Oleh Karmila Azmi
4 Jun 2024, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2022, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan bin Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam tadi.

Berita pemergiannya diumumkan oleh isteri Allahyarham, Zurina Zakariya menerusi laman Facebook milik Pyanhabib sebentar tadi.

Zurina dalam hantaran itu menuliskan, “Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. Kembali pada pencipta-Nya. Maafkan kesalahannya, doakan yang baik-baik untuknya.”

Pyanhabib dikenali sebagai anak seni sejak tahun 1970-an, malah terbabit aktif dalam perkumpulan seni Anak Alam.

Berasal dari Taiping, Perak, beliau diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 oleh Gabungan Persatuan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sempena Hari Puisi Kebangsaan 2022.

Dalam satu temu bual dengan Berita Harian, Pyanhabib mengulas mengenai penganugerahan berkenaan dengan menyebutkan bahawa sejak awal beliau terbabit dengan dunia seni, tidak pernah beliau mengharapkan sebarang anugerah.

“Bagi saya menulis ini sebagai terapi kepada diri sendiri. Tidak pernah terlintas untuk menerima apa-apa anugerah,” katanya.

Selain dikenali sebagai pemuisi dan pelakon, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan selama 20 tahun dan penyunting selama 10 tahun.

Dalam dunia lakonan filem, beliau amat dikenali sebagai Osman Tikus dalam filem arahan Nasir Jani, Kembara Seniman Jalanan (1986).

Dalam dunia penulisan, Pyanhabib telah melahirkan beberapa buah karya, antaranya termasuklah Balada Pyanhabib (2012), Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib (2015) dan terakhir, Politikus Tikus. Tikus (2017).

Kredit Foto: M. Said Muharam

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.