Oleh Abu Hassan Morad
17 Mei 2022, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, Abu Hassan Morad datang menemui Nazel Hashim Mohamad di Perlis.

Cikgu Nazel Hashim bukan pengarang sembarangan. Beliau meletakkan usia berbaki sebagai landasan sebenar untuk terus berkarya selagi hayat dikandung badan.

Suatu senja yang dingin, saya bersama Ilhami, bekas wartawan dan Nasir Muhammad dari syarikat Nuha Books berkereta ke utara tanah air untuk bertemu dengan sahabat lama, Cikgu Nazel Hashim Mohamad, pengarang tersohor di Kangar, Perlis.

Rumahnya di Behor Temak dipagari dengan pokok jati dan agak terlindung dari dunia luar walaupun hanya beberapa meter saja dari jalan utama. Rumahnya sangat sederhana dan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu perpustakaan, ruang tamu dan bilik rehat. Cikgu Nazel Hashim tinggal seorang diri setelah isterinya Puan Ampuan Hamzah, 41 tahun, kembali ke rahmatullah pada hari Selasa 15 September 2020 pada usia 75 tahun.

Di sinilah beliau beruzlah dan terus berkarya dan menghargai nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada beliau pada usia 80 tahun. Cikgu Nazel Hashim menumpukan penulisan pantun Melayu walaupun beliau berupaya berkarya dalam semua genre penulisan.

Sebagai seorang pengumpul buku yang bukan calang-calang, beliau mempunyai gaya tersendiri dalam kerja pendokumentasian. Beliau menyimpan semua rekod kegiatan, perjalanan dan foto-foto indah sejak zaman kanak-kanak lagi. Beliau juga mempunyai simpanan buku Tafsir al-Quran dalam pelbagai bahasa dari seluruh dunia.

Cikgu Nazel Hashim tokoh penulis yang sederhana tetapi sangat hebat dari segi berkarya. Beliau menulis dalam semua genre penulisan, tetapi yang lebih menonjol ialah novel kanak-kanak dan remaja serta karya terjemahan. Beliau menterjemah karya agung dunia, seperti karya Chinua Achebe, pengarang Nigeria. Achebe dan isteri merupakan pensyarah di Kolej Bard, Annandale, Amerika Syarikat. Antara yang pernah diterjemahkannya termasuk novel Juara Rakyat (A Man of the People), Panah Dewata (Arrow of God), Tiada Lagi Ketenangan (No Longer at Ease), Busut Savana (Anthills of the Savannah), dan Terlerai dan Berkecai (Things Fall Apart). Terlerai dan Berkecai, Tiada Lagi Ketenangan dan Panah Dewata merupakan siri novel Trilogi Afrika yang amat terkenal daripada Achebe dan pernah mendapat pujian daripada pelbagai pengkritik sastera.

Menariknya, Cikgu Nazel Hashim akan berusaha sendiri mendapatkan surat kebenaran penerbitan daripada penulis yang beliau terjemahkan karya mereka. Selain Chinua Achebe, beliau juga menterjemah karya Daisaku Ikeda seperti Wonderful Encounters (Pertemuan yang Indah), Unforgettable Friends (Sahabat yang Sentiasa di Hati); A Dialogue Between East and West oleh Díez Hochleitner dan Daisaku Ikeda (Dialog Timur-Barat), Global Civilization: A Buddhist-Islamic Dialogue oleh Daisaku Ikeda dan Majidi Tehranian (Peradaban Global: Dialog Buddha-Islam), karya drama Wole Soyinka, Death and the King’s Horseman (Kematian dan Pengawal Berkuda), dan novel pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Historia de Mayta (Riwayat Mayta) oleh Mario Vargas Llosa.

Beliau sekurang-kurangnya berjaya memanfaatkan pengalamannya dengan alam dan persekitarannya, yang digambarkan bagi pembaca muda untuk berinteraksi, memahami dan mencintainya.

Nazel mula aktif menulis mulai dekad 1970-an. Pengalaman hidup beliau di kawasan pelabuhan, hutan paya, pergunungan, dan sawah padi (setelah bermastautin di Perlis, kawasan bendang), ditambah dengan psikologi kanak-kanak yang dipelajari sewaktu di maktab perguruan, dan hubungannya dengan masyarakat guru dan bukan guru telah banyak membantu beliau dalam menghasilkan karya untuk kanak-kanak dan remaja.

Penulis bersama-sama Cikgu Nazel (duduk) di meja kerjanya.

Novel Sempadan Gua Badak (DBP, 1975) memaparkan keprihatinannya terhadap mergastua yang dikawal daripada kepupusan manakala novel Kisah di Sempadan (DBP, 1979) pula membawakan kisah misteri di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Novel Terowong Khazanah (DBP, 1980) yang memenangi Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel untuk Kanak-kanak Dewan Bahasa dan Pustaka 1978 (bersempena Tahun Antarabangsa Kanak-kanak 1979) berlatarkan kawasan Padang Besar di Perlis dan menyentuh tema setia kawan ASEAN. Sementara itu, novel Jatimulia (DBP, 1976) pula merakamkan suasana kawasan Pelabuhan Klang. Kawasan bukit batu kapur di Perlis dijadikan latar bagi novel kanak-kanaknya yang berjudul Kota Batu Kapur (Titiwangsa, 1977). Kawasan hospital lama Klang di atas bukit pula dijadikan latar bagi novel Komplot Penyeludup Mayat (Titiwangsa, 1977).

Beliau sekurang-kurangnya berjaya memanfaatkan pengalamannya dengan alam dan persekitarannya, yang digambarkan bagi pembaca muda untuk berinteraksi, memahami dan mencintainya.

Selain novel kanak-kanak bertemakan pengembaraan, beliau juga membawakan tema kekeluargaan yang amat popular, seperti novel Cita-citamu Cita-citaku (DBP, 1975) yang berlatarkan luar bandar, novel Ayah Kurindu Ibu Kusayang (DBP, 1977) yang berlatarkan kota Kuala Lumpur dan Perlis. Tema disiplin pula ditampilkan dalam novel Akhirnya Sebuah Derita (EUP, 1980), Rumah di Luar Pagar (DBP, 1982), dan Cikgu Farid (DBP, 1989).

Sebuah novel remaja berlatarkan kehidupan di hutan yang pertama kali menggunakan tema pascaapokalips dalam novel Melayu menyerlah dalam hasil karyanya, Tekad (DBP, 1991). Novel ini juga memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Menulis Novel Remaja DBP 1990. Malah, Nazel menyambung kisah kembara novel futuristik ini dengan Nekad (DBP, 2005), 14 tahun setelah terbitan Tekad. Sewaktu Cikgu Nazel berkursus di Manila, Filipina selama tiga bulan, beliau telah menghasilkan sebuah novel kanak-kanak berjudul Dahil Sayo, Mama dan telah memenangi Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel Kanak-kanak DBP 1991.

Sehingga kini, beliau telah menulis lebih daripada 130 buah karya yang terdiri daripada novel kanak-kanak dan remaja, karya terjemahan dan beberapa karya eceran yang termuat dalam buku antologi bersama. Hingga kini, cerpen dan puisi terjemahannya masih disiarkan dalam Dewan Sastera.

Cikgu Nazel Hashim Mohamad dilahirkan pada 23 April 1942, bersamaan 7 Rabiulawal 1361 pada hari Khamis, di Kampung Masjid Port Swettenham (sekarang Pelabuhan Klang), Selangor. Beliau anak kedua daripada delapan orang adik-beradik (empat lelaki dan empat perempuan). Beliau dibesarkan di Selangor tetapi mengambil keputusan menetap di Perlis. Negeri Perlis memang kaya dengan hidupan desa dengan sawah menghijau yang bertukar hamparannya sepanjang tahun. Hal ini membuatkan beliau jatuh cinta dengan Perlis. Beliau malah terlibat aktif sebagai Pegawai Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Duduk dari kiri: Penulis, Ilhami, Nasir Muhammad, dan Nazel Hashim Mohamad.

Setakat ini, Nazel banyak mengumpul dan mengarang pantun. Ada yang sudah diterbitkan dan ada yang belum diterbitkan. Setakat ini, sudah ada sebanyak 13 177 rangkap pantun(!) pelbagai tema yang dihasilkannya. Baginya, pantun Melayu merupakan warisan silam yang masih signifikan dan berfungsi dalam kehidupan kontemporari masyarakat Malaysia yang bukan sahaja disampaikan untuk berhibur tetapi menjadi pengenalan jati diri masyarakat pemiliknya. Pantun juga merupakan hasil karya yang kaya dengan unsur pengajaran dalam pendidikan. Contohnya, jika hendak menyampaikan pengajaran tentang agama, Nazel utarakan rangkap pantun empat kerat yang berikut:

Tidur Atas tilam,
       Baru rasa nyaman;
Orang beragama Islam,
       Kena jaga Iman.

Sampai dari Jeddah,
       Tepat pukul lima;
Jangan ambil mudah,
       Dengan soal agama.

Cikgu Nazel Hashim bukan pengarang sembarangan. Beliau meletakkan usia berbaki sebagai landasan sebenar untuk terus berkarya selagi hayat dikandung badan. Kata beliau, hidup ini seperti penerbangan, tiket dah ada. Jadual penerbangan pun dah tahu. Cuma kita menunggu panggilan untuk masuk ke dalam pesawat dan terbang. Itulah kita. Kita akan pulang juga kepada-Nya, cepat ataupun lambat.

_________________________

Abu Hassan Morad dilahirkan di Kodiang Kedah pada tahun 1957. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 27 novel kanak-kanak dan remaja serta 45 buah cerpen pelbagai tema. Beliau amat dikenali untuk novel remaja Julia (Utusan Publications and Distributors, 1999) yang terhasil daripada Peraduan Novel Remaja Utusan Public Bank 1998 (Hadiah Kedua) dan pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999, selain terpilih dalam barisan novel KOMSAS sekolah menengah tahun 2000–2010. Beliau juga pengarang novel remaja Titian Rindu, Natasya dan Cinta Madinah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.