Oleh Jack Malik
11 Januari 2024, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik bertutur tentang proses, ciri yang amat penting bagi seorang penulis.

Proses bukannya silap mata. Proses juga bukan orang kerdil renta yang menggerakkan tombol dan gigi-gigi roda dalam kepala seorang pengarang tak-berapa-nak-muda.

Sebelum ini, saya ada menulis tentang proses dan pengkarya. Sewaktu esei ini dibaca, tidak pasti sama ada esei terdahulu itu sudah tersiar atau belum. Saya pun tidak ingat topi yang mana satu dipakai ketika menulis esei tersebut. Kali ini, saya pecatkan semuanya. Kali ini saya hanya berkain pelekat corak petak-petak perang muda dan berkemeja-T hitam yang bertulis “Ipoh City Slacker” sahaja.

Saya ingin menulis tentang proses sekali lagi.

Pernah saya rasa takut suatu hari bahawa saya akan berhenti menulis puisi. Ketakutan ini saya syak berakar daripada pelbagai pucuk hobi yang kini terbengkalai layu: main gitar, memancing, angkat berat, bboy, dan memasak. Puisi datang kemudian. Jari saya masih ingat cara untuk memetik lagu Debunga Wangi walaupun jarang-jarang sudah saya memegang gitar. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya mengikat kail pada tali pancing. Kali terakhir saya sentuh besi angkat berat sudah lebih sedekad. Hip hop masih dekat di hati. Saya juga mempunyai sijil Sarjana Muda dalam Seni Kulinari. Tetapi saya bukan Marco Pierre White mahupun Anthony Bourdain zaman muda mereka. Untuk sajak, saya hanya ada tiga naskhah kumpulan puisi persendirian dan satu anugerah penghargaan.

Saya tidak ada apa-apa—hanya proses. Gamaknya, semua yang tidak menjadi itu ialah sebahagian daripada proses untuk saya sampai di mana saya berada sekarang. Mengetahui apa yang kita tidak minat jauh lebih elok daripada tidak mengetahui apa yang sebenarnya kita minat. Pengetahuan merupakan hasil daripada percubaan.

Untuk mencuba, kita perlu bergerak.

Dalam esei lepas, saya menyatakan yang “proses ialah progress.” Dalam erti kata lain: pergerakan. Ada masa—sebenarnya, setiap masa—saya rasa tersekat. Tidak berganjak. Terlonjak apatah lagi. Buka pencak kala kebuntuan semestinya berasa berat dan ketat. Selalunya, membaca, melepak atau menjalani kehidupan seharian merupakan penawar. Akan tetapi, selepas pulang dan pulih seperti adat sediakala, penyakit saya berulang. Apa alamat? Apa tanda? Apa bala? Cuba dengar seorang filsuf Perancis pernah berkata apa? Bayangkan siapa? Bahagia?

Baiklah.

Ia. Saya gembira dalam dunia kata-kata. Sebab hal itu antara perkara yang pernah saya lakukan secara istiqamah. Genap setahun suku lagi, sudah sedekad saya berhambat, bermain dan bertepuk-tampar bersama puisi.

Dan saya masih fikirkan tentang proses.

Proses bukannya silap mata. Proses juga bukan orang kerdil renta yang menggerakkan tombol dan gigi-gigi roda dalam kepala seorang pengarang tak-berapa-nak-muda. Proses bukan formula kuno yang Leonardo Da Vinci pelajari daripada seorang pelayar Melayu awanama dan kini dicari-cari oleh mereka yang percayakan kewujudan kerajaan bayang-bayang. Proses semestinya bukan sekumpulan penyair ingin merompak sebuah bank di Amerika Syarikat.

Proses ialah melepak bersama Abang Jayzuan dan Abang Sufian di sebuah kafe healing. Proses ialah berWhatsApp dengan Tulangkata walaupun dulu kami sama alma mater tapi jarang-jarang sekali bertegur sapa. Proses ialah menghabiskan duit di Kinokuniya KLCC membeli buku puisi. Proses ialah berasa seronok—malah, turut berasa pandai dan kritis—membaca Affendi Salleh daripada membaca Affandi Hassan. Proses ialah pilihan. Proses ialah membuat pilihan untuk jadi memilih dalam membaca sebab pembacaan menghasilkan penulisan, sesuatu yang pernah Pak Teh (Faisal Tehrani) dan Farah beritahu saya. Proses ialah banyak lagi esei dan puisi yang bakal saya tulis dan harap-haraplah dapat menghalau sebarang ketakutan di luar sana. Proses ialah saya sedang menyiapkan manuskrip kumpulan puisi dalam bahasa Inggeris kerana saya faham perasaan Salleh Ben Joned bila beliau kata, “Aku dah tak boleh nak teruskan menulis dalam lidah ibunda tercinta kalau aku berterusan tak mendapat sebarang maklum balas daripada [para pembaca dan penulis] kaum Melayu aku sendiri. Maka, satu-satunya alternatif adalah untuk menulis dalam bahasa lain [iaitu bahasa Inggeris] yang begitu aku kenal. Tetapi, aku tak rasa itulah bahasa yang muse aku nak bertutur.” Proses ialah saya jalan terus dalam apa-apa jua bahasa sekalipun. Proses bermaksud saya teruskan menulis. Proses juga bererti—selain menulis untuk saya dan para pembaca—saya menulis tentang kita semua.

Abang Azriq kata yang kita kurang menulis tentang kita. Perlahan-lahan saya cuba untuk menulis lebih banyak. Kak Alina kata, kenapa nak kena tulis pasal kita? Saya tidak ada jawapan tapi saya ada sajak. Saya banyak tulis pasal Azizan ‘Afi dan membayangkan dia sebagai Dean Moriarty. Saya ada tulis pasal Johan Radzi dalam sebuah puisi pastis untuk Sitor Situmorang. Saya menulis tentang Ipoh dan kolektif artis saya. Projek Rabak-lah yang mengajar saya bagaimana caranya kita menulis tentang kita. Beat Generation dan New York School pun ajar perkara yang sama. Jadi, kenapa kita terlalu takut dan kedekut? Atau kita malu dan tidak tahu?

Proses memerlukan keberanian dan hati yang besar.

Saya masih menulis tentang Farah. Saya sedang menulis tentang kami. Kami di sini bermaksud saya, dia dan dua puluh ekor kucing kami. Kami di sini turut bermaksud semua air terjun yang pernah kami kejar. Setiap percutian dirancang. Acara sastera dan budaya diikut-turun. Segala rakaman dan tampalan dan pengakuan dan penafian dan cerminan dan pembinaan dari satu detik ke satu detik berwarna biru baju tunang kami yang kudus empat tahun lepas lalu perlahan-lahan bergerak dari satu titik ke satu titik, seperti sesuatu yang berwarna maghrib di Taman Tun Dr. Ismail yang bertukar menjadi rona subuh wangi kopi putih, berubah menjadi pasir warna gula di sebuah pantai di Teluk Kumbar lantas kembali hitam seperti bulu lembut kucing sulung kami yang bernama Buddy—o proses sakti, wahai pergerakan abadi, pusaka suci yang hakiki …

Proses ialah saya menulis esei ini. Seperti puisi, saya hanya menemui soalan demi soalan. Fragmen gambaran yang kabur. Sayup-sayup. Senyap yang perlahan-lahan mengizinkan dirinya diperkatakan. Walaupun diam berselerak. Huruf-huruf seolah-olah setimbun kepingan-kepingan Scrabble—

Saya kutip dan susun. Saya cuba mendengar bunyi-bunyi perkataan yang bakal terbit, bagaimana ia bergerak seperti kulit kerang yang kosong, selang-seli dibasuhi nafas angin laut dan dibasahi pasang-surut ombak. Satu per satu, apa yang ingin saya ucapkan tetapi tidak boleh, bergemeresik. Sunyi juga proses. Seperti daun-daun kering di musim tengkujuh. Betapa rangup dan lembik kedengaran—sekali gus.

Sebaris puisi. Sebuah dongeng. Selembar catatan.

Semakin lama saya mendengar ketidakterungkap itu, semakin lama saya dengar diri saya. Semakin lama juga saya kembali, dengan segala daya serta asa, berlatih dan bertatih untuk menjadi diri saya yang paling saya. Menitih semula perjalanan hidup. Merenung. Seboleh-bolehnya memilih sedar. Selepas itu, tahu bahawasanya menjadi pengkarya bermaksud perlu berdamai dengan bermacam perkara. Antaranya, percayakan proses yang sedang berlangsung.

Dan lebih berat lagi, mempercayai diri sendiri.

Kredit Foto: Anna Frizen/Unsplash

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.