1 September 2021, 21:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka Konsert Dondang Puitika Melaka pertama kalinya menemui penonton menerusi skrin di alam maya, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64, pada jam 9.00 malam 31 Ogos.

Program persembahan ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negera, Melaka (JKKN), Ikatan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Meja Poedjangga, serta Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN. Program persembahan bertujuan untuk menyuburkan rasa cinta pada seni warisan dan kebudayaan serta merancakkan kembali gelanggang kesenian negeri Melaka.

Konsert menampilkan sebilangan penyair terkenal negara, iaitu Zaen Kasturi (penerima SEA Write Award yang juga anak jati Melaka), dan Dr. Lim Swee Tin (penerima SEA Write Award). Penyair undangan lain yang turut terlibat, seperti Dr. Sastri Bakry dari Indonesia, Umar Uzair, Lin Haslinaz, Haji Rani Embi, Asmidar, dan ramai lagi. Persembahan pembukaan dilaksanakan oleh kumpulan kesenian JKKN Melaka.

Dilancarkan oleh Ketua Pengarah JKKN, Yang Berusaha Tuan Haji Mesran Mohd Yusof, beliau menyerlahkan rasa besar hati kepada Meja Poedjangga dan DBP serta agensi lain yang terlibat dalam menjayakan sebuah program pengimarahan semangat seni negara, serta mengalu-alukan para penggiat seni dan penyair yang terlibat memeriahkan pentas persembahan.

Turut memberikan ucaptama ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, Yang Berusaha Puan Norhafizah Mohamed Husin, yang menegaskan kepentingan memanfaatkan teknologi dalam usaha menyalurkan dan menyebarkan khazanah serta warisan budaya tempatan.

Selepas persembahan Silat Tari daripada Faks Abdullah serta Muzika Tari Cermin Mimpi daripada Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, segmen Sentuhan Tradisi berlangsung, menyenaraikan enam agenda persembahan. Tuan Haji Rani Embi mendendangkan Dendangan Burdah dan Alunan Berendoi, diikuti persembahan daripada Tokoh Penggerak Budaya, Norliza Md. Yamin yang mendendangkan sebuah rejang berjudul “Rejang Kucing”, sebelum membuat persembahan “Nazam Arab” dengan iringan gendang berirama.

Sejurus itu, sebuah persembahan dondang puitis, Dondang Sayang Patriotik daripada Hairul Asraf pula dimainkan, sebelum menyusul persembahan duet Ilham Pujangga bersama-sama Norliza Md. Yamin. Segmen diakhiri dengan persembahan oleh penyanyi dan artis Asmidar, menyanyikan Embun Menitik dan disusuli dengan persembahan nyanyian Sireh Pinang dengan irama melodi kontemporari dan visual hitam putih.

Zaen Kasturi membawakan puisi “Ke Ruang Katarsis”.

Seterusnya, program diserikan lagi dengan Segmen Kenduri Puisi, upacara pendeklamasian puisi yang dimulakan oleh Umar Uzair dengan puisi berlagu “Cenderawasih” dan “Hasrat Sang Enggang”, Lin Haslinaz dengan “Kelopak Merdeka”, Aflieza Arshad dengan “Masihkah Kau Bermain Seruling”, dan Ahmad Zauawi Che Cop membaca “Mantera Ceritera Melaka”. Kemudian diikuti pula oleh Dr. Lim Swee Tin dengan “Mari Cipta Jalan Perdamaian”, disusuli pendeklamasian puisi “Jangan Gendang Bertingkah Lagi” oleh trio IPM, Idham, Malek dan Sufrei, seterusnya Isa Maarof dengan “Mengapa Harus Gendang Bertingkah”, dan penyair Zaen Kasturi dengan puisinya, “Ke Ruang Kartasis”.

Kenduri Puisi berlangsung lagi dengan pendeklamasian puisi oleh Mohd Noor (Jebat) dengan “Menyulam Busana Muafakat Bangsa”, lalu menampilkan pula penyair Indonesia Sastri Bakry dengan puisinya, “Kebenaran Tanpa Rasa Takut”. Akhirnya, Umar Uzair kembali dengan puisi lagu Rindu Membius Separuh Logikaku.

Program konsert tiba ke penghujung dengan tayangan visual penghargaan khas kepada Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN yang sudah 31 tahun berdiri dengan Tuan Haji Reni Embi mendeklamasikan sebuah puisi bertajuk “Rumah Pusaka Bonda”, sebelum ditutup oleh sebuah persembahan nyanyian patriotik Warisan dalam bahasa isyarat oleh Wan Kamlzaman, artis JKKN Melaka.

Tonton Konsert Dondang Puitika Melaka di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.