Oleh Harlym Yeo
10 Disember 2021, 20:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program Apresiasi Puisi Ilmu, Seni dan Kehidupan anjuran kerjasama antara Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), dan Kerabat PEMUISI, iaitu Alumni Bengkel Puisi Merdeka kali ini menjalinkan bidang ilmu dengan bidang seni dalam konsep yang santai dan menghiburkan. Acara ini diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-49 UKM yang menampilkan ilmuwan dan tokoh akademik, yang antara lain terdiri daripada Naib Canselor, Profesor dan Sasterawan Negara.

Program yang dirasmikan oleh Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Othman Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor, Hal-Ehwal Pelajar UKM diadakan dalam talian menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka dan Facebook ATMA UKM pada 8 Disember lalu bermula jam 9.00 malam.

“Majlis puisi pada malam ini lebih istimewa apabila tujuan penganjurannya dikaitkan dengan matlamat untuk memekarkan seni bahasa dan sastera dalam kalangan ilmuwan.

“Memang selama ini wujud penglibatan ilmuwan dalam bidang sastera, namun jumlah yang terlibat perlu ditingkatkan dan diluaskan agar wujud kesepaduan antara bidang ilmu dengan bidang seni, dua komponen kehidupan yang tidak mungkin dapat dipisahkan untuk memenuhi erti kehidupan yang hakiki,” ujar Othman semasa memberi ucapan perasmian semalam.

Menurut beliau lagi, dikotomi atau pengasingan yang masih wujud antara bidang ilmu dengan bidang seni perlu diatasi melalui kurikulum, pendidikan formal dan juga pendidikan tidak formal, seperti kegiatan pada malam itu.

“Adunan ilmu dan seni sebagai salah satu unsur penting dalam Teras UKM sebagai universiti watan akan terus dipertahankan. Falsafah penubuhan UKM yang bersendikan ‘paduan antara iman dan ilmu’ dijadikan landasan pengisian kurikulum dan kegiatan kokurikulum universiti agar siswazah yang dilahirkan dapat menjalani kehidupan secara bersepadu dan dapat memberikan sumbangan kepada negara dengan lebih berkesan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran yang menyeluruh,” tambah Othman lagi, sebelum beliau menutup ucapannya dengan sajak, “Dirgahayu Pejuang Watan”.

Selaku penganjur utama program yang mengetengahkan tema ilmu, seni dan kehidupan, Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengarah ATMA dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika berucap memaklumkan bahawa majlis puisi ini diadakan sebagai penghargaan kepada UKM yang menjadikan ciri-ciri watan sebagai naratif baharunya, seperti bahasa Melayu, warisan, patriotisme, dan perpaduan, bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-49 UKM.

Majlis Konvokesyen ke-49 UKM sudah berlangsung dari 27 November 2021 hingga 8 Disember 2021.

Dedikasi Awang terhadap UKM dapat dikesan melalui bait-bait puisinya berjudul “Mercu Suar Watan Bestari” yang beliau deklamasikan lewat malam itu. Antara petikan sajaknya adalah seperti berikut:

Dikaulah suri teladan
Dikaulah tunjang kebitaraan watan
Dikaulah madrasah tonggak harapan
Maka sekalian pemuka dan warga pilihan
di pundak kalian terletak taklif sepanjang zaman
Memugar, melestarikan madrasah besar
bernama Universiti Kebangsaan
Penyumbang globalisasi lewat kearifan watan
hasil penerokaan dan pencernaan cendekiawan terbilang
Kekal teguh jati diri
lamun di dunia tersohor berdiri.

“Puisi membawa bukan saja imej tetapi di bawahnya, ada aliran perasaan, kenangan dan kasih sayang. Maka, kita perlukan bentuk persembahan begini untuk menambah lagi alunan kata dan kasih sayang kita terhadap UKM,” ujar Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang mempersembahkan karya beliau berjudul “Sajak untuk Shamsani”.

Sementara itu, menurut Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob pula, puisi berfungsi sebagai pembina semangat, yakin diri dan kepandaian mengucapkan kata.

“Puisi bukan untuk khayalan atau hiburan semata-mata,” tegas Hashim yang mendeklamasikan sajak “Takkan Melayu Hilang di Dunia”.

Majlis baca puisi itu juga diserikan dengan penampilan Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dengan sajak beliau, “Bumi Akar Kami”, dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh yang mempersembahkan sajak berjudul “Nyanyian”.

Sebagai rakan strategik penganjuran program apresiasi puisi kali ini, PEMUISI dan DBP masing-masing menampilkan Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim melalui persembahan puisi berjudul “Maruah” karya Wanrazuhar, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Padteli Abang Muhi dengan sajaknya sendiri, “Tentang Bahasa Kebangsaan Kita”.

Menyemarakkan lagi majlis pada malam itu, pentas dalam talian juga digegarkan dengan karya Awang Sariyan oleh Juara Kebangsaan Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2013, Datin Seri Haryani Haron yang melantunkan puisi berjudul “Menuntun Si Merdeka” dan Harlym Yeo selaku pengacara bersama Norhasmanalinda Mustapa memilih karya berjudul “Payung Negara”.

Dalam kehangatan berpuisi, program majlis itu juga diadun dengan selingan persembahan seni muzik yang menarik dan memikat penonton melalui dendangan lagu puisi oleh Roslan Madun dengan karya beliau berjudul Nazam Hati Mulia dan Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Adiwangsa Sukma bertajuk Bunga Ros. Selain itu, penonton juga disajikan dengan persembahan puisi tradisional berjudul “Teromba Alam Terkembang Sebagai Guru” oleh Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin, Felow Penyelidik Kanan ATMA.

Ketika menyampaikan ucapannya, Awang Sariyan berharap agar program itu dapat diteruskan sekurang-kurangnya dua bulan sekali secara lebih meluas dan berhasrat agar majlis seumpama ini dapat diteruskan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang lain agar acara sebegini dapat terus disuburkan.

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.