Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Hari Puisi Sedunia yang telah dinobatkan oleh UNESCO pada tahun 1999 adalah sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap puisi dan penggiatnya. Hari bersejarah ini diraikan setiap 21 Mac bertujuan mempromosikan puisi dan pembacaan di seluruh dunia.
Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) mengambil peluang menyemarakkan Hari Puisi Sedunia tersebut dengan menganjurkan Pengucapan Puisi Kota Bharu 2022. Program pengucapan puisi ini diadakan sejak tahun 2014 dengan penglibatan penyair dari pelbagai negeri. Program ini digagaskan bukan sekadar untuk menggalakkan penulisan puisi dan percambahan aktiviti sastera, tetapi memartabatkan puisi pada tempatnya yang lebih tinggi agar dekat dalam hati masyarakat. Sastera dan puisi diharapkan berupaya menyentuh hati dan minda serta memperkaya pemikiran.
Dato’ Haji A. Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dalam ucapan perasmian program Pengucapan Puisi Kota Bharu di Dataran Bandaraya 2022 berkata, “puisi bukan sekadar kata-kata tetapi memberi maksud, membuahkan pemikiran dan terselit didikan serta hiburan apabila dibaca dan diucapkan.” Beliau juga turut tampil membaca sajak berjudul “Kekuatan Hati”.
Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP juga turut menyampaikan sebuah sajak satira beliau berjudul “Sebelum dan Sesudah Pilihan Raya”. Tidak ketinggalan memeriahkan program tersebut juga ialah Pengarah DBP Wilayah Timur, Mohd Azam Juhari yang membaca puisi bercorak islamik bertajuk “Taubat”, karya Hamka. Selain itu, Pegawai Adat, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Baharin Ilias pula mendeklamasikan sajak berjudul “Covid-19” yang dipetik daripada buku Jati Diri Bangsa karya A. Aziz Deraman.
Selain itu, Maroof Seman yang merupakan salah seorang juara sayembara deklamasi puisi kebangsaan tampil menutup tirai persembahan puisi dengan sajak bernada perjuangan berjudul “Rekwin: Benjamin Moloise” karya Puzi Hadi. Antara penyair yang turut menyampaikan sajak ialah Wan A. Rafar, Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), M. Arif (PERADABAN), Aris Othman (DBP), Chu E Liang (PPK), Sujata Wee (Persatuan Peranakan Cina Kelantan) dan Rosnani Ripin (PPK/KIAS).
Majlis juga turut dimeriahkan dengan improvisasi Main Puteri dan iringan muzik tradisional serunai serta gendang yang dipersembahkan oleh Abdul Razak Ismail dan Abdul Hadi Yusoff yang membawakan tema isu bahasa. Azman Mohd Daham (MPKB-BRI) dan KB Buskers turut memeriahkan persembahan dengan menyampaikan lagu “Tanya Sama Itu Hud-hud”.