Oleh Karmila Azmi
28 September 2021, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad ialah penulis yang sangat sayangkan bangsanya. Hal ini bukan hanya terlihat menerusi pembabitannya dalam politik, tetapi juga tertumpah dalam karya beliau.

Malah, Shahnon mempunyai ketajaman minda dan kekuatan untuk menulis mengenai nasib Bumiputera menerusi novel Menteri yang terbit pada 1967.

Justeru, bagi Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hasan, Shahnon ialah “anak bertuah”, bukan hanya dalam bidang sastera tetapi juga sebagai ahli akademik dan pemikir.

Mohd Yusuf dalam acara Bicara Karyawan, “Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad – Anak Nan Bertuah” yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 September lalu, menyebut, karya beliau yang mengangkat soal politik itu sebenarnya testimoni jelas, kasih sayang Shahnon kepada bangsanya.

“Dari segi penulisan, Shahnon agak keras, khususnya dalam bidang politik. Hal ini boleh dikaitkan secara langsung dengan pembabitannya dalam politik.

“Tulisan begini adalah sebagai memberi peringatan dan menegur politikus, juga kita masyarakat awam,” katanya.

Shahnon pernah menjadi Anggota Parlimen Sik bagi tempoh tahun 1999 hingga 2004 apabila membuat kejutan menewaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman di kerusi Parlimen Sik pada pilihan raya umum 1999 dengan kelebihan 478 undi.

Mohd Yusof berkata, selain Menteri yang menyentuh mengenai dilema politik watak utamanya, Bahadur, Shahnon turut mengangkat persoalan politik menerusi Perdana dan Sutan Baginda.

Malah, masyarakat tentu tidak dapat melupakan novel beliau yang paling kontroversi, Shit selain novel Nurul Anak Papa.

Tegas Mohd Yusof sepanjang tempoh kepengarangannya, Shahnon sudah menghasilkan lebih 30 buah novel, 150 buah cerpen selain menghimpunkan 10 cerpen yang beliau terjemahkan daripada bahasa asing di bawah judul Setanggi Timur.

Selain politik, Shahnon turut menyentuh perihal masyarakat yang tertindas oleh pentadbiran dan ahli politik, seperti naskhah Dongeng Merdeka, malah turut menulis mengenai Orang Asli dan juga merakam pengalamannya di luar negara.

“Beliau turut menghasilkan empat autobiografi sepanjang hayatnya,” katanya.

Mohd Yusof yang banyak mengkaji naskhah Shahnon sejak peringkat sarjana muda lagi, merakamkan kajian beliau mengenai Shahnon menerusi sudut pandang penyelidik dan sahabat dalam naskhah Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah, sebagai rakaman memori mengenang jasa Shahnon memartabatkan sastera kebangsaan ke peringkat antarabangsa.

Shahnon yang dinobat sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1982, meninggal dunia pada tahun 2017.

Tonton bicara penuh di sini.

Beli Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!