Oleh Jack Malik
24 Julai 2021, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik memberikan pandangan balas terhadap tulisan Salman Sulaiman tentang pengertian bahasa dan kritikan, serta pentingnya memahami permainan kata dan bahasa.

Suatu penganiayaan seseorang pengkritik boleh lakukan ialah, mengkritik apa-apa yang dia tidak fahami sepenuhnya, atau lebih jahat, tidak ingin memahaminya.

Ungkapan “Kerja tanpa libur buat jiwa jadi lebur” ialah terjemahan bukan rasmi (oleh Anas Affandi dari Twitter) yang paling saya suka untuk peribahasa Inggeris “All work and no play makes Jack a dull boy”. Lebih anggun dan molek daripada yang ada dalam kepala saya, iaitu “Kerja tanpa waktu main jadikan Awang penat dan bosan.

Ungkapan dalam bahasa sumbernya amat menarik. Bahasa bagi saya boleh menceritakan banyak hal tentang pandangan alam dan citra bangsanya. Lihat perbezaan “kill two birds with one stone” dengan “sambil menyelam minum air”. Kedua-dua ungkapan itu mempunyai maksud yang sama tetapi pendekatannya secara radikal berlainan: satu berunsur keganasan manakala satu lagi berbilang tugas. Dan, perkara yang lebih menarik, “all work and no play makes Jack a dull boy” mempunyai unsur yang agak asing dalam pandangan alam dunia Melayu, iaitu kebosanan. Belum lagi saya jumpa peribahasa atau simpulan bahasa Melayu yang mempunyai kaitan atau maksud dengan bosan.

Unsur bermain pula bukanlah unsur yang asing dalam sudut pandang dunia Melayu. Ada yang berkonotasi negatif, seperti “main kayu tiga”. Ada pula yang didaktik, seperti “main air basah”, “main api letur” dan “main pisau luka”.

Bagaimana pula dengan unsur “bermain” dalam dunia persajakan dan sastera?

Beberapa minggu yang lepas, sebuah esei oleh saudara Salman Sulaiman tersiar berjudul “Profesionalisme Pengkritik dan Keterbukaan Penyair di laman sesawang Jendela DBP. Tulisannya menyentuh banyak perkara tentang dunia kritikan dan penulisan.

Secara umumnya, saya bersetuju dengan saudara Salman Sulaiman. Saya mendengarnya. Ringkasnya, faham: pengkarya perlu lurutkan sedikit helaian-helaian skeptisme-defensif mereka, cukup untuk mampu bersikap terbuka, tidak mudah terasa dan boleh mengambil beberapa langkah ke belakang untuk melihat gambaran yang lebih luas. Jika sebelum ini, dia mungkin terlalu dekat dengan karyanya ataupun dia perlu mengambil beberapa langkah ke hadapan untuk melihat gambaran yang lebih teliti jika sebelum ini dia berdiri terlalu jauh.

Saya juga menyambut baik pandangan saudara Salman mengenai “ilmu kesedaran”, yang saya fahamkan sebagai kepekaan seseorang pengkarya tentang keberadaan diri dan persekitarannya. Paling utama, kepekaan inilah yang perlu ada bagi memahami dinamik kuasa yang dimiliki oleh setiap individu; bagaimana “kuasa” atau pengaruh seseorang mampu memberikan kesan terhadap diri dan persekitarannya. Dinamik kuasa antara pengkarya dengan masyarakat umum merupakan sesuatu perkara yang pengkarya serta pengkritik perlu ambil kira apabila ingin menghasilkan atau mengkritik sesebuah karya. Isu yang melibatkan gender, mobiliti sosial, ras dan latar belakang budaya, sebagai contohnya, jika tiada kepekaan dan empati, hanya akan menganiayai subjeknya. Soal kemiskinan, antaranya, memerlukan pengkarya untuk berhati-hati agar tidak mengolahnya menjadi sesuatu yang romantik, walaupun niatnya adalah untuk mengangkat atau menggunakannya sebagai alat susastera.

Selain keterbukaan dan kepekaan pengkarya akan keberadaan dirinya, saudara Salman turut merumuskan tajuk eseinya “juga perlu diterbalikkan”, iaitu pengkritik turut perlu bersikap terbuka. Saya menerima pendapat ini dengan baik sekali. Saya juga berpendapat, pengkritik haruslah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang luas, lebih-lebih lagi jika kritikan yang dihasilkan itu bersandarkan teori. Dan, jika tidak menggunakan teori sekali pun, haruslah kritikan yang dihasilkan itu secara tuntasnya meneliti segala pemboleh ubah yang hadir bersama-sama dengan karya dan pengkaryanya—latar belakang dan persekitaran, sekolah pemikiran, identiti dan kedudukan politikalnya, puitikanya, malah termasuk perkara-perkara banal seperti kerja-kerja sehariannya—perlu dipertimbangkan untuk membina kritikan yang mantap. Suatu penganiayaan seseorang pengkritik boleh lakukan ialah, mengkritik apa-apa yang dia tidak fahami sepenuhnya, atau lebih jahat, tidak ingin memahaminya. Keobjektifan seseorang pengkritik tidak bermaksud ketidakfahamannya melarang untuk langsung tidak memberikan sebarang hujah. Perkara yang cuba saya sampaikan ialah, sebaik-baiknya dia harus mencari setitik dua kekuatan-kekurangan. Kritikan yang berat sebelah hanyalah penyembelihan atau lebih jelik, pemujaan.

Permainan dan bermain tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang cetek.

Demikian, tibalah saya berpisah daripada jalan pemikiran saudara Salman. Dalam esei beliau yang sama, saudara Salman meminta para pengkarya untuk menulis “bukan sekadar untuk bermain-main”. Sedikit sebanyak saya merasakan penyataan ini berbaur retorikal. Mungkin, hal ini kembali pada persoalan di atas mengenai ilmu kesedaran dan keberadaan diri. Memberi faedah kesangsian kepada saudara Salman, saya memahami dari mana beliau datang. Sebagai seorang pengkarya, saya juga menitikberatkan kraf. Kolektif seniman yang merupakan sebahagian daripada diri saya, Projek Rabak, turut mengajar saya betapa pentingnya kraf dan penghasilannya; bagaimana ia mempengaruhi keberadaan pengkaryanya. Kraflah yang akan membawa pengkarya ke dalam ruang wacana dan perbincangan. Kraflah yang akan membentuk sebahagian jati diri seseorang pengkarya.

Walau bagaimanapun, kraf bukanlah Rukun Sepuluh atau Surat Pengisytiharan yang tertulis di atas sebongkah batu. Kraf juga bukan kerja tanpa liburan semata. Bukan matlamat keabadian mahupun main-main tanpa penghujung. “Yang fana adalah waktu. Kita abadi” tulis Allahyarham Sapardi Djoko Damono. Kraf ialah Pengkaryanya dan Pengkarya ialah Krafnya. Jadi, usahlah terlalu risaukan tentang tulisan (sajak) kita abadi atau cuma ingin bermain. Jika Pak Sapardi menyatakan “kita abadi”, maka begitulah untuk kraf kita.

Menyentuh sedikit lagi tentang permainan dan bermain, hal ini mengingatkan saya pada kredo Abdul Ghafar Ibrahim dalam bukunya, Yang Yang (1986). Antara prakata terpenting yang pernah ditulis dalam persajakan Malaysia, Abdul Ghafar Ibrahim bukan sahaja membebaskan pemuisi daripada perangkap ideologi dan retorik, malah memberikan agensi pada sajak dan kraf(nya). Apabila Abdul Ghafar inginkan sajak “melontar, bersilat, berenang, berterbangan, berlari, bertepuk tampar, berdoa, beratib, berzanji, berkasidah, bernasyid”, beliau telah menyatakan kebebasan sajak bukanlah kebebasan semberono, tetapi kebebasan yang tidak melemaskan sajak dan sastera; tidak membebani mereka dengan hal-hal tidak sepatutnya. Dalam erti kata lain, Abdul Ghafar membenarkan dirinya dan lanjutan dirinya, iaitu sajak dan krafnya, bermain tanpa bagasi lebihan serta kerunsingan yang tidak penting.

Bagi Abdul Ghafar—bentuk, ungkapan, gerak laku, rasa fikir dan persembahan ialah permainan sajak dan dirinya. Dan, bukankah bermain itu sendiri mempunyai pelbagai cara dan makna dan pekerjaan? “Bahasa sajak tidak terhad kepada bahasa tulisan. Tulisan sajak boleh dipelbagaikan pengertiannyakata Abdul Ghafar. Demikian, tafsiran makna “keabadian” dan “permainan” juga mempunyai sesarwajagat saujana sudut pandangan, setiapnya berbeza mengikut perspektif seseorang. Maka, memberi faedah kesangsian sekali lagi kepada saudara Salman, saya mendengari maksud beliau: kerja yang melibatkan kraf adalah sesuatu pekerjaan yang serius. Tetapi, pada masa yang sama, jika diizinkan untuk menambah, usahlah kita mengambil diri kita terlampau serius.

Permainan dan bermain tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang cetek. Bermain juga tidak semestinya untuk anak-anak yang tidak tahu apakah itu keabadian dan hanya ingin bersuka ria semata-mata. Bermain tiada had umur. Catur dan dam ialah permainan. Kejar-mengejar juga boleh menjadi satu cara bermain. Kata-kata dan Bahasa, mainan pemuisi. Dan sesudah kita habis bermain, harapnya segala kerja yang bakal dihadapi lagi, tidak akan meleburkan jiwa kita dengan kepenatan, kebosanan, ataupun kekosongan.

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi