13 April 2022, 18:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Rakan sastera dari Singapura sekali lagi memaparkan komitmen progresif mereka dengan menampilkan generasi muda yang mencorak dan membentuk wacana sastera tanah air mereka sendiri. Baru-baru ini melalui inisiatif di bawah Yayasan Warisan Melayu (Malay Heritage Foundation), sebuah webinar bersiri dengan visi yang segar dan kreatif menemui khalayak dengan nama webinar “Nilawarisan: Budaya, Bahasa, Sastera & Seni Berlanggam”.

Dr. Azhar Ibrahim, pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan bahawa webinar ini akan menampilkan pembentang daripada generasi muda, sama ada mahasiswa, penggiat sastera, bahasa mahupun sejarah. Beliau memberi bayangan bahawa webinar bersiri itu akan menjadi platform untuk mengumpulkan pemikiran dan pandangan perihal sastera serta bercadang untuk menerbitkan suara dan pandangan para panel dalam sebuah terbitan.

“Para panel kita ini terdiri daripada mereka yang telah dibentuk sebagai rakan sastera baharu. Melalui webinar ini, kami mengangkat khalayak muda untuk mencorak suara dalam wacana sastera tempatan,” jelas beliau lagi. Bagi siri pertama ini, lima orang panel tersebut itu ialah Muhammad Khairool Haque, Nur Diyanah Dali, Nurain Abdul Raheem, Muhammad Ilya Kamsani dari Singapura, dan Nurhuda Ramli dari Malaysia.

Dalam pembentangan Nur Diyanah Dali dan Nurain Abdul Raheem, tema wanita seperti kepengarangan wanita dan pemikiran wanita diangkat sebagai topik analisis mereka.

Menurut Nur Diyanah, suara penulis wanita ialah “penyongsong kemajuan”. Melalui perkongsian beliau dalam pembentangan berjudul “Unsur Sejarah dalam Puisi Melayu Penulis Wanita” itu, beliau menegaskan bahawa penulis wanita tampil sebagai barisan penyair yang berjaya memberi kesan dan impak kepada generasi hadapan.

Penulis seperti Hadjah Rahmat, Rasiah Halil dan Hartinah Ahmad dijadikan pilihan Nur Diyanah untuk memaparkan peranan pengarang wanita dalam sisi spesifik itu. “Puisi “Cerita Rakyat” karya Hadijah Rahmat menghidupkan sejarah dengan menggunakan fakta sejarah untuk menggambarkan konteks hari ini. Karya tersebut bukan sekadar penceritaan semula, malah kritikan pemikiran masyarakat Melayu pada masa dahulu yang masih diteruskan sekarang.

“Penyair Hadijah Rahmat menggunakan pengalaman yang lalu untuk melakukan apa-apa yang sepatutnya dilakukan pada masa kini. Beliau mentafsir sejarah dengan bermakna untuk khalayak masa hadapan.”

Manakala melalui “Peristiwa”, Rasiah Halil memberi gambaran yang jujur tentang penjajah dan penindas serta konsep kuasa yang menggelapkan. Rasiah mengolah suatu perspektif sejarah silam yang berkemungkinan terlepas pandang daripada pandangan masyarakat.

Puisi “Sekuntum Bunga Kecil Biru Di Landasan Keretapi Tanah Melayu” karya Hartinah Ahmad pula memainkan peranan sastera sebagai alat dokumentasi tempat bersejarah. Dalam “Sekati Tamban, Secekak Bayam dalam Bakul Rotan” pula, Hartinah mengemukakan puisi sebagai dokumentasi sejarah pengalaman dan cara hidup masyarakat dahulu daripada sudut pekerjaan, sosial dan ekonomi.

Selain itu, Nurain Abdul Raheem pula mengetengahkan tema wanita dan kemiskinan melalui pembentangan beliau, “Tema Wanita dalam Novel Kota Airmata & Ranjau Sepanjang Jalan”. Melalui karya tersebut, Latiff Mohamed menggambarkan kemiskinan yang dihadapi masyarakat di tangan kapitalisme. Kemiskinan wanita itu pula dilihat daripada sudut watak Mak Munah dan Ani sendiri. Mereka mewakili wanita yang berpendidikan rendah dan tidak mempunyai pekerjaan yang baik untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. “Latiff Mohamed memberi suara kepada Mak Munah yang menunjukkan keberpihakannya kepada golongan yang tersenyap. Kita dapat melihat gambaran keganasan keluarga yang seolah-olah disenyapkan.”

Begitu juga melalui novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad yang turut menekankan peranan kapitalisme yang menghimpit dunia masyarakatnya. Melalui kejerihan dan kepayahan watak Jeha, pembaca diajak untuk menghayati keperitan kemiskinan rakyat luar bandar serta ditambah pula dengan kematian suaminya yang menyebabkan Jeha terkial-kial mencari rezeki.

Nurain merumuskan bahawa terdapat keperluan untuk memahami permasalahan wanita bandar (Kota Airmata) dan luar bandar (Ranjau Sepanjang Jalan). Setiap peringkat kehidupan wanita itu ada stereotaip atau jangkaan masyarakat tertentu seperti pemikiran patriarki dan sistem ekonomi kapitalisme.

“Bukanlah tujuan pengarang untuk menyatakan tentang feminisme atau memperjuangkan feminisme melalui karya mereka. Tujuannya adalah untuk mengemukakan perihal kemiskinan dan keperitan masyarakat. Namun begitu, tidaklah keterlaluan jika kita ingin mengatakan Latiff dan Shahnon sebagai pengarang yang mempunyai kesedaran tentang permasalahan dan keperitan yang dilalui wanita dalam masyarakat mereka,” ujar Nurain menyimpul bicara.

Tiga lagi pembentang dalam webinar ini masing-masing mengemukakan dapatan mereka yang kreatif, kritis dan segar. Khairool Haque mengangkat nama-nama penyair yang berpuisi dengan unsur sufisme dan kritikan beliau terhadap mereka. Nurhuda Ramli pula mengkritik pengkaji sastera dalam menyatakan kebenaran terhadap teks klasik, lebih-lebih lagi teks klasik yang menindas suara wanita. Ilyas Kamsani pula mengupas cerpen-cerpen A. Samad Ismail yang beliau sifatkan sebagai wartawan yang disegani dalam dunia kewartawanan, tetapi merupakan seorang sasterawan yang dilupakan.

Tonton rakaman webinar penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.