Oleh Salman Sulaiman
21 Ogos 2021, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menyampaikan renungan tentang ketelitian dan kesungguhan dalam penulisan sajak.

Benar, ada penyair besar yang menulis tentang cinta. Namun, perhatikan perihal cinta apa yang ditulisnya. Lihat betapa hebat pemikirannya, dan telitikan gagasannya.

Dunia kepenyairan kita sebenarnya disuramkan oleh sajak-sajak kita sendiri. Kenyataan tersebut memang pedih dan sakit kita mendengarnya, namun inilah hakikatnya yang perlu kita terima, agar kita tidak lagi mencipta sajak sekadar hanya untuk meluahkan perasaan atau hanya mahu bersuka-suka dengannya. Berhentilah menulis sajak cinta yang dangkal dan cetek pemikiran. Sajak bukan hanya untuk orang yang dilamun cinta sahaja, bukan juga untuk tujuan meluah perasaan semata-mata.

Kenyataan ini bukanlah bermakna menidakkan minat para pengarang muda menulis sajak, tidaklah menyekat keinginan penulis baharu untuk turut sama menghasilkan sajak dan mengirimnya ke media penerbitan. Keghairahan itu tidak disekat dan tidak terhalang langsung pun. Namun, serius dan bersungguhlah untuk jadi penyair dan bergelar pengarang. Memasuki dunia sastera sekadar ingin meluahkan madah-madah cinta atau cuma “mahu menghilangkan bosan kerana tidak tahu hendak buat apa” semata-mata akan memberikan masalah besar kepada dunia kepenyairan kita.

Benar, ada penyair besar yang menulis tentang cinta. Namun, perhatikan perihal cinta apa yang ditulisnya. Lihat betapa hebat pemikirannya, dan telitikan gagasannya. Telaah juga kekuatan bahasanya. Tidaklah cinta semata-mata, apatah lagi cinta sesama manusia sahaja. Iqbal misalnya, beliau tidak menulis sajak cinta yang kosong dan hambar, apatah lagi rindu kasih sesama manusia. Telaah ungkapan cinta dalam sajak masyhur Javid Namah karya penyair besar Pakistan ini:

Apakah uzlah? Ialah penderitaan, rindu dendam yang membakar. Kebersamaan adalah penyaksian, kesendirian adalah pencarian. Cinta dalam kesendirian, bagai lawan berbincang dengan Tuhan. Tetapi apabila cinta menampakkan diri secara terbuka, ia bagaikan raja. Kesendirian dan keterlibatan dalam dunia adalah penjelmaan sepenuh rindu yang membakar dan ghairah yang menyala; kedua-duanya adalah hal dan maqam dalam hasrat akan Tuhan.

Beliau mengungkapkan cinta yang agung, kasih yang terulung – kepada Tuhan pencipta segala makhluk. Bukan cinta nafsu sesama manusia. Bukan rindu sayang lelaki perempuan. Oleh kerana itu sajaknya hidup dan kekal, serta masih dibaca-kaji hingga ke saat ini walaupun Iqbal telah pergi meninggalkan kita 83 tahun yang silam.

Allahyarham Profesor Zulkifli Muhammad yang lebih dikenali sebagai seorang intelektual yang banyak menulis rencana perihal kemasyarakatan, agama, pendidikan, akhlak, bahasa, dan falsafah dalam pelbagai majalah dan surat khabar sewaktu hayatnya pernah mengakui kesukarannya untuk terus menulis sajak menjelang akhir-akhir usianya. Oleh kerana itu beliau hanya sempat menghasilkan sajak terakhirnya pada tahun 1961, dan selepas itu beliau terus berhenti menulis sajak sehingga penghujung usianya. Profesor Zulkifli meninggal dunia bersama isterinya dalam satu kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang pada 6 Mei 1964 sewaktu berusia 37 tahun.

Sajak terakhir beliau yang dimaksudkan bertajuk “Aku Hamba Tuhanku” yang disiarkan dalam akhbar Berita Minggu keluaran 27 Mac 1961. Menarik jika ditelusuri cerita sebalik sajak terakhir beliau ini. Kisah ini dicatatkan oleh Mokhtar Petah dalam bukunya Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad (Penerbitan Ilham Baru & IKDAS, 2010). Berkenaan perakuan Profesor Zulkifli tentang kesukarannya menulis sajak itu, Mokhtar menulis begini: “Walaupun beliau mempunyai kemahiran mencipta sajak, tetapi Zulkifli pernah berkata kepada saya bahawa mencipta sajak terlalu sukar, tetapi sedikit sangat orang yang meminati dan terlalu sedikit pula orang yang faham erti sesebuah sajak. Menurutnya, beliau sendiri lebih suka menulis makalah kerana makalah dapat diamati oleh pembaca-pembacanya dengan sepenuh hati.”

Kisah Zulkifli Muhammad yang jarang diketahui umum ini menjelaskan kepada kita kedudukan sebenar sajak, yang nyata memiliki nilainya yang tersendiri. Seseorang penulis perlu menggunakan kepintarannya yang maksimum untuk mencipta sebuah sajak yang bermutu.

Kita akan faham bahawa Zulkifli meletakkan sajak pada kedudukannya yang istimewa serta pada martabat yang tinggi, dan beliau menggunakan sajak untuk menyatakan fikirannya, perjuangannya. Dr. Zabidin Hj. Ismail dalam sebuah makalahnya yang berjudul “Mesej Nasionalisme dan Islam dalam Sajak-sajak Zulkifli Muhammad” (Jurnal Pengajian Melayu Jilid 25, 2014) menyatakan Zulkifli Muhammad menulis secara keseluruhan 13 buah sajak sepanjang 15 tahun tempoh kepenyairannya. Dalam makalah yang sama, Dr. Zabidin turut memetik pengiktirafan Usman Awang terhadap kepenyairan Zulkifli Muhammad: “Ya, Prof. Zulkifli adalah juga seorang penyajak yang sekali sekala kita lihat mempunyai tema kebangsaan dan keagamaan yang sama kuat dan berpengaruh.”

Kenyataan Usman Awang ini membuktikan kekuatan sajak-sajak Zulkifli Muhammad walaupun Allahyarham hanya menulis 13 buah sajak sepanjang usianya. Selain Usman, Zulkifli juga sezaman dengan beberapa penyair lain seperti A. Samad Said, Siti Aishah, Burhan Md. Yaman, Mariam Abdul Ghani, dan Alis Murni. Zulkifli menjadikan sajak sebagai satu wadah untuk menyampaikan pemikiran dan dakwahnya. Manakala sajak itu sendiri ditulis menggunakan kekuatan fikirannya yang sebenar. Beliau tidak menghasilkannya secara semberono atau sesuka hati.

Penyair terkemuka Rusia, Alexander Pushkin dalam sajaknya yang bertajuk “Seruan kepada Kawan Penyair” memberikan peringatan kepada para penyair agar tidak bermudah-mudah dalam proses penciptaan sajak. Sangat berharga dan begitu baik ingatan Pushkin ini jika penyair kita benar-benar ingin belajar dan mahu memahami. Sajak tersebut dikemukakan oleh Dr. Boris Parnickel dalam kata pengantarnya untuk buku Puisi dan Prosa Pilihan Alexander Pushkin (DBP, 2001) sebagaimana berikut:

 Kawanku, jangan mengindahkan
     kepopularan!
Kebisingan pujian yang berghairah akan
     berlalu sekejap mata,
Biarpun kau mendengar kritik orang bodoh
     dan gelak orang ramai acuh tak acuh
Kau mesti tetap teguh, tenang dan tafakur.
Kau harus berdaulat dan tidak bergantung
     pada sesiapa. Pilihlah jalan sendiri
Berpandukan akal budimu yang bebas,
Sambil menyempurnakan buah fikiranmu
     yang paling bernilai,
Dengan tidak menuntut penghargaan
     terhadap kejayaanmu yang luhur.
Penghargaan itu tersimpan di dalam dirimu
     Kau adalah penilai karyamu yang
     muktamad.
Kaulah yang paling kritis tentang ciptaanmu.
Apakah kau berpuas hati dengan hasil
     tulisanmu yang kau periksa?
Kalau begitu biarlah orang banyak mengeji
     hasil karyamu,
Meludahi api yang bernyala di tempat
     pujaanmu
Sambil tersasul menggoncangkan tripod
     dengan persembahanmu yang suci.

Penyair terkenal kita pula, T. Alias Taib juga sangat berhati-hati mencipta sajak-sajak awalnya yang dimuatkan dalam buku Pemburu Kota (DBP, 1978). Walaupun sajak-sajak dalam buku ini ditulisnya ketika masih bergelar penulis muda, iaitu himpunan sajak dari tahun 1970 hingga 1976 sewaktu usianya 29 hingga 35 tahun, namun T. Alias sangat teliti dan cermat mencipta karya-karyanya. Hadir ke dalam jagat kesusasteraan sebagai penulis muda tidak memberikan alasan untuknya menulis karya-karya mentah yang rendah mutu dan kurang memikat. T. Alias telah membuktikannya dalam kumpulan sajak keduanya ini.

Apabila kita meneliti keseluruhan sajak dalam Pemburu Kota, dapat kita katakan dengan jelas bahawa penelitian rapi dilakukan terhadap isi cerita yang hendak ditulis dan proses penciptaannya yang begitu teliti pula tatkala mengarang sajak-sajak tersebut. Untuk membuktikan kenyataan itu, kita lihat salah satu sajak dalam buku ini yang bertajuk “Kuala Lumpur” pada halaman 40, yang diperturunkan di sini sepenuhnya:

1
dalam keriuhan dan kesibukanmu
kutemui kehancuran
di wajah seorang tua
tertidur di kakilima
kulihat bunga sebuah impian
tak berwarna
pecah dan layu
terkulai di bibirnya
kudengar suara sebuah tangisan
tak berirama
resah dan sayu
berderai di kalbunya

2
di sini ada pagi
tapi tak kutau
di mana mentari terbit
di sini ada senja
tapi tak kutau
bila mentari tenggelam
di sini ada malam
kutau
ia telah tempuh
ratusan dosa
antara gedung-gedung tinggi
dan lorong-lorong sunyi

 3
di tumit bangunan-bangunan raksasamu
kutemui kesombongan
kelaparan dan kejahatan
berbaur di jalan raya
kemiskinan adalah sungaimu
yang kian kurus
keruh dan coklat
di atas dadamu
kesengsaraan adalah penghunimu
yang kian kecil
dan kemudian menghilang
di balik matamu

Contoh-contoh daripada kepenyairan Iqbal, Zulkifli Muhammad, Alexander Pushkin dan T. Alias Taib yang dikemukakan bukanlah agar para penulis kita meniru sajak-sajak mereka bulat-bulat, atau mencontohi gaya penulisan sajak mereka sahaja. Tetapi diperincikan sebagai satu pegangan untuk penyair kita agar lebih cermat dan berhati-hati menulis sajak, agar para penyair kita tidak bermudah-mudah dalam menghasilkan puisi moden yang sewajarnya dihargai ini. Kita sendirilah sebenarnya yang membuat pilihan untuk karya-karya kita itu nanti, agar ingin terus dikenang atau dilupakan.

_________________________

Salman Sulaiman graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Sains Malaysia (2006). Karya cerpen dan sajaknya memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2003, 2004, 2008 dan 2009. Mewakili penulis muda Malaysia ke Program Penulisan MASTERA di Anyer, Banten, Indonesia pada tahun 2012. Menjadi AJK Persatuan Penulis Kelantan sejak tahun 2007 hingga 2017. Beliau telah menulis lima buah buku: Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut, ‘Ngembara…, ALLAH!, dan Nuh, Si Tukang Kayu & Sebuah Perahu. Sajaknya, “Ini Tanah Kita” dipilih sebagai teks Kesusasteraan Melayu SPM 2015–2019. Pernah menyandang Johan Sayembara Deklamasi Puisi BBK Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dalam Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Salman Sulaiman kini merupakan penuntut pascasiswazah bidang Kesusasteraan Melayu Klasik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi