4 Ogos 2021, 20:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan beberapa minggu lagi, Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-64. Sempena meraikan hari keramat negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) menganjurkan program Persembahan Puisi Artistik Wajah Merdeka pada pagi 4 Ogos 2021 (Rabu). Program ini menyaksikan 14 figura seni berpengaruh tanah air dalam pelbagai latar dan bidang, mendeklamasikan dan membacakan puisi bertema kemerdekaan.

Program ini juga bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan, dilangsungkan menerusi Studio Siaran Langsung DBP dan platform maya JendelaDBP.

Segmen pertama persembahan menyaksikan Dato’ Profesor Emeritus Hashim Yaakob mendeklamasikan puisi “Merdekakah Kita”, Dr. Sheila RS dengan puisi “Warna Merdeka”, Raihani Mohd. Saaid dengan “Janji Si Muda Lela”, Razali Mohd. Yusof membaca “Warna Sejarah”, Abot dengan lagu puisinya, Dalam Kesopanan Kita, dan persembahan duet, Dato’ Rahman Shaari bersama-sama dengan Intan Marhayu mendeklamasikan “Makna Merdeka Makna Kita”.

Acara dilanjutkan lagi dengan pembacaan puisi pada segmen kedua, bermula dengan puisi “Tanah Ini Semenanjung Emas” oleh Syahidatul Munirah, disusuli susuk penyair negara Zaen Kasturi dengan puisi “Samudera Kata”, Wacana Minda dengan “Di Negeri Sana, Puisi Diami Rumah Sunyi”, Farah Wahidah Abd. Aziz membaca “Harga Sejarah”, Datin Barupawati Utamaju membawakan “Setelah Diberi Kebebasan”, dan diakhiri dengan persembahan nostalgia oleh seniman Ahmad Ramli, mengiramakan lagu puisi Berundur Tidak.

Perasmian acara dan kata-kata aluan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.

“Bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan, diharapkan usaha yang dianjurkan bersama PENYAIR dan DBP akan mendapat sambutan mesra dan semakin meluas ke pelosok negara, malah, semoga perlaksanaan program dalam talian ini akan memudahkan masyarakat untuk menghayati dan menikmati persembahan puisi artisitik ini.”

Persembahan penuh boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.