Oleh Orked Una
11 Oktober 2021, 07:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nusa Centre mengadakan sebuah Program Sambutan Penerima SEA Write Award 2019 bagi meraikan penyair mapan Dr. Shamsudin Othman. Program ini disiarkan secara langsung di Facebook Nusa Centre pada Sabtu, 9 Oktober 2021, pukul 9.00 malam dan dikendalikan oleh Mohd Nazmi Yaakub, dengan penampilan khas pemuzik Yuzailan Yusuf.

Shamsudin Othman, seorang penyair dan juga seorang ahli akademik memulakan bual bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi sekretariat SEA Write Award menguruskan pencalonan penulis-penulis Malaysia dan kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menyediakan pelapis untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah penting tanah air, Asia Tenggara dan dunia. Beliau turut mengucapkan terima kasih dan syukur atas sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Dalam perkongsian perasaannya memenangi anugerah ini, Shamsudin mengatakan kemenangan ini dirasakan sebagai satu titik mula untuk menghasilkan karya yang lebih baik. Tambahnya lagi, bagi mana-mana penulis, mendapat pengiktirafan sudah tentunya menjadi impian, namun Shamsudin membangkitkan persoalan bagaimana dan ke mana seseorang penulis meletakkan diri pada kedudukan yang diperakukan. Beliau menjelaskan, ramai penulis yang lebih layak namun mungkin kerana mereka bersendirian tanpa bernaung pada mana-mana persatuan penulis, menyukarkan mereka dicalonkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Dikenali sebagai penyair yang memilih aliran keagamaan dalam pengkaryaannya, Shamsudin berkongsi cara beliau menyeimbangkan diri sebagai penulis dan ahli akademik.

“Ketika memakai baju penyair, saya tidak terikat dengan hukum dan teori kerana perkara-perkara ini akan membunuh kreativiti pengarang. Cuma, ketika berada pada tahap kesarjanaan, apakah tahap puisi yang akan dihasilkan,” katanya.

Sambungnya lagi, gelaran akademik sedikit membataskan pengkaryaannya kerana beliau ada tanggungjawab yang lebih besar dalam menghasilkan puisi kerana perlu teliti terutamanya dari aspek bahasa dan sudut pandang.

Tidak mengehadkan minat kepada satu-satu penyair sahaja walaupun mengakui meminati Rumi, Shamsudin membaca banyak karya tempatan dan luar negara. Katanya, puisi berimpak tinggi ialah apabila sesebuah teks itu mampu membawa kesan perubahan, diikat dengan kekuatan bahasa dan karya yang mempunyai kualiti sayembara. Sudah tentunya, karya berimpak tinggi boleh merungkaikan satu-satu permasalahan dengan gagasan atau pemikiran yang tinggi. Sebagai panel puisi Islam, Shamsudin turut berkongsi kunci penting untuk memenangi sayembara, yakni dengan mematuhi tema sayembara yang telah ditetapkan oleh penganjur kerana inilah penentu besar kemenangan.

Pemuzik Yuzailan Yusuf bermain piano bagi mengiringi program dengan memainkan lagu-lagu ketuhanan Doa oleh Zubir Ali daripada puisi Chairil Anwar, Kembara di Tanah Gersang oleh Dato’ M. Nasir, Kepadamu Kekasih, iaitu lirik puisi oleh Eunos Asah, dan Kekasih Awal dan Akhir tulisan S. Amin Shahab. Yuzailan menutup program dengan lagu gubahannya sendiri, menyanyikan lagu puisi Kekasih Abadi karya Raja Rajeswari Seetha Raman.

Tonton bual bicara ini di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi