Oleh Jasni Matlani
9 Jun 2022, 13:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 6 Februari 2022. Ketika langit
di belahan dunia lain muram. Dunia tiba-tiba
tersedar dengan suara dan nyanyianmu
yang menyatukan segala bentuk
perbezaan. Perbezaan kasta, suku
kaum, warna kulit, dan agama. Suara
dan nyanyianmu mendamaikan segala
pertelingkahan merentas sempadan
geografi dan etnografi, dengan
pemimpin besar dunia di India,
Pakistan, Bangladesh, Nepal, dan
beberapa buah negara lain melupakan
persengketaan politik dan
segala bentuk perbezaan. Sebaliknya
sama-sama tunduk memberikan
penghormatan kepada seseorang yang
telah pergi selama-lamanya. Seseorang
yang telah dipinjamkan suara langit,
yang memberikan ketenteraman,
ketenangan, kebahagiaan dan
menyatukan manusia yang
berbeza warna kulit, budaya
dan kepercayaan.

Kau dipanggil si burung Bulbul,
walaupun lebih dikenali dengan nama
indah Lata Mangeshkar. Nama sebenarmu,
adalah Hema Mangeshkar.1 Kau bukan seorang
wanita cantik untuk ukuran seorang
artis. Wajahmu sederhana sahaja.
Tetapi suaramu berjaya menembusi
tembok sempadan negara bangsa.|
Suara halusmu berjaya
membunuh dan mengebumikan
muslihat politik durjana yang
memahkotakan perbezaan kasta,
sehingga para Brahmin, Kesatryia,
Vaisha, Sudra dan Paria bersiul
riang sambil menyembunyikan segala
bentuk kesedihan dalam alunan lirik
indah berfalsafah yang menggetarkan sukma.

Suara si burung Bulbul itu menenggelamkan
perbezaan faham dan anutan agama.
Sehingga orang Islam, Hindu, Buddha,
Jainisme, Sikh, Kristian dan
sesiapa sahaja, merasa bulu romanya
meremang ketika mendengar alunan lembut
suaramu dalam bahasa Hindi,
atau Benggali, atau Marathi atau dalam
bahasa Melayu juga.

Kau, si burung Bulbul itu, lahir sebagai seorang
Brahmin pada 28 September 1929
di sebuah kampung di India. Sejak kecil lagi
kau dididik dan didedahkan dengan dunia
seni yang membahagiakan semua orang,
tidak kira miskin atau kaya, berdarjat atau
tidak, berkulit hitam, sawo matang, kuning
langsat atau putih. Jika ego manusia dan
politik menghuru-harakan dunia dan manusia,
maka seni lagu menenteramkannya. Seni
lagu meresap jauh hingga ke lubuk batin dan
minda manusia, walaupun hidup di
tengah-tengah gelanggang perseteruan,
yang mengagungkan darjat dan nilai-nilai
kebangsawanan.

Jika sistem, budaya dan kepercayaan
masyarakat mewujudkan tembok kasta
dan perbezaan darjat yang tebal, seni lagu
meruntuhkannya. Seni lagu menemukan
manusia ruang halus sehingga mampu
mencairkan kekerasan. Seni lagu
menjadikan manusia lebih insaniah walau
dikepung nilai kebangsawanan.
Seni lagu menjadi air lembut
mencairkan batu gunung.

***

Bermula tahun 1940-an sehingga tahun 2020,
kau telah mengabdikan diri selama lebih 80 tahun
dalam dunia seni. Tuhan menjadikanmu insan seni
yang tiada tolok bandingan, dan telah mengorbankan
seluruh hidupmu untuk seni.

Kau bersaing dengan Mohammad Rafi untuk
dicatat dalam buku Guiness Book of Record
sebagai penyanyi paling banyak merakamkan
suara di India. Kau pernah menyanyi di Royal
Albert Hall London.

Malah, antara tahun 1947–1974 kau telah
merakamkan sebanyak 25 000 buah lagu
dan meninggalkan kesan besar kepada dunia.
Manakala, sumber lain melaporkan kau telah
merakamkan sebanyak 50 000 buah lagu dalam
hampir 20 bahasa, dalam tempoh yang sama.

Namun, memang terlalu banyak lagu
yang telah kau nyanyikan. Baik secara solo,
atau paduan suara bersama penyanyi
seperti Asha Bhosle (Adik kandungmu),
Suraiya, Shamshad Begum, Usha
Mangeshkar (adik kandungmu), Kishore
Kumar, Mohammad Rafi, Mukesh, Talat Mahmood,
Menna Dey, Hemant Kumar, G. M. Durrani,
dan Mahendra Kapoor.

Sebahagian besar lagu nyanyianmu
menjadi lagu latar filem yang menakjubkan,
menjadi siulan dan kegilaan
anak muda.

***

Selepas kematian Mukesh, Mohammed Rafi
dan Kishore Kumar, kau, si burung Bulbul
berpadu suara pula dengan Shailendra Singh,
Shabbir Kumar, Nitin Mukesh (anak Mukesh),
Manhar Udhas, Amit Kumar (anak Kishore
Kumar), Mohammed Aziz, Suresh Wadjar,
S.P. Balasubrahmanyam, dan Vinod Rathod.

Pada tahun 1980-an kau berduet dengan Roop
Kumar Rathod, Hariharan, Pankaj Udhas,
Abhijeet, Udit Narayan, dan Kumar Sanu.

Malah ramai orang yang masih mengingati
lagumu dalam filem Dilwale Dulhania
Le Jayenge yang terkenal dengan lagu
Mere Khwabon Mein Jo Aaye, Ho Gaya
Hai Tujhko To Pyaar Sajna, Tujhe Dekha
To Yeh Jana Sanam, dan Mehndi Laga
Ke Rakhna.

***

Di sepanjang kerjayamu sebagai penyanyi,
wahai si burung Bulbul, kau telah meminjamkan
suara untuk lagu-lagu indah filem
Yash Chopra. Chandi (1989) Lamhe (1991),
Darr (1993), Yeh Dillagi (1994), Dilwale
Dulhania Le Jayenge (1995), Dil To Pagal
Hai (1997), Mohabbatein (2000), Mujhse
Dosti Karoge (2002), dan Veer-Zaara (2004).

Malah, tatkala orang mendengar lagu Humko
Humise Chura Lo pasti mereka
tertanya-tanya siapakah pemilik suara
buluh perindu, yang syahdu, dan merdu
mempesona itu.

***

Kini kau telah pergi
meninggalkan sejumlah anugerah,
dan penghargaan.
di atas jasa dan pengorbananmu
dalam dunia seni, terutama dalam
gubahan lagu dan nyanyian. Kau diiktiraf
sebagai “One of the greatest and most
influential singers in India. Kerajaan India
mengiktiraf sumbanganmu selama lapan
dekad dalam industri muzik dengan
gelaran penghormatan “The Nightingale
of India”, “Voice of the Millennium” dan
“The Queen of Melody.

Pada tahun 2012, kau diletakkan dalam
rangking ke-10 Outlook India’s Poll
sebagai “The Greatest Indian”. Pada
tahun 1979, kau menerima anugerah
kedoktoran dalam bidang seni suara
daripada Sangeet Natak Academy,
kemudian gelar kedoktoran dari Indira
Kala Sangeet Vishwavidyalaya, Khairagarh,
seterusnya gelar kedoktoran dari Universiti
Shivaji, Kolhapur, India.

Pada tahun 1989, kau menerima anugerah
Dadasaheb Phalke Award, daripada
kerajaan India. Pada tahun 2001
kerajaan India sekali lagi memberikan
pengiktirafan dengan memberikan
anugerah Bharat Ratna, iaitu anugerah
penghormatan awam tertinggi di atas
sumbanganmu kepada negara India.

Kau adalah penyanyi wanita kedua
menerima anugerah itu selepas
M.S. Subbulakshmi.

Pada tahun 2007, kau menerima anugerah
awam tertinggi negara Perancis “Officer
of the National Order of the Legion of Honour”.

Kau juga menerima tiga Anugerah Filem
Nasional, 15 Anugerah Persatuan
Journalis Filem, empat anugerah
Filmfare Best Female Playback Awards,
dua Filmfare Special Awards, Filmfare
Lifetime Achievement Award
dan, banyak lagi.2

***

Pada hari pengebumianmu, kerajaan
India mengumumkan dua hari berkabung
di seluruh negara dan bendera negara
dikibarkan separuh tiang sebagai
tanda penghormatan terhadapmu.

Presiden India, Ram Nath Kovind,
Timbalan Presiden India, Venkaiah
Naidu, Perdana Menteri India,
Narendra Modi, beberapa orang
menteri, Ketua Menteri, ahli industri
muzik, ahli industri filem India,
selebriti, peminat, dan warganet
mengucapkan takziah atas
pemergianmu.

Malah, pemain Pasukan kriket India
mengenakan pakaian warna hitam
ketika melawan pasukan Pakistan.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan,
Perdana Menteri Bangladesh,
Sheikh Hasina, Perdana Menteri Nepal,
Sher Bahadur Deuba, Perdana Menteri
Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, turut
mengucapkan takziah dan berdukacita
atas kehilanganmu yang sukar
dicari ganti itu.3

Tidak ada manusia India yang menjadi
penyatu bangsa Aryan dan Dravidian
melalui kehebatan suara, lagu dan
nyanyian, kecuali kau, si burung Bulbul itu.

***

Sesungguhnya, di tanah Melayu, aku
membesar dan dewasa
dengan lagu P. Ramlee dan Saloma.
Sudirman, Sharifah Aini,
Uji Rahsid, Hail Amir, D.J Dave, dan
ramai lagi. Walau bagaimanapun,
aku tetap terasa kehadiran dan kehilanganmu
wahai si burung Bulbul yang terbang
ke langit.

Seperti kata Dilip Kumar, seniman Agung
India dan Pakistan itu, suaramu wahai si burung Bulbul
tetap terdengar di mana-mana seperti anugerah
Tuhan untuk kemakmuran dan kemanusiaan
sejagat yang tidak ada tolok bandingnya
pada abad ini.

RUJUKAN

  1. “Lata Mangeshkar” dlm. Britannica.com, 2022. Chicago: The Britannica Group, https://www.britannica.com/biography/Lata-Mangeshkar.
  2. “Who is Lata Mangeshkar” dlm. Business Standard, 2022. Delhi dan Mumbai: Business Standard Pvt. Ltd., https://www.business-standard.com/about/who-is-lata-mangeshkar.
  3. Vaidyanathan, Rajini. “Lata Mangeshkar: India Bids Farewell to Beloved Singer” dlm. BBC.com, 6 Februari 2022, https://www.bbc.com/news/world-asia-india-60094193.

Nota: Puisi karangan Jasni Matlani ini ialah sebuah puisi esei. Keterangan tentang puisi esei boleh dibaca dalam Dewan Sastera Bil.06/2022.

Kredit Gambar: Shutterstock

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!