Oleh Zurinah Hassan
13 Ogos 2021, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menelaah puisi anaknya, penyair Raihani Mohd. Saaid yang menjelmakan bait indah bermakna daripada penghayatan beberapa filem klasik Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee.

Tun Nila membuat pengakuan, dia mencari perempuan yang sanggup memasak bahan-bahan ramuan makanan yang bercampur aduk, yang sebenarnya membawa maksud mencari kesabaran.

Satu soalan yang sering ditanya, terutamanya oleh peserta bengkel penulisan kreatif ialah cara mendapat ilham atau dari mana seorang penulis mendapat idea untuk menulis. Biasanya, saya akan jawab bahawa ilham boleh datang daripada pelbagai sumber dan satu karya, baik puisi, cerpen atau novel. Mungkin tidak datang daripada satu sumber sahaja

Antara sumber penting yang membenihkan ilham termasuklah pembacaan, renungan terhadap alam dan pergaulan serta percakapan dengan orang-orang di sekeliling. Ilham juga tercetus apabila menyaksikan karya seni yang telah dicipta. Hal ini termasuklah mendengar lagu, menonton drama atau filem.

Tulisan ini membicarakan satu sumber yang menumbuhkan puisi-puisi Raihani Mohd. Saaid, iaitu filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebagai peminat dan pengkaji, Raihani sering memberikan tafsiran terhadap filem-filem Seniman Agung tersebut.

Raihani Mohd. Saaid

Raihani Mohd. Saaid mula menulis puisi sejak tahun 1994 dan telah memenangi banyak hadiah penulisan pada peringkat kebangsaan, termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Puisi Kumpulan Utusan. Beliau telah membuat kajian terhadap filem P. Ramlee sejak tahun 2000 untuk projek akhir diploma beliau di Akademi Seni Kebangsaan (sekarang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, ASWARA), latihan ilmiah pada peringkat ijazah sarjana muda (Universiti Malaya, 2006) dan disertasi sarjana (Universiti Malaya, 2016). Kini beliau sedang menyiapkan kajian pada peringkat ijazah doktor falsafah dengan pengkhususan pada tajuk “Kritik Feminis dalam Filem P. Ramlee Terpilih”.

Raihani telah menghasilkan beberapa puisi hasil tafsirannya terhadap pemikiran P. Ramlee. Antaranya termasuk “Nila dan Puspa” (daripada filem Musang Berjanggut), “Selepas Menonton Penarek Becha” (Penarek Becha), “Puisi Perang di Semerah Padi” (Semerah Padi), “Bujang Lapok” (Bujang Lapok), “Teratai” (Pancha Delima), “Hujan Pembawa Riwayat dan Sebuah Piano di Anggerik Villa” (Antara Dua Darjat), dan “Ini Dunia Orang Cantik” (Sumpah Orang Minyak). Kebanyakan puisi yang disebutkan termuat dalam kumpulan puisinya, Naskhah Nuraga (ITBM, 2017). “Puisi Perang di Semerah Padi” memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 20015/2016. Di samping itu, terdapat puisi bertajuk “Sebelum Bermula Musim” (dlm. Naskhah Nuraga) dan “Sajak untuk Ram” (dlm. Terminus A Quo, 2011) yang menyingkap kehidupan serta karier P. Ramlee.

Puisi “Nila dan Puspa” menarik kerana puisi ini menyingkap persoalan politik dan kepimpinan yang relevan dengan isu semasa. Filem Musang Berjanggut (1959) bermula dengan naratif Sultan Pura Cendana yang mengambil anak angkat kerana baginda tidak mempunyai zuriat untuk mewarisi takhta. Tindakan mengambil anak angkat daripada kalangan rakyat untuk menerajui negeri dilihat oleh penyair sebagai kemasukan unsur-unsur meritokrasi. Perkara yang penting dalam pemerintahan bukanlah keturunan tetapi kebijaksanaan.

untuk menerajui kerajaan
kau tidak memerlukan darah bangsawan
tetapi kebijaksanaan dan kepimpinan

Anak yang diambil oleh Sultan Pura Cendana dinamakan Tun Nila Utama. Tun Nila diajar pelbagai ilmu serta seni mempertahankan diri, dan setelah dewasa disarankan untuk beristeri yang boleh dipilih daripada kalangan anak-anak pembesar negeri. Tun Nila menolak semuanya lalu dititahkan oleh Sultan untuk keluar dari istana mencari seorang “perempuan” seperti yang dikehendakinya.

Tun Nila pun keluar membawa uncang berisi beras dan rempah ratus yang telah dicampur aduk dan bertekad untuk menghwini perempuan yang sanggup memasak bekalan yang dibawa. Setelah berbulan-bulan lamanya, barulah beliau bertemu seorang gadis bernama Puspawangi yang berjaya memasak bekalan daripada uncangnya. Tun Nila berkahwin dengan Puspawangi dan membawanya pulang ke Pura Cendana.

Setelah sampai di Pura Cendana, pembesar-pembesar negeri, malah baginda Sultan sendiri menjadi gila bayang apabila melihatkan kecantikan Puspawangi. Sultan membuat helah agar Tun Nila keluar meninggalkan rumah. Sultan dan pembesar-pembesar telah datang ke rumah Tun Nila dengan tujuan untuk bermesra dengan Puspawangi. Adegan Puspawangi melayani mereka mempunyai elemen kiasan yang tajam serta dipenuhi soalan “maut” mengenai peranan pemimpin dalam pemerintahan negara.

Dalam hal ini, Raihani membina sajak “Nila dan Puspa”. Sajak ini berisi dialog antara (Tun) Nila dengan Puspa(wangi). Nila menyuarakan falsafah kepimpinan dan betapa pentingnya seorang isteri pemimpin “yang tahu letak duduk diri/dan dapat membezasukat/antara maruah dengan pangkat.”

Dalam hal ini juga, berlaku lagi dialog antara Nila dengan Puspa. Tun Nila membuat pengakuan, dia mencari perempuan yang sanggup memasak bahan-bahan ramuan makanan yang bercampur aduk, yang sebenarnya membawa maksud mencari kesabaran. Uncang yang berisi rempah ratus itu ialah simbol pada negeri yang akan mempunyai pelbagai perkara dan masalah yang perlu dihadapi dengan tenang dan sabar: “Kubawa uncang yang bercampur aduk/untuk menyaring yang hampas dan yang elok”.

Dialog Puspa pula tajam dengan kritik politik yang mendedahkan salah laku pembesar-pembesar negara:

Mereka pemegang dan penggubal kuasa
mereka pelaksana dan juga pengingkarnya
di depanku mereka lelaki biasa
yang cair di pantai rasa

Pemikiran terhadap kepimpinan disimpulkan melalui baris-baris akhir:

Raja dan Permaisuri
Harus lebih dahulu teruji
Kepala yang akan memakai mahkota
Harus berisi bijaksana
Takhta itu lautan berombak
Nakhodanya harus sebaik watak.

Baris “mereka pelaksana dan pengingkar” merujuk khususn pada dialog yang menonjol dalam filem Musang Berjanggut, iaitu ‘’Undang-undang negeri ini kanda yang bikin. Itu semua boleh padam!”

Selain Nila dan Puspa, sajak-sajak lain juga menarik. Misalnya, puisi “Selepas Menonton Penarek Becha” daripada filem Penarek Becha (1955) yang ditulis dari sudut pandang watak Amran yang mengagumi nilai kemanusiaan pada diri Azizah. Azizah, watak wanita yang ditunjukkan pertama kali di latar sebuah sekolah, memberikan harapan dan dorongan kepada Amran supaya mengubah nasib hidupnya melalui pendidikan.

Puisi “Perang Di Semerah Padi” ialah sebuah puisi mengenai peperangan dalam hati watak utama filem Semerah Padi (1956), yang sentiasa terperangkap antara persoalan peribadi dengan persoalan masyarakat. Baris terkuat puisi ini ialah “perang bukan menentukan siapa berkuasa,/perang hanya melihat siapa yang tersisa”. Bagi judul panjang “Hujan Pembawa Riwayat dan Sebuah Piano di Anggerik Villa” pula, frasa “Hujan Pembawa Riwayat” diilhamkan daripada babak-babak hujan yang menyambung naratif dalam filem Antara Dua Darjat (1960). Manakala “Sebuah Piano di Anggerik Villa” bertolak daripada objek piano dalam filem ini yang menyatukan dan memisahkan “antara dua darjat”.

Dalam sajak “Bujang Lapok” pula, penyair melihat Bujang Lapok (1957) dari sudut pemaparan kehidupan orang miskin, iaitu tiga bujang lapuk dan masyarakat marhaen Melayu yang menyewa rumah Cik Normah dan menghadapi “bacaan takdir sering kelabu”.

Dunia Bujang Lapok ialah dunia yang penuh cabaran, “deras dan keras”, yang masih dibelenggu oleh adat lapuk, apabila yang miskin juga terpaksa berhabis-habisan menyediakan majlis perkahwinan semata-mata kerana mengikut amalan dan kebiasaan.

Penyair juga tersentuh dengan penampilan watak Safiah dan Pranee dalam filem ini. Safiah menjadi mangsa kemiskinan apabila dia terpaksa bergantung hidup kepada ayah angkatnya. Tragedinya, ayah angkat tersebut sanggup mempertaruh kehormatan gadis itu untuk melunaskan hutang yang banyak. Pranee pula (antara wanita yang menipu Ramli) ialah seorang watak yang digambarkan sebagai gadis licik yang terpaksa men“cari rezeki” dengan menipu lelaki. Hal ini disimpulkan dalam rangkap:

kemiskinan melemahkan daya
ruangmu penuh dengan bahaya
yang akan menjebakmu ke dalam pusaran jijik
lalu kau harus menjadi si licik.

Beli kumpulan puisi Naskhah Nuraga di sini.

_________________________

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah pada 13 Jun 1949. Beliau telah menghasilkan banyak kumpulan puisi perseorangan, termasuk Sesayup Jalan (Penerbit USM, 1974), Di Sini Tiada Perhentian (Pewarna, 1977), Keberangkatan (DBP, 1985), Kuala Lumpur and Other Places (Al-Huda, 1988), Pujangga Tidak Bernama (DBP, 1994), Pesanan dari Gunung Ledang/A Message from Mount Ledang (DBP, 2004), Salasilah (DBP, 2005), Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour (ITBM, 2010), Cerita dalam Cerita (ITBM, 2014), dan Menunggu Pesawat (DBP, 2021). Zurinah Hassan turut melahirkan beberapa cerpen yang sudah dibukukan dalam kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan (DBP, 1987) dan Menjelang Pemilihan (DBP, 2004). Di samping itu, beliau telah menghasilkan sebuah novel remaja, Hatimu Aisyah (DBP, 1991) dan beberapa buku kajian sastera. Selain menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 2015, Zurinah telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Thailand pada tahun 2004 dan penyair Malaysia yang pertama menerima Anugerah Sunthorn Phu pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan penyair cemerlang ASEAN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.