Oleh Jack Malik
14 Februari 2024, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik mengumpamakan seni penulisan dengan kemahiran memotong pisau untuk memasak. Inilah adat berkarya.

Di tangan seorang penulis, lahirnya sastera. Melalui kejujuran, kemahiran dan kejernihan akal kalbunya, dia mencipta bermacam jenis karya hidangan untuk santapan mata. Kita sebagai pembaca pun menjamu selera dengan kepengarangan yang disajikan. Kadangkala, air tangan seorang penulis itu kena dengan tekak kita. Ada masa pula, terasa jelak.

Ada empat parut kecil di tangan kanan saya dan empat lagi di tangan kiri saya. Inilah bekas yang sudah sembuh yang saya boleh kira. Belum lagi luka-luka halus, rahsianya hanya perahan limau atau air sabun yang mampu membuka cerita pedih yang disimpan oleh jari-jemari saya.

Inilah adat bermain pisau.

Selama enam tahun menjalani pengajian seni kulinari dan dua tahun meninggalkan dunia dapur, mata pisau sudah—dan masih—akrab dengan saya. Tidaklah dunia ini ditinggalkan sepenuhnya: saya masih lagi memasak di rumah. Syukur, ilmu bermanfaat ada berkatnya.

Andai luka itu nama lain untuk pengalaman, maka bilah pendapat inilah yang saya temui—terdapat tiga jenis pisau sahaja yang diperlukan di dapur: pisau raut panjang (paring knife), pisau pencencang (cleaver knife) dan pisau chef/utiliti (chef/utility knife).

Tidak semua potongan itu sama. Sudah pasti pisau raut panjang tidak boleh menetak belulang keras dan semestinya pisau pencencang pula tidak sesuai digunakan untuk mengupas kentang atau mengukir lobak. Satu memerlukan kawalan dan ketelitian, sedangkan satu lagi menuntut kudrat dan ketahanan.

Kalau bicara soal serba boleh, tentulah dimenangi oleh pisau chef/utiliti. Namun, secara (fungsi) khususnya—ambil contoh potongan halus atau keratan berat—ia masih tidak sebaik kedua-dua pisau yang disebut tadi. Bahkan, walaupun dalam kelompok yang sama, pisau chef dan pisau utiliti juga berbeza. Dan, hal ini semua hanya tertakluk bagi dunia dapur Barat. Di tangan seorang pakar memasak hidangan Cina, mereka hanya memerlukan satu jenis sahaja, iaitu pisau pencencang.

Benar, adakalanya bukan tentang mata besi yang menyiat. Kadang-kadang, hal ini lebih kepada tangan yang menggenggam hulu kayu.

Di tangan seorang penulis, lahirnya sastera. Melalui kejujuran, kemahiran dan kejernihan akal kalbunya, dia mencipta bermacam jenis karya hidangan untuk santapan mata. Kita sebagai pembaca pun menjamu selera dengan kepengarangan yang disajikan. Kadangkala, air tangan seorang penulis itu kena dengan tekak kita. Ada masa pula, terasa jelak. Atau lebih parah, tidak berasa apa-apa pun. Hanya dengan menjamah kata-katanya, kita dapat menilai dan meneka penulis itu bagaimanakah orangnya. Melalui penulisannya kita mengetahui “rasa” krafnya. Kalau masakan yang tidak sedap, pada asasnya, berpunca daripada kurang penggunaan garam, gula dan asam—bagaimana pula dengan penulisan? Apakah rencah yang membuatkan sastera itu enak?

Penulis perlu tahu jenis sastera yang manakah sesuai dengan kehendak dan kemampuan dirinya. Dia perlu mempunyai kesedaran. Selain itu, kemahiran. Apabila kita berhadapan dengan bahan-bahan mentah seperti pandangan, pendapat dan pengalaman—alat yang manakah hendak digunakan? Atau lebih jelas lagi, potongan yang bagaimana ingin dilakukan? Adakah potongan itu sesuai dengan hal yang dikerjakan? Semua ini memerlukan niat dan kejujuran; semua ini juga memerlukan ketajaman budi yang datang daripada kejernihan akal dan kalbu.

Inilah adat bermain dengan penulisan.

Puisi dapat menghidupkan dan menggerakkan semula bahasa dan terus mendekatkan kita menuju suatu bentuk perhatian dan kesedaran yang baharu.

Melalui kesedaran, barulah kita mengerti perihal keberadaan. Pengkhususan bukan sesuatu yang sengaja. Bukan juga pasrah disembelih nasib. Pengkhususan merupakan belahan daripada tujuan yang memahami fungsinya terlebih dahulu. Pengkhususan ialah keinginan yang jelas tentang haluannya. Walau bagaimanapun, suatu pengkhususan itu bukanlah perbatasan yang mengehadkan penghasilan sesuatu karya.

Lihat sahaja Anne Carson dalam novel puisinya, Autobiography of Red, menggabungkan antara dua dunia tanpa sebarang perbalahan. Lihat juga Maggie Nelson dalam Bluets yang menghimpunkan 240 puisi prosa (prose poem) tentang tafakur peribadi, warna biru dan keragaman perasaan manusia—khususnya kehibaan. Saksikanlah. Pandangan binari mencerminkan batas seseorang itu.

Seorang penulis yakni seniman, terutamanya, tidak wajar melihat dunia hanya dalam hitam dan putih. Dunia ini lebih luas daripada prosa atau puisi. Bukankah rasa masin dan manis—biarpun kedua-duanya tidak berada di kedudukan yang sama—terletak pada lidah yang satu? Mengapa perlu sampai begitu sekali ingin berpihak? Matthew Zapruder dalam bukunya, Why Poetry, memberitahu tentang bentuk-bentuk sastera yang lain:

Cerita dan novel mencipta watak dan situasi, serta menyampaikan kisah; kewartawanan menghubungkan maklumat; rencana menyentuh usaha untuk meneroka buah fikiran tertentu yang sukar dikategorikan, bahkan tidak teratur; editorial dan khutbah memberitahu kita apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan, apa yang boleh kita percaya dan sebagainya.

Demikian, bagaimana pula dengan puisi? Zapruder mengakui bukunya “tidak dapat memberikan jawapan kepada semua persoalan [perihal puisi].” Tetapi, “tulisan ini boleh dijadikan titik permulaan.” Bagi dirinya juga, puisi dapat “menghidupkan dan menggerakkan semula [bahasa] dan terus mendekatkan kita menuju suatu bentuk perhatian dan kesedaran yang baharu.” Tetapi bagaimana kita hendak menjadi peka kalau kita hanya mengangkat satu jenis bentuk sahaja. Kalau begitu, apa bezanya kita ingin mengupas kulit durian dengan gunting? Atau mengukir awan larat pada sebiji tomato dengan gergaji rantai?

Menghayati sastera bermakna menghayati bahasa. Hal ini tidak boleh terpisah. Bukan puisi, bukan novel, bukan cerpen, bukan esei mahupun drama—tetapi bahasalah yang perlu kita jatuh cinta dahulu sebelum apa-apa. Dan, apabila saya maksudkan bahasa, bukannya tentang perkara teknikal yang “kering” seperti peraturan, formula dan carta. Tidak. Mencintai bahasa yang saya ertikan di sini ialah bagaimana kita menemui kelazatan dengan menggunakan alat-alat sastera yang sedia ada. Penggunaan teknik penulisan yang mempesonakan. Apa-apa yang kita anggap sebagai “puitis” sebenarnya hanyalah aliterasi, metafora, citra, dan perumpamaan—antara alat sastera yang turut ditemui dalam prosa. Nah, hal ini bukannya hak milik hakiki puisi sahaja.

Bagi mereka yang masih berdegil hendak berpihak pada puisi atau prosa semata-mata, mengingatkan saya pada polemik “Seni untuk Masyarakat lwn. Seni untuk Seni.” Maka, membaca esei Ridhwan Saidi berjudul “Makan Untuk Makan vs Makan Untuk Kenyang: atau dengan nama lain Seni Untuk Seni vs Seni Untuk Masyarakat” barangkali mampu membuka hati kita semua untuk berlapang dada dengan dimensi dan kemungkinan kecil-besar yang berbagai-bagai.

Pisau yang tumpul lebih berbahaya daripada pisau yang tajam. Begitulah juga kalau pisau tumpul itu berada di tangan penulis yang jumud.

Jelaslah, perbandingan dangkal antara sesuatu perkara dengan sesuatu perkara yang (kononnya) berlawanan cuma mendedahkan ketumpulan pemikiran kita. Hal ini lebih menceritakan sikap dan pandangan kita, sebenarnya. Pertelingkahan dalam membanding-bandingkan yang manakah lebih hebat—prosa atau puisi; fiksyen atau bukan-fiksyen; seni atau sains—tidak mendatangkan sebarang faedah.

Secara umum, saya bersetuju untuk tidak membazirkan masa. Begitu banyak karya yang bukan untuk kita; begitu sedikit masa untuk membaca apa-apa yang kita suka. Saya masih ingat betapa sukarnya untuk menghabiskan Catcher in the Rye oleh J.D. Salinger. Saya juga ingat bagaimana saya berasa penutup bagi On the Road oleh Jack Kerouac dan Subuh oleh Atan Long antara penutup novel paling indah yang pernah saya baca. Buku prosa bukan fiksyen seperti Writing Tools oleh Roy Peter Clark dan Bird by Bird oleh Anne Lamott pula membuat saya marah dengan diri sendiri kerana tidak menemui kedua-dua buku tersebut dahulu semasa mula-mula memasuki medan penulisan. Dalam nada yang sama, terdapat pemuisi yang buku-bukunya tidak mendatangkan sebarang kepuasan kepada saya. Malah, saya pasti buku kumpulan puisi saya juga tidak terlepas daripada perkara ini. Setiap penulis—dalam dunia puisi mahupun prosa—mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Inilah adat bermain bahasa.

Justeru, puisi akan gagal jika kita meletakkan beban jangkaan bahawa ia perlu bertindak seperti prosa. Pada masa yang sama, prosa juga menjadi sia-sia andai kita mengukurnya hanya dengan unit ukuran puisi. Sebagai seorang yang membaca, sepatutnya kita semakin cerdik. Sepatutnya penilaian kita tajam. Pandangan kita harus bijak.

Pisau yang tumpul lebih berbahaya daripada pisau yang tajam. Begitulah juga kalau pisau tumpul itu berada di tangan penulis yang jumud. Tanpa dia sedar, luka-luka tidak kelihatan telah berbekas di hati para pembaca. Seorang penulis yang bagus bukan sahaja pandai mengasah pisaunya, tetapi dia juga sentiasa mengekalkan ketajaman bilah miliknya, serta mempamerkan kemahiran mengendali bilah tersebut. Di hati pembaca, dia hanya meninggalkan potongan jelas dan bersih.

Seorang chef berpengalaman memahami bahawa dia memerlukan beberapa jenis pisau untuk bekerja dengan lebih cekap dan berkebolehan. Penulis yang baik pula memahami dia perlukan lebih daripada satu jenis bentuk sastera agar pembacanya mampu menghayati hidangannya.

Entah berapa banyak parut sudah berbekas di tangan kita. Pastinya, kita perlu kembali menajamkan apa-apa yang tumpul, menghiris apa yang perlu dihiris dan memotong apa yang perlu dipotong. Lantas, harap-harap potongannya tidak terlalu kurang atau terlebih. Sekadar cukup bagi apa-apa yang diperlukan.

Inilah adat berkarya.

Kredit Foto: Danilo Rios/Unsplash

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.