30 Oktober 2021, 22:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian “Apabila kita telah memilih cabang jalan untuk menjadi seorang penyair, maka perlu juga dihayati, terdapat peringatan dalam al-Quran berkenaan penyair dengan konteks yang sangat jelas, iaitu kalimah al-syuara’, yang menyentuh perihal kejujuran seorang penyair dalam berkarya,” kata Dr. Shamsudin Othman dalam Majlis Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21 semalam (29 Oktober 2021, Jumaat), yang berlangsung di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian, Johor.

Majlis himpunan para penyair nasional itu berlangsung selama dua hari, 29 dan 30 Oktober 2021, yang turut disiarkan secara langsung di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), anjuran bersama DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan sokongan Kerajaan Negeri Johor.

Dalam penyusunan sejarah perkembangan kepenyairan Malaysia, Shamsudin sebagai penyampai ucaptama majlis menyenaraikan empat jalur yang telah membentuk dan melentur bentuk perkembangan kepenyairan negara.

“Ia (patut dan harus) bermula dengan penyair yang bernama Omar Mustaffa. Sebagai penggerak jalur pertama dalam sejarah perkembangan puisi Melayu, tokoh inilah yang bertanggungjawab menyerlahkan dan membentuk struktur perbezaan antara puisi Melayu tradisional dengan puisi Melayu moden,” jelas Shamsudin. Selain Omar Mustaffa yang mencipta gagasan puisi moden, Kasmani Haji Arif dan Ngoba adalah antara nama yang seangkatan dengannya.

Manakala jalur kedua pula dilihat terbit dalam jiwa penyair-penyair zaman Usman Awang, Baha Zain, Latiff Mohidin, Kemala, T. Alias Taib, dan semua yang seangkatan dengan mereka, kerana dapat meruntuhkan tembok teknik dan bentuk penulisan sajak yang digagaskan oleh penyair jalur pertama tadi. Seterusnya, jalur ketiga disambung pula oleh generasi penyair Rahman Shaari, Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, S.M. Zakir, dan Norhayati Ab. Rahman (dan yang seangkatan dan sekuliah dengan mereka).

Akhirnya, jalur keempat dalam perkembangan kepuisian negara kita dapat dilihat dengan nama penyair, seperti Fahd Razy, Muzaf Ahmad dan Raihani Mohd. Saaid, yang telah mula menunjukkan keberanian mencipta bentuk baharu dalam struktur puisi moden negara. Penyair generasi baharu kini mula keluar daripada kepompong bentuk puisi yang telah berdekad lama bernafas sama.

“Seperti Muzaf Ahmad yang membicarakan kedamaian dalam puisi “Perjalanan Penyair”, beliau telah melihat dan menterjemahkan makna kedamaian itu dalam satu bentuk yang baharu melalui puisi,” ujar Shamsudin Othman.

Pemenang SEA Write Award (Malaysia) 2020 ini juga mengetengahkan pandangan, tentang apakah keperibadian dan ciri-ciri utama yang membentuk seorang penyair. “Apabila berkarya, tulislah sesuatu yang memberikan impak menerusi konsep pengabdian (iaitu ketakutan), justeru dapat melahirkan rasa jujur, rasa insaf dan rasa taqwa dalam karya mereka.”

Penyair juga sebagai seorang manusia, haruslah mempunyai idolanya, dan idola dalam konteks agama Islam seharusnya mengangkat keperibadian utama Rasulullah SAW sendiri, iaitu siddiq, amanah, tabligh, dan fatonah. Menurut Shamsudin lagi, puisi ini hadir dalam satu pengucapan yang seiring jiwanya dengan sifat-sifat wajib Rasulullah yang empat itu.

Akhirnya, garis pemisah dan batasan serta ritma yang dapat disusun seseorang penyair untuk berkarya setelah menguasai ciri-ciri berikut adalah bergantung pada kekuatan gaya bahasa mereka. Tiga ciri ini disenaraikan oleh Shamsudin Othman sebagai ciri-ciri utama dalam penyair negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut memeriahkan Ucaptama Hari Puisi Nasional ke-21. Mulanya, beliau menyentuh isu sistem pendidikan yang masih pincang dalam meletakkan gagasan sastera di tempat yang sepatutnya.

“Sastera seperti puisi (dan prosa) harus diletakkan di atas landasan yang tepat sebagai satu saluran keilmuan dan pengukuhan adat dan sahsiah. Kepincangan yang nyata di ranah pendidikan kita hari ini boleh dimetaforakan melalui pelaksanaan umat Islam terhadap hukum fardu ain dan fardu kifayah.

“Seperti mana kedua-dua hukum ini, kerap kali masyarakat memandang abai yang satu lagi dengan ayat-ayat seperti; ‘orang lain sudah buat, aku tidak perlu buat’, sedangkan sudah jelas bahawa kedua-dua ibadah ini adalah kunci keutuhan keimanan seorang Muslim,” jelas Awang Sariyan.

Beliau menerangkan lagi, begitulah juga rupanya dengan isu pendidikan Malaysia hari ini. Ilmu kebudayaan, kesenian, bahasa dan kesusasteraan tidak lain tidak bukan merupakan ilmu yang melengkapkan seorang manusia yang berjiwa dan mempunyai sifat kemanusiaan dalam satu masyarakat. Malah, penyair dan penulis perlu memainkan peranan untuk membetulkan kepincangan dalam masyarakat mereka.

Perihal inisiatif dan apakah perlunya strategi untuk memasyarakatkan sastera, beliau mengemukakan soalan, “Adakah cukup dengan khalayak yang sedia ada? Atau perlukah untuk kita melakukan sesuatu, supaya karya dan gagasan sastera kita hari ini dapat merentas semua khalayak pelbagai kalangan?”

Ranah sastera tempatan hari ini yang melihat ahli perubatan, ahli kejuruteraan dan ahli sains melibatkan diri dalam wacana-wacana sastera semasa, bagi Awang Sariyan, belum dikira mencapai satu tahap yang menggambarkan sastera negara sudah menjangkau dan merentas semua kelompok masyarakat. “Kita perlu mengatur strategi untuk mengatasi isu ini yang semakin diperbesarkan dan menjadi polemik wacana sastera kita,” ujarnya.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad merasmikan majlis HPN ke-21 pada sesi pertama jam 3.30 petang. Susulan upacara perasmian, YAB Dato’ Hasni turut serta dalam upacara pelancaran naskhah Antologi Puisi Karya Penyair GAPENA dan Johor.

Dalam acara perasmian itu juga, berlangsungnya Penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2021, yang dianugerahkan kepada Ahmad Sarju, Mahaya Mohd. Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly, manakala Amiruddin Md. Ali Hanafiah pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penyair Johor, yang juga merupakan Pengerusi Hari Puisi Nasional ke-21 tahun ini.

Tonton ucaptama penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.