Oleh Firdaus Mul
7 November 2022, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banting – Buat julung kalinya sebuah syarahan berpaksikan seni dan sastera dengan membawa semangat Sasterawan Negara (SN) Keris Mas diadakan di Dewan Al-Khawarizmi, SM Sains Banting, Selangor. Program “Syarahan Keris Mas 2022 : Sastera dan Seni Santapan Jiwa” merupakan anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Syarahan ini disampaikan oleh Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Dr. Hazami Jahari.

Sesi syarahan membuka tirainya dengan ucapan pengenalan dan deklamasi puisi daripada moderator majlis, Dr. Shamsudin Othman yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.

Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob sedang memberikan syarahannya.

 

Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob merupakan seorang tokoh negara yang cukup terkenal dengan kepelbagaian ilmu dan kemahiran yang dimiliki. Beliau membuka sesi syarahan dengan mendeklamasikan puisi beliau sendiri bertajuk “Pokok Tinggi”.

Puisi tersebut mempunyai pertalian yang cukup utuh dengan syarahan beliau, yakni mengetengahkan sastera dan seni sebagai santapan jiwa. Beliau menyatakan dengan jelas dalam syarahannya, bahawa puncak kejayaan seseorang manusia itu selain terletak kepada restu dan sokongan kedua-dua orang tua, usaha dan doa, ia juga bersangkut paut dengan keberhasilan manusia dalam membentuk kesimbangan memahami ilmu yang ada di dunia seperti ilmu sains dan sastera.

Dalam membicarakan sastera dan seni sebagai santapan jiwa, beliau membahagikan pengisian syarahannya kepada beberapa fasa kehidupan beliau sendiri, iaitu menjadi seorang anak, penulis puisi dan lirik lagu, pensyarah, Tok Dalang, pendeklamasi puisi dan pelukis.

Beliau berpendapat bahawa sastera, seni dan budaya merupakan antara bidang yang perlu diterokai oleh anak muda. Beliau percaya bahawa kekuatan yang dimiliki oleh sastera, seni dan budaya mampu melahirkan manusia yang ‘berjiwa’. Walaupun berasal daripada aliran sains, namun hal tersebut tidak sesekali menghalang beliau untuk mendalami bidang sastera, seni dan budaya. Kesemua ini bertitik tolak selepas beliau mula menyelami dan mendalami ilmu sastera.

Kebanyakan karya beliau tertumpu kepada dorongan dan motivasi kehidupan. Ujarnya,

Dahulu saya jenis orang yang tidak bercakap banyak, bukan macam sekarang, sebab dahulu saya belum mengenal puisi dan sastera. Saya diam sahaja. Saya orang sains, hanya memikirkan test tube, lab dan sebagainya. Selepas saya mengenal sastera, baru saya berubah.

Sepanjang meniti liku-liku kehidupan, sastera dan seni yang dijadikan sebagai santapan jiwa akhirnya membawanya meneroka pelbagai perkara baharu di luar bidang hingga secara tidak langsung hal tersebut memberikan impak kepada diri beliau sendiri. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa hidup ini menjemukan jika ia tidak mempunyai cabaran. Jika hanya semua kesenangan yang diperolehi tanpa melewati cabaran dan rintangan, pastinya seseorang itu tidak akan mengenal manisnya kejayaan. Menjadikan sastera dan seni sebagai santapan jiwa kehidupan akhirnya memberikan beliau sebuah kekuatan untuk menghadapi setiap cabaran kehidupan.

Cabarannya umpama seekor naga yang membawa hadiah di dalam mulutnya. Jinakkan naga itu dan ambillah hadiah di dalam mulutnya.

Beliau juga menyatakan hasratnya kepada semua anak muda yang hadir agar memanfaatkan ruang dan peluang yang ada selain berharap pencapaian beliau dijadikan sebagai insprasi kehidupan.

Di penghujung syarahan tersebut, beliau sempat menitipkan pesan,

Jadilah saintis yang baik. Jangan tinggalkan sastera dan budaya. Itu merupakan bahasa dan seni anakanda sendiri. Perkuatkan dengan harapan anakanda yang akan menjadikan kehidupan lebih berwibawa. Saya sendiri tidak takut berada di atas pentas sebab saya membaca puisi dan berlakon di atas pentas. Apabila saya memberikan kuliah, walaupun di hadapan Tuanku Sultan sendiri, saya tidak berasa gementar. Anakanda pun cuba buat begitu.

Syarahan ini juga turut dihadiri Encik Yusanizan Shafie selaku Pengetua SM Sains Banting Selangor, Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP), Encik Kamil (waris Keris Mas), staf DBP dan pelajar SM Sains Banting Selangor.,

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.