Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSempena Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka ke-68, Fakhry Harraz menampilkan kepentingan sastera kebangsaan sebagai sarana penyatu bangsa Malaysia.
Kesusasteraan mampu menyalurkan tenaga hegemoni untuk membina peradaban bangsa yang kita impikan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (2022), Malaysia menyaksikan pertembungan politik yang terbesar sepanjang sejarah penubuhan negara. Pertembungan itu disifatkan sebagai suatu dinamisme politik yang semula jadi dalam sistem demokrasi. Pertembungan itu juga mencerminkan kerencaman pendapat, ideologi serta perbezaan kepentingan dalam masyarakat kita. Pun begitu, medan pertempuran ini juga telah memperlihatkan timbulnya satu budaya yang agak membimbangkan buat negara. Satu budaya yang jika tidak dibendung akan meruntuhkan tiang-tiang seri yang menjadi asas penubuhan Malaysia, sekali gus menghambat jauh kemajuan yang seharusnya dikejar dan dicapai.
Budaya pengamalan politik komunal, tikam-menikam, memaki hamun musuh, membina retorik dan persepsi buruk bersadurkan fitnah seolah-olah telah diterima sebagai norma dalam landskap politik tanah air kini. Bermula daripada pucuk pimpinan tertinggi sehingga akar umbi di ceruk-ceruk kampung, semuanya memainkan peranan mereka yang tersendiri. Penting untuk kita sama-sama merefleksi bagaimana budaya ini berisiko untuk merosakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita.
Sementara perbezaan pendapat itu merupakan sebahagian daripada demokrasi, namun hal itu bukanlah lesen buat sesetengah anggota masyarakat untuk membuat onar yang berisiko untuk meruntuhkan semangat perpaduan serta keharmonian negara.
Masyarakat seharusnya perlu menghormati nilai-nilai kesopanan, toleransi dan keharmonian yang bertindak sebagai asas masyarakat bersusila dan bersatu. Budaya politik yang mempromosikan kesatuan, berunding dan bekerjasama akan membantu kita mencapai matlamat perpaduan nasional yang lebih diidamkan.
Mencantas Komunalisme
Artikel yang berjudul “Bangsa Malaysia: Pembentukan dan Realisme Politik, 1945 – 1980” mengundang saya untuk memerhati dengan lebih mendalam tentang fenomena yang disebut sebagai “politik komunal” dalam konteks Malaysia.
Radi’an Jili, melalui naratifnya, telah membawa kita ke dalam perbincangan penting tentang isu perpaduan antara kaum pada peringkat nasional dengan merumuskan pertanyaan yang menarik, “Apakah di Malaysia, jalur perpecahan etnik terus menebal kerana isu komunal terus didambakan oleh parti-parti politik?” dan menyatakan bahawa peristiwa penting seperti 13 Mei 1969 berpunca daripada ketegangan politik komunal.
Politik Komunal ataupun Komunalisme merupakan satu bentuk perjuangan politik berasaskan etnonasionalisme yang membahagikan masyarakat ke dalam kelompok agama atau budaya tertentu. Komunalisme sering kali didasarkan pada pegangan bahawa agama atau budaya kelompok itu lebih unggul jika dibandingkan dengan agama atau budaya lain. Adapun menurut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat, komunal ialah “hak secara bersama”.
Saya berpendapat bahawa politik komunal atau komunalisme merupakan perjuangan politik sempit oleh golongan berkepentingan yang berpaksikan pada suatu ideologi khusus dalam usaha membentuk sebuah komuniti berdasarkan ideologi yang diperjuangkan. Harus diketahui bahawa, perjuangan politik komunal di Malaysia bertitik tolak hasil daripada penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Warisan tinggalan kolonial inilah yang menghantui kita walaupun negara sudah 66 tahun mengecap kemerdekaan.
Umumnya di Malaysia, agama merupakan antara elemen yang membentuk sistem politik yang bersifat komunal di arena politik negara.
Peranan serta pengaruh agama membentuk nasionalisme kaum di Malaysia. Peranan agama dalam kehidupan warga Malaysia adalah besar. Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mendefinisikan kaum menggunakan agama dan ia diletakkan dalam perlembagaan. Oleh itu, perbezaan agama menjadikan persaingan politik tiada penghujungnya.
Berikut kenyataan yang saya petik daripada sebuah penulisan bertajuk “Sejauh Mana Peranan Agama dalam Politik Malaysia”. Berdasarkan kenyataan di atas, agama merupakan ciri dominan dalam perjuangan politik di Malaysia. Perkara ini secara langsung bertindak menyuburkan politik komunal yang menurut saya menjadi penghalang ke arah perpaduan kaum pada peringkat nasional.
Selain agama, jurang perbezaan etnik juga merupakan kayu bakar yang menyemarakkan lagi api komunalisme. Memetik laporan yang bertajuk “Malaysia’s Coming Election: Beyond Communalism?” (2012), di antara tahun 1870 hingga 1930, British telah membawa masuk ribuan tenaga buruh dari negara India dan China untuk bekerja di sektor perlombongan biji timah serta sektor getah. Kesan daripada kemasukan kumpulan ini yang masih dikategorikan sebagai warga asing pada waktu itu, kini Tanah Melayu dihuni oleh tiga kumpulan etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Pasca-Perang Dunia Kedua menyaksikan ketiga-tiga kaum ini menggerakkan perjuangan politik mereka yang tersendiri.
Dalam konteks Malaysia, segala permasalahan dan perselisihan yang ditimbulkan oleh dua faktor iaitu agama dan etnik, haruslah ditangani secara efektif bagi menyekat pertumbuhan akar politik komunal daripada terus mencengkam landskap politik negara oleh sebab sifatnya yang menghalang usaha perpaduan jitu pada peringkat nasional. Dalam erti kata lain, saya mendukung penuh usaha Kerajaan untuk mencantas sebarang pengaruh 3R daripada mengakari pemikiran masyarakat.
Justeru, dapat disimpulkan secara kasar bahawa amalan politik komunal merupakan cabaran besar buat Malaysia dalam mewujudkan sebuah bangsa politik yang bersifat Malaysia, yang dibina atas bata-bata perpaduan antara kaum. Sehingga hari ini, naratif politik bersifat komunal menjadi pilihan utama parti-parti politik utama di tanah air khususnya di pihak pembangkang. Naratif toksik ini sewajibnya ditentang secara efektif pada semua peringkat oleh pihak Kerajaan khususnya.
Memartabatkan Sastera
Dalam usaha mencari dan memikirkan solusi untuk menangani barah yang membelenggu masyarakat ini, saya telah menemui satu perbahasan bernas menerusi sebuah artikel bertajuk “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa” yang dikarang oleh Mohamad Saleeh Rahamad. Penulis melalui artikel membahaskan betapa besarnya pengaruh karya sastera sebagai alat atau sarana yang berkeupayaan mewujudkan perpaduan antara masyarakat pada peringkat nasional.
Penulis di perenggan-perenggan terawal mengakui kegagalan Malaysia untuk mewujudkan sebuah perpaduan selayaknya, seperti sebuah negara bangsa yang bersatu. Mohamad Saleeh menulis: “Sejak kemasukan pelbagai etnik dari India dan China khususnya, Tanah Melayu sehingga kini masih gagal membina keseragaman etnik dan budaya untuk mencipta status sebuah negara bangsa.”
Bagi menyelesaikan masalah berkaitan perpaduan etnik peringkat nasional itu, Mohamad Saleeh telah menyarankan agar peranan sastera dimartabatkan sebagai salah satu usaha mencapai perpaduan yang diimpikan itu. Beliau berkata: “kesusasteraan mampu menyalurkan tenaga hegemoni untuk membina peradaban bangsa yang kita impikan.”
Dalam pada itu, saya juga ingin memetik dan mengutarakan kembali cadangan dan pelan tindakan yang digariskan oleh seorang guru, iaitu Eh Chot Cha Han melalui kertas kerja beliau, “Peranan Sastera Kebangsaan/Sastera Malaysia ke Arah Memupuk Perpaduan Kaum di Malaysia”.
Beliau meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap keberkesanan bahan sastera untuk memupuk perpaduan di negara ini. Beliau menulis, “Pendekatan kesusasteraan sebagai alat perpaduan kaum adalah paling berkesan jika dibandingkan dengan pendekatan politik dan sosioekonomi.”
Eh Chot Cha Han memanjangkan kalam beliau dengan menerangkan secara ringkas mengenai konsep “kesusasteraan Malaysia”. Dalam Persidangan Bengkel Seni Kesusasteraan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1971, telah dirumuskan bahawa kesusasteraan Malaysia harus ditulis dengan tujuan untuk mencipta sebuah identiti kebangsaan.
Selain itu, hasil karya dalam bahasa ibunda oleh golongan penulis bukan Melayu, warganegara Malaysia, dan suku-suku kaum bumiputera yang berlatarbelakangkan masyarakat Malaysia dengan tema perpaduan juga diterima, asalkan memuatkan nilai-nilai berdasarkan prinsip Rukun Negara, sementara hasil karya dalam bahasa lain tidak diakui sebagai kesusasteraan kebangsaan Malaysia.
Terdapat lima pelan tindakan yang diajukan oleh Eh Chot Cha Han, iaitu:
Dalam usaha untuk mengatasi politik komunal yang sekian lama berakar dalam masyarakat Malaysia, peranan kesusasteraan sebagai sarana untuk memupuk perpaduan kaum muncul sebagai satu pendekatan yang cukup berpotensi.
Kita harus melihat sastera menerusi lensa baharu, menjadikannya sebagai sarana yang berpotensi untuk merapatkan jurang polarisasi dalam masyarakat kita. Sastera ialah cerminan kepelbagaian kita yang merupakan aset berharga. Melalui pemahaman dan penghormatan terhadap sastera kebangsaan, kita boleh memperkuat semangat perpaduan nasional.
Melalui idea bernas yang diutarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan pelan tindakan yang dicadangkan oleh Eh Chot Cha Han, kita seharusnya punya iltizam dan kemampuan untuk bergerak ke arah mencipta bangsa Malaysia yang bersatu, mewujudkan identiti kebangsaan yang inklusif, dan mengatasi krisis politik komunal yang kian meruncing. Dengan komitmen, tekad dan usaha bersama, insya-Allah kita boleh melahirkan masa depan Malaysia yang lebih bersatu padu dan harmoni.
Majulah Sastera Kebangsaan Demi Perpaduan Negara!
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
Fakhry Harraz anak jati Terengganu, graduan Diploma dalam Perdagangan Antarabangsa dari Universiti Sultan Zainal Abidin. Beliau kini melanjutkan pelajarna dalam Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.