23 September 2022, 13:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Hafizah Iszahanid tidak memulakan pengalaman awal menulis novelnya dengan bertemakan feminisme. Mulanya, beliau menulis isu kenegaraan yang berat berkaitan dengan politik tempatan. Mungkin, menulis novel politik meletakkan Hafizah sebagai salah seorang penulis terpenting dalam ranah sastera tempatan hari ini.

Novel Bukan Orangorang misalnya merupakan karya yang ditulis menerusi pemerhatiannya terhadap suasana politik Malaysia. Beliau mengakui hal ini dalam sesi forum “Kata Penulis: Membaca Karya Timur dan Barat” sempena Langkawi Writers Festival awal September baru-baru ini. Ujarnya,

Saya pilih untuk menulis novel politik awal dahulu kerana melihat kurangnya novel-novel baharu berkaitan politik waktu itu. Namun, setelah melihat ada perkembangan dalam penerbitan karya yang berat dalam mengangkat isu negara – kerana penulis generasi saya semakin menemui suaranya – saya buat keputusan untuk mencari perjuangan baharu.

Beliau kemudiannya menyatakan sebab utama mengapa beliau memilih untuk mengubah suara dan menulis novel feminisme.

Ada seorang pengarang lelaki senior memberitahu saya supaya berhenti tulis tentang feminisme. Ia ialah isu terpencil. Perkataan itu sangat-sangat menikam hati saya. Mengapa feminisme dianggap isu terpencil? Mengapa lelaki budiman seperti itu melihat ia sebagai isu yang tidak patut ditulis?.

Seiring dalam usaha untuk mencari perjuangan dalam menulis novel feminisme, dengan persoalan yang timbul dalam dirinya, beliau akhirnya memilih feminisme sebagai gaya penulisannya yang terkini.

Antara karya beliau yang baru diterbitkan ialah Kuala Lumpur di Sebalik Bulan. Novel itu memenangi hadiah utama dalam sayembara KLWBC 2020, dan merupakan novel yang mengangkat kisah realisme wanita penghuni ibu kota.

Hafizah Iszahanid dalam Membaca Karya Timur dan Barat

Menerusi sesi forum “Kata Penulis: Membaca Karya Timur dan Barat” itu juga, beliau bercerita dengan lebih lanjut perihal pengalamannya dalam menikmati pembacaan karya timur dan barat.  Beliau akui bahawa karya yang paling mempengaruhi cara penulisannya ialah karya dari timur. Ujarnya,

Saya masih terdedah dengan karya-karya barat, tetapi tidak seluas karya timur. Saya kenal dengan karya barat yang bersifat arus perdana seperti karya John Grisham, Barbara Taylor Bradford, Jane Austen sehinggalah ke Shakespeare.

Beliau lebih rapat dengan sastera timur, khususnya novel dari negara China. Hal ini kerana beliau beranggapan sastera timur lebih rapat dengan konteks sastera dan budaya tempatan. Karya yang disebut oleh beliau adalah seperti novel The Crazed (Ha Jin) dan Nanjing 1937 : A Love Story (Ye Zhaoyan).

Saya ada satu sifat sama seperti seniman lain iaitu hendak mencari sesuatu yang berbeza dengan orang lain. Seorang seniman tidak akan mahu menampilkan karya yang sama dengan orang lain. Saya juga tidak membaca mengikut pola trend pembaca lain. Saya tidak gemar menghadam pembacaan yang sama dengan orang lain.

Walaupun kebanyakan rakannya lebih terdedah dengan karya dari barat, beliau memilih karya dari timur sebagai sumber yang membentuk pengkaryaannya. Beliau mahukan kelainan dan sebagai orang Asia, beliau lebih cenderung untuk rapat dengan akar sejarah dan budaya orang Asia.

Baginya, dalam membaca karya dari barat, beliau tidak jumpa unsur kesamaan ataupun sentimen solidariti, sebaliknya ketika beliau membaca novel dari timur, perkongsian idea dan pengalaman itu lebih sebati memandangkan masing-masing menyimpan sejarah dan budaya yang hampir sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.