Oleh Jack Malik
25 Ogos 2021, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik menemui bahasa puisi yang segar dalam pengkaryaan Affendi Salleh, meraikan semangat pencampuran dan pertukaran dua tiga kod bahasa.

Dengan semudah itu, percampuran bahasa Inggeris-Melayu menghasilkan rima yang seakan semula jadi. Satu aliran yang tidak ada sebarang sikap buat-buat atau kejelikan melampau.

Dalam kumpulan puisinya, Breaking Poems, penyair Arab-Amerika Suheir Hammad menggabungkan bahasa ibundanya dengan bahasa kebangsaan negara yang beliau membesar, lalu menulis baris ini: “moon/same in ramallah wa new orleans wa jerusalem wa johannesburg wa beirut same moon.” Saya menemui baris ini dalam esei yang ditulis oleh Philip Metres dalam buku A Sense of Regard, sebuah antologi esei tentang puisi dan ras. Metres menerangkan bahawa pengulangan penggunaan ‘wa’ (bermaksud ‘dan’ dalam bahasa Arab) “mula berbunyi seperti tangisan sedu-sedan”. Saya mengagumi kemampuan Suheir menggabungkan dua bahasa dengan begitu mudah lagi cantik. Saya kemudiannya teringat beberapa nama di tanah air kita yang berkemampuan sedemikian.

Affendi Salleh merupakan seorang arkitek yang menulis. Atau lebih tepat, seorang arkitek yang bersastera. Affendi ada kelasnya yang tersendiri. Kepada sesiapa yang tahu dan mengikutinya di Facebook, pasti akan kenal gayanya yang menghembus nafas baharu pada penulisan dalam bahasa Melayu. Gelas Separuh Penuh merupakan himpunan tulisan-lukisannya di Facebook yang dibukukan dengan begitu anggun. Kulit keras dan halaman penuh berwarna, mengekalkan keindahan yang sama ketika menatal karya-karyanya secara dalam talian. Bahkan, kini lebih bernilai dengan adanya jasad nyata untuk dipegang-belek-baca.

Saya mengatakan Affendi sebagai nafas baharu dalam penulisan bahasa Melayu kerana sikap tidak patuhnya pada peraturan-peraturan jumud dan ideologi ketulenan bahasa. Pemberontakannya bukan tanpa otak. Kesetiaannya pada lidah ibunda (serta kebangsaan) bukan tuli lagi buta. Affendi seolah-olah memahami bahasa itu lagu. Punyai rentak dan rima yang mengasyikkan halwa telinga (jika kena cara). Bukan dengan satu cara sahaja yang betul. Pelbagai cara boleh dilaksanakan. Dan, pada pendapat saya, cara beliau adalah dengan percampuran-pertukaran kod.

Salah satu contoh percampuran-pertukaran kod Affendi adalah seperti berikut:

Di usia 20an cinta adalah rindu dendam, phone call lewat malam,
kongsi earphone dalam library, message tak ada reply runsing
satu hari.

Di usia 30an cinta adalah tanggungjawab, bercakar pagi apology
petang nanti, bangun midnight menetekkan baby, simpan 10%
bila dapat gaji.

Di usia 40an cinta adalah familiarity, angkat kening dan dah tahu
nak dinner apa, kongsi moisturiser sebab sama-sama makin
dimakan usia, tulis wasiat agar terjaga bila satu dah tiada.

Love is weirdlah papa.

(Affendi Salleh, hantaran Facebook, 28 Julai 2021)

Dengan semudah itu, percampuran bahasa Inggeris-Melayu menghasilkan rima yang seakan semula jadi. Satu aliran yang tidak ada sebarang sikap buat-buat atau kejelikan melampau. Pertukaran Affendi daripada satu kod kepada satu kod lain, berlaku dengan lancar. Tiada kerosakan terjadi, pada hemat saya. Bahkan, langsung tidak mencabuli kesucian bahasa kebangsaan. Dalam ruang lingkup dan laras kreatif, mungkin bukan ini yang kita mahu tapi semestinya yang kita perlukan.

Saya kira, percampuran dan pertukaran kod adalah sesuatu perkara yang menarik bagi karyawan tempatan kita untuk terokai. Terutama sekali mereka yang bukan Melayu. Pasti terdapat istilah dan perkataan khusus yang wujud dalam perbendaharaan ibunda mereka yang kalau ada sekalipun sasaran sedia ada dalam bahasa Melayu, saya percaya pasti sedikit sebanyak air tangannya tidak sama. Hal ini bukanlah untuk menampung kefasihan yang kurang dalam bahasa Melayu mahupun tergamak mengatakan bahasa Melayu itu tidak mampu menyampaikan secukupnya. Hujah saya lebih kepada memperkaya bahasa Melayu dengan benar-benar menjadikannya bahasa Malaysia, iaitu menyerap mana-mana ungkapan, loghat, bahkan bahasa selain bahasa Melayu yang ada di Malaysia, untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaannya. Sering kita sebut akan perpaduan dan hegemoni, barangkali inilah salah satu caranya yang boleh dilakukan. Hasilnya tiada pemadaman budaya dan pada masa yang sama semua pihak menjadi kaya.

Jika pemuisi kita menggali kembali, kemudian melakukan apa-apa yang Affendi dan yang lain telah lakukan, saya percaya lapangan sastera tanah air akan lebih subur dan berseri. Kepelbagaian bunyi. Semesta kemungkinan suara tanpa batas bakal didengari.

Pada pemerhatian dan pengetahuan saya, percampuran dan pertukaran kod bukanlah sesuatu yang asing dalam sastera Melayu. Hal kemasukan bahasa atau istilah asing bukan berlaku semalam dan sudah tentunya bukan terjadi dengan kemunculan sastera Indie Malaysia pada lewat 2000-an dan awal 2010-an. Kita perlulah berpemikiran kritis serta melemparkan selayang pandang ke arah sejarah. Sebelum kita menghakimi sesuatu perkara, kita terlebih dahulu perlulah bersikap adil dan tekal.

Harus diakui, percampuran dan pertukaran kod dalam ruang lingkup sajak Melayu Malaysia tidak berlaku dengan mendadak. Kemasukan satu dua perkataan ke dalam dunia sajak Melayu Malaysia mungkin tidak boleh menandakan perkembangan percampuran-pertukaran. Namun, tidak boleh kita terlepas pandang akan kejadian ini.

Puisi seperti “Suasana”, “Ibuku”, “Bagaimana Kalau” dan banyak lagi oleh Sasterawan Negara (SN) Usman Awang; “Kolaj Gerakan Moden” dan “Rayuan Wanita Asia” SN Baha Zain; “Stop” Puzi Hadi; “Eropah Hari Ini” SN Muhammad Haji Salleh; “Meditasi” SN Kemala; “Bahawa Aku Pernah Hidup” SN Zurinah Hassan, merupakan antara karya puisi yang menggunakan perkataan Inggeris. Walaupun tidak begitu jelas berlakunya pertukaran-percampuran sepertimana yang dilakukan oleh Affendi dan pemuisi muda lain di Malaysia, sebuah medan telah dibuka dahulu. Jika pemuisi kita menggali kembali, kemudian melakukan apa-apa yang Affendi dan yang lain telah lakukan, saya percaya lapangan sastera tanah air akan lebih subur dan berseri. Kepelbagaian bunyi. Semesta kemungkinan suara tanpa batas bakal didengari.

Namun begitu, percampuran-pertukaran kod bukanlah tanpa penentangnya. Kerisauan paling ketara yang sering diratib oleh para pejuang bahasa ialah kerancuan (yang bakal) berlaku. Dijajah oleh anasir asing. Hilang jati diri. Budaya disisih dan dilupai. Namun, sejenis rasa ketidakyakinan dan ketakutan melampau inilah penyakit sebenar yang dihidapi oleh (penutur) bahasa Melayu. Dalam hal ini, sebuah esei oleh Mihaela Moscaliuc membicarakan sisi-sisi murni pertukaran kod dalam ruang pengaruh puitika Amerika Syarikat. Dalam buku A Sense of Regard, esei Moscaliuc, “Code Switching, Multilanguaging, and Language Alterity”, menyatakan “pertukaran kod menandakan perluasan peluang perhubungan serta peluahan, bukannya salah satu cara menampung kekurangan dalam kefasihan ekabahasa.” Sebarang gangguan bahasa, Moscaliuc bahaskan adalah bertujuan untuk “mengusik makna dan pembacaan linear … menuntut anjakan perhatian yang sering mengakibatkan pemadaman … nyahkenal dan menimbulkan pelbagai pertanyaan tentang ruang pengaruh.”

Barangkali, dengan adanya ruang perbincangan serta dorongan sewajarnya, sastera percampuran-pertukaran kod boleh berkembang dengan lebih tuntas dan mapan. Hasil sastera ini juga boleh menjadi semak dan imbang bagi mana-mana persuratan yang memandang enteng terhadap sesuatu yang dianggapnya picisan atau pinggiran. Antara pemain selain Affendi ialah Sheena Baharudin, yang menukar-campur kod dalam acara deklamasi puisi Spoken Word dengan menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab; Kulleh Grasi sudah pun menempa namanya di persada antarabangsa dengan menukar-campur kod dalam bahasa Melayu dan bahasa-bahasa asal kepulauan Borneo. Dengan pemahaman yang lebih elok tentang laras bahasa, suatu ruang pengaruh dan agensi dalam pemilihan gaya, hanya untung dan laba yang mampu diperoleh bagi semua pihak. Kerugian sebenar hanya berlaku apabila kita membatasi lidah kita dengan melukiskan sempadan-sempadan khayalan di atasnya.

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.