Oleh Karmila Azmi
30 Oktober 2021, 00:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian – Tiga orang penyair menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021 dalam majlis serba sederhana sempena pelancaran Hari Puisi Nasional (HPN) ke-21 di sini, petang semalam yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad.

Pengiktirafan itu menyaksikan Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Muhammad Ramly menerima watikh pengiktirafan, penerbitan buku, wang tunai dan ruang perbincangan karya. Ketiga-tiga penerima merupakan penyair prolifik dalam ranah sastera kebangsaan.

Ahmad Sarju, pengarang yang berasal dari Klang, Selangor, mula berkarya pada tahun 1970-an dengan hasil tulisan awalnya diterbitkan dalam majalah Mutiara di Singapura. Beliau kerap memenangi pelbagai hadiah sastera sejak 1970-an, malah dinobatkan sebagai Tokoh Penulis Selangor pada tahun 2013. Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan lebih 10 kumpulan puisi.

Mahaya pula bukan sahaja dikenali sebagai seorang penyair, sebaliknya sebagai pendidik dan aktivis seni. Beliau yang merupakan mantan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan sejak tahun 2006 hingga 2020 bukan hanya menulis puisi, tetapi juga cerpen, buku kanak-kanak dan juga naskhah akademik. Beliau juga merupakan Munsyi Dewan.

Sementara itu, Shapiai ialah nama yang tidak perlu diperkenalkan bagi peminat puisi di Malaysia. Berasal dari Perak tetapi menetap di Johor sejak tahun 1970-an, puisi Shapiai kerap menambat hati juri hingga membolehkannya kerap memenangi pelbagai hadiah sastera. Antara naskhah kumpulan puisi tulisan beliau termasuk Aku Ingin Berbeka-Beka dengan-Mu.

Anugerah Penyair GAPENA diadakan sebagai resolusi HPN ke-9 di Sematan, Sarawak yang mencadangkan GAPENA hendaklah menamakan penyair pilihan pada setiap acara HPN. Anugerah ini kemudiannya mula diberikan pada tahun 1987 dalam sambutan HPN di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada majlis yang sama, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Ketua Dua GAPENA merangkap Pengerusi Hari Puisi Nasional ke-21, berjaya merangkul Anugerah Penyair Johor.

Dato’ Haji Hasni Mohammad yang turut merasmikan majlis telah melancarkan lima judul buku sastera baharu, iaitu antologi puisi Gema Membelah Gema 19, Munajat untuk Palestin, Anugerah Penyair GAPENA, kumpulan puisi Layar Juang, dan Soneta Pohon Zaitun.

Turut meraikan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua Satu GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Borhan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang, Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Tuan Haji Abdul Halim Haji Harun, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, dan Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Puan Norhafizah Mohamed Husin.

Hari Puisi Nasional ke-21 berjalan selama dua hari, bermula pada pagi semalam dengan Diskusi Puisi Johor. Pada malamnya, diadakan Malam Puisi Nasional. Pada hari ini (Sabtu, 30 Oktober), diadakan Bicara Karya Penyair GAPENA, Forum Penyair: Puisi dan Kedamaian, Sambutan Jubli Emas Hari Puisi Nasional dan Kunjungan Puisi, serta Malam Jubli Emas Hari Puisi Nasional ke-21.

Tonton majlis perasmian penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.