4 November 2021, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Yang Berhormat Dato’ Haji Abdullah Ya’kub, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan telah melancarkan buku kumpulan puisi Getam Guri Bunga Matahari pada 30 Oktober 2021 yang lalu di Tunjong, Kota Bharu.

Buku hasil karya M. Nizam Rahman ini merupakan nama pena Yang Berhormat Dato’ Mejar (B) Haji Md. Anizam Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan.

Beliau merupakan pesara Angkatan Tentera Malaysia dan amat meminati seni budaya dan kesusasteraan Melayu. Beliau merupakan ADUN Kemahang pada tahun 1999 sehingga kini.

YB Speaker dalam ucapannya menzahirkan tahniah kepada penulis, kerana bukan sahaja sebagai pemimpin dalam Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), tetapi mahir dalam ilmu persilatan atau ilmu pertahankan diri, serta menguasai bidang bahasa dan sastera.

Yang Berhormat Dato’ Mejar (B) Haji Md. Anizam Ab. Rahman

Menurut M. Nizam Rahman, Getam Guri Bunga Matahari (GGBM) merupakan cetusan rasa hati tentang apa yang dilihat, dirasai tentang alam dan pengalaman kehidupan. Perkara ini meliputi pelbagai sudut yang cuba diketengahkan kepada masyarakat, sesuai dengan tugas dan amanat yang dipikul.

Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari pula menyatakan perasaan berbangga, apabila sejumlah puisi yang besar berjaya dihimpunkan oleh seorang YB Exco Negeri. Rosli bangga dengan sifat penulis yang meminati dan mencintai puisi.  Selain itu, YB Exco juga mengetahui, dan menghargai dengan mendalam serta halus daya penghayatan puisinya. Penulis juga berbakat, kreatif, gigih dan tekun dan sepertinya sudah lama menulis, diam-diam di luar pengetahuan dari kalangan penulis, dan penggiat  seni negeri dan tanah air. “Inilah tokoh pemimpin yang benar-benar tegar berdiri di landas kepimpinan melalui teladan,” ujar Rosli K. Matari.

Tambah Rosli lagi, puisi tidak mudah diciptakan. Malah, dapat dibanggakan puisi beliau memperlihatkan keistimewaan khas dari segi pemikiran, kepekaan, kecaknaan, dan kecintaan mendalam terhadap aspek kesenian, kebudayaan, warisan, sejarah, dan kemasyarakatan Kelantan. Hal ini memberikan perkongsian menarik dan bermakna, justeru dapat memperkaya sensitiviti, pengetahuan dan apresiasi pembaca terhadap pelbagai aspek keistimewaan negeri Kelantan. Rencam pemikiran lain mencakupi semangat dan perjuangan hidup, nostalgia diri, alam, tanah air, kasih sayang, muhibah dan perpaduan, falsafah, dan keislaman.

Kumpulan puisi yang mengandungi 65 buah puisi ini terbitan 2021 oleh Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA).  Majlis bersempena dengan Mesyuarat Agung Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) ke-29 ini telah diserikan dengan persembahan deklamasi puisi bertajuk “Banjir” karya M. Nizam Rahman oleh Siti Nur Fatihah Zainal Abidin, Naib Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan 2021.

Majlis turut dihadiri oleh Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam), Encik Norhalis Mohamed Noor (Ketua Penolong Setiausaha, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan), dan Encik Zainal Abidin Muhamad (Ketua Satu GEMA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.