8 November 2021, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian “Di samping kita melihat dan mengamati lambang kemodenan dunia dalam karya puisi, penting untuk kita ambil tauladan dan penghargaan akan anugerah ekosistem dan alam semula jadi negara,” sebut Ybhg. Dato’ Zainal Abidin Borhan pada malam penutup Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21.

Upacara sastera dan puisi itu dilangsungkan di Tanjung Piai Resort, Kukup, Pontian yang menjadi tempat perrtemuan terakhir para tetamu Hari Puisi Nasional dalam Malam Jubli Emas, pada 30 Oktober 2021 (Sabtu), 8.30 malam.

Dato’ Zainal Abidin yang juga Ketua Satu GAPENA malam itu menjelaskan peranan puisi untuk mengangkat sejagat bangsa, juga (puisi yang) mampu untuk menanam benih semangat melestarikan alam sesebuah bangsa itu sendiri.

Semangat ini juga diangkat oleh Dato’ Haji Jefridin Atan, senator Ahli Dewan Negara, yang merasmikan Malam Jubli Emas HPN-21, dengan menyuarakan rasa penghargaan kepada penganjur yang memilih bumi Tanjung Piai sebagai gelanggang berfikir dan merancang masa depan kepenyairan negara.

“Tanjung Piai ialah sebuah kampung nelayan, yang puluhan tahun sudah didiami dan diusahakan, namun pembangunannya amat perlahan. Masyarakat di sini masih mengamalkan amalan pertanian secara tradisional, malah belum ada yang membuka ladang atau perusahaan yang cukup besar, yang mampu mengubah roh dan cara kehidupan mereka,” jelas Dato’ Jefridin.

Beliau menyatakan juga harapan bahawa dengan kehadiran GAPENA dan tokoh-tokoh kepenyairan negara di bumi Tanjung Piai itu bersempena HPN ke-21, akan membawa satu semangat dan wacana yang memberi jiwa baharu untuk masyarakat di situ.

Dato’ Jefridin juga mengambil peluang untuk menyuarakan peringatan bahawa kerajaan Malaysia harus mempunyai pertimbangan yang sewajarnya dalam mengusahakan pembangunan fizikal negara, dengan pembangunan manusiawi.

Beliau menegaskan, jangan mudah terpengaruh dengan pembangunan fizikal yang pesat, sehingga lupa akan akar budaya. Contohi negara jiran dalam usaha memartabatkan bahasa mereka. Dalam hakiki perbahasan hari ini, beliau tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa berwajah antarabangsa, tetapi jangan sesekali dilupakan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.

“Kita sudah membangun berdekad-dekad lamanya, tetapi kenapa ada yang tidak yakin dengan bahasa kita? Kenapa kita perlu guna bahasa lain untuk membangunkan negara kita?” Dato’ Jefridin mempertikaikan keputusan sesetengah sektor yang menolak kalangan yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris, sedangkan latar pendidikan mereka dirakam sebagai cemerlang, seperti dalam bidang sains kemanusiaan atau sastera dan bahasa Melayu. Sedangkan, sesetengah sektor itu sendiri hanya berkhidmat di kawasan-kawasan kampung dan rakyat Malaysia yang berbahasa Melayu.

Penulis-penulis harus peka dan kritis terhadap kemaslahatan masyarakat mereka, kerana menurut Jefridin, “daya penulisan kita lebih tajam darpada lidah”. Tambahnya lagi, jiwa seorang pemuisi ini halus, yang memperlihatkan jiwa dan maksud antara alam dengan manusia, malah mempunyai sudut pandang yang berbeza tentang perjuangan alami.

Dato’ Jefridin berharap agar puisi bergerak maju dan akan terus mempertahankan bahasa dan bangsa budaya negara.

Acara pengucapan puisi pada Malam Jubli Emas dilaksanakan oleh deklamator-deklamator yang terdiri daripada tokoh mutakhir kepenyairan negara, dimulakan dengan persembahan Puisi Rejang oleh Mohd Rafizi dan Norhazila Ahmad Kamsi, disusuli deklamasi puisi oleh penerima Anugerah Puisi Nasional, Mahaya Mohd. Yassin, lalu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan membawa puisi “Permainan Apakah Ini”. Kemudian, Datin Sri Haryani Haron membawa puisi “Menuntun Si Merdeka” nukilan Awang Sariyan, lalu Dr. Shamsudin Othman membawa puisi-puisi nukilan beliau. Setelah itu, Norliza Haji Md Yamin pula membawa sebuah syair berirama Berdondong yang digabungkan dengan irama Ayuhai, dan beberapa lagi persembahan deklamasi daripada tokoh penyair.

Malam Jubli Emas yang merupakan acara penutup Hari Puisi Nasional ke-21 itu menyaksikan sebuah pentas wacana yang mengangkat peranan ranah kepuisian negara, titik temu dan pertembungan pemikir-pemikir puisi negara dan juga sebagai sebuah ruang penghargaan buat tiga penyair prolifik dalam ranah sastera tempatan, Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly yang menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021.

Acara malam itui juga ditayangkan secara langsung di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka, yang boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.