5 Jun 2022, 21:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit yang berwibawa untuk menerbitkan pelbagai genre karya dalam pelbagai bidang telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang bertajuk Koleksi Cerita Siti dan Kumpulan Puisi Kolam Teduh Biru Sajak-sajak Suwarna. Majlis yang dirasmikan oleh Tokoh Wartawan Negara 2019, iaitu YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehudin Abg Shokeran, Pengerusi Lembaga Pengelola, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Encik M. Azahari Eden yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan, iaitu Tuan Haji Razali Che Mat dan Puan Mariati Josepha Mustapha, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja yang bertanggungjawab menangani penerbitan buku tersebut.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Menerusi ucapan alu-aluan majlis tersebut, YBhg. Datuk Abang Sallehudin, Ketua Pengarah DBP merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon kerana berjaya menghasilkan lima buku terbitan DBP, dan empat daripadanya merupakan buku kanak-kanak. Beliau berharap agar Sasterawan Negara tersebut terus menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja bagi meningkatkan penerbitan buku untuk bacaan generasi muda.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Awang Sariyan turut merakamkan ucapan tahniah kepada YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon atas kejayaannya menghasilkan lima buah buku tersebut untuk dilancarkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022.  Menurut YBhg. Prof. Datuk Seri Awang, DBP bukan hanya menumpukan penerbitan karya untuk orang dewasa, mantan remaja, golongan kanak-kanak dan remaja tetapi juga bergiat aktif melaksanakan Minggu Penulis Remaja yang digerakkan oleh YBhg. Tan Sri Johan Jaafar pada suatu ketika dahulu bagi melahirkan penulis remaja dan memajukan arena sastera negara. Oleh itu, beliau mengalu-alukan para pelajar mendaftar dengan DBP untuk diberikan latihan agar pelajar tersebut suatu hari nanti berupaya menghasilkan karya sastera, prosa dan sebagainya.

YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar.

Dalam ucapan perasmian, YBhg. Tan Sri Johan Jaafar menyanjung tinggi usaha YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon dalam menghasilkan karya atau genre penulisan untuk kanak-kanak dan remaja. YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon disifatkan oleh beliau sebagai seorang Sasterawan Negara yang berani melakukan pembaharuan dengan memberikan perhatian terhadap genre itu. Beliau telah menggarap keindahan dan situasi alam yang telah dilewati dengan kekuatan gaya bahasa yang puitis bagi menyerlahkan keindahan dan penghayatan terhadap karya-karyanya. YBhg. Tan Sri Johan Jaafar turut mengimbas semula pelibatan aktif Sasterawan Negara tersebut melalui satu gerakan seni, iaitu Gerakan Anak Alam. Gerakan ini merupakan satu gerakan seni yang unik dan luar biasa yang mengangkat menifestasi alam dan budaya moden dalam persembahan seni.

Menyedari nilai kesusasteraan perlu digembur dalam jiwa seawal peringkat kanak-kanak, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang sebelum ini banyak menghasilkan karya yang berbentuk kreatif seperti cerpen dan sajak untuk bacaan golongan dewasa, menghasilkan karya sastera untuk bacaan kanak-kanak. Koleksi Cerita Siti menghimpunkan empat buah buku yang dipersembahkan dalam bentuk puisi, iaitu Kebun Rama-rama, Rumah Semut Kuala Abai, Kampung Pulau Kelapa dan Mimpi Si Ikan Kaloi. Puisi-puisi yang terkandung dalam buku ini diwarnai dengan lukisan yang membawa jalan cerita dan mampu menarik perhatian kanak-kanak.  Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon menyatakan:

Ini adalah amanah yang perlu kita sampaikan kepada anak-anak kita. Ramai anak-anak kita membesar di luar negara yang tidak lagi tahu pantun dan gurindam. Kembalilah kepada bahasa ibunda. Itulah tujuan saya menulis agar generasi masa hadapan mempunyai nilai warisan.

Sebuah lagi karya nukilan YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail yang dilancarkan, iaitu Kumpulan Puisi Kolam Teduh Biru Sajak-sajak Suwarna yang menghimpunkan 50 buah sajak eceran yang terbit dalam Dewan Sastera antara tahun 2014 hingga 2019. Kebanyakan sajak tersebut berkisar tentang kehidupan dan peristiwa yang dialami oleh penulis dan memperlihatkan perlambangan identiti dan sejarah bangsa, budaya serta tatacara hidup masyarakat Melayu. Menurut Sasterawan Negara tersebut:

Sajak-sajak ini ialah gabungan beberapa pengalaman sosiobudaya dan kritikan sosial yang merupakan sebuah catatan sejarah yang tidak perlu dilupakan.

YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Selain itu, buah tangan baharu YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon, iaitu koleksi buku itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana memaparkan lukisan yang dihasilkan sendiri oleh penulis.

Majlis pelancaran tersebut juga turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi oleh adik Ameena Maryam (Tadika Ilham Pintar) dan Puan Zaharahanum Kamarudin (Bahagian Buku Sastera, DBP). Majlis pelancaran ini turut disaksikan oleh pelakon dan pengarah filem terkenal, Sabri Yunus. Turut sama hadir bagi memeriahkan majlis pelancaran ini ialah murid-murid Tadika Ilham Pintar dari Semenyih, Selangor yang turut diiringi oleh Ustazah Ema dan tujuh orang guru lain. Majlis bersurai pada pukul 3.30 petang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!