sekarang.

Saya bersetuju dengan Johan bahawa senarai buku bukannya suatu kewajipan untuk pembaca menelan bulat-bulat semua yang dicadangkan. Saya juga bersetuju dengan Arif Mustaqim dan Joseph Brodsky bahawa banyak yang kita boleh belajar daripada puisi. Akan tetapi, tanggapan bahawa puisilah satu-satunya jalan untuk menghargai seni dan membuat masyarakat lebih berbudi, sedangkan cagaran untuk semua itu datang daripada memperlakukan prosa sebagai kambing hitam—saya cukup tidak bersetuju.

Setiap jenis dan bentuk sastera, termasuk senarai cadangan pembacaan, ada masa dan tempatnya yang tersendiri.

Judul yang saya ketengahkan di atas bukanlah paksaan. Saya cuma melihat dari segi merit yang naskhah ini mampu tawarkan: sejarah, bahasa, bentuk, kemahiran, dan suara. Jika Usman Awang dan Ismail Ahmad, Salleh Ben Joned, Ridhwan Saidi, Cahaya Jais, serta Clariessa Kesulai mampu menyumbang pada perkembangan puisi moden Malaysia, wajarlah karya-karya ini diperkatakan. Dan, ini baru sahaja bunganya; ramai lagi nama-nama yang sudah, sedang dan akan menggoncang ranah puisi dengan lebih dahsyat.

Perkongsian senarai buku ini juga bukan perkongsian cita rasa semata-mata. Dengan senarai ini, saya menghulurkan tangan kepada para pembaca semua: izinkan saya membawa anda semua ke sebuah lapangan yang pernah saya jejaki. Meminjam istilah oleh Etel Adnan—seorang pelukis dan penyair Arab-Amerika Syarikat—sebenarnya senarai buku merupakan “tanah persamaan” atau common ground antara penulis dengan penulis, juga antara penulis dengan pembaca, juga antara pembaca dengan pembaca.

Melalui judul yang dibaca dan dikongsi bersama, kita saling membina titian untuk menyeberang tanah-tanah besar dan kepulauan kecil masing-masing. Kita merentas perbatasan dan menjejaki pelbagai jenis muka bumi yang penuh kemungkinan. Barangkali, di tanah persamaan itu, kita turut sedari bahawa tidak ada banyak beza pun sebenarnya. Hanya sesuatu yang berlainan, tetapi tetap serupa.

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.