12 Julai 2021, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin mendampingi tokoh teater dan persajakan tanah air, Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman, untuk menekuni nilai yang sesuai bagi penyair mengikut Islam.

Ada yang menulis puisi ketuhanan (kerana beragama Islam), mempersoal keruntuhan moral, kritikan social dan sebagainya. Walau bagaimanapun, amat malang mereka sendiri tidak menunaikan suruhan Tuhan, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Golongan penyair telah muncul sejak sebelum kedatangan Islam lagi, iaitu semasa zaman Arab jahiliah. Dalam sejarah manusia, ada kaum yang diberikan kelebihan atau keistimewaan tertentu. Ada yang handal dan bijak dalam bidang seni bina. Ada juga yang hebat dalam ilmu sihir. Kaum sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW atau zaman jahiliah diberikan kebolehan dalam bidang kebahasaan dan kesusasteraan. Era itu, ramai penyair muncul daripada sayembara menulis puisi yang diadakan pada setiap tahun. Karya-karya yang menang dipamerkan pada dinding Kaabah di Mekah.

Walau bagaimanapun, semua puisi tersebut bukanlah karya yang bernilai murni dan bermanfaat kerana kebanyakannya hanya memuji-muji pemimpin mereka biarpun berperibadi buruk, melakukan banyak dosa dan kezaliman. Tidak banyak puisi yang mengajak ke arah kebaikan.

Setelah kedatangan Islam, golongan penyair tersebut masih ada, malah memainkan peranan tambahan. Puisi-puisi mereka memburuk-burukkan, serta menghina Islam dan Nabi Muhammad pula.

Sebenarnya, Allah SWT tidak menolak golongan penyair. Namun demikian, Dia turut memberikan panduan dan peringatan agar mereka tidak melanggar syariat Islam, seperti yang ditegaskan menerusi firman-Nya dalam ayat 224–227, Surah Asy-Syu’araa, yang bermaksud:

Dan penyair-penyair itu diikuti orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)? Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

Berdasarkan ayat ini secara keseluruhannya, boleh diketahui dengan jelas bentuk dan peranan penyair yang dikehendaki oleh Islam. Keadaan semasa zaman jahiliah dengan zaman moden hari ini didapati tidak banyak pun perbezaan. Kebanyakan penyair sekarang menghasilkan puisi tentang peribadi, cinta murahan dan hal-hal lain yang mengkhayalkan. Dari segi lain, ada pula penyair yang terlalu berahsia dalam puisinya untuk tatapan umum sehingga karya sajaknya mengikut aliran surealisme (yang hanya difahami oleh penyairnya). Disedari atau tidak, aliran ini sebenarnya diamalkan oleh para penyair Arab jahiliah.

Ada yang menulis puisi ketuhanan (kerana beragama Islam), mempersoal keruntuhan moral, kritikan social dan sebagainya. Walau bagaimanapun, amat malang mereka sendiri tidak menunaikan suruhan Tuhan, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dilarang. Mereka juga tidak bersopan dan berbudi pekerti. Melihat kembali ayat tadi, inilah yang dimaksudkan sebagai penyair sesat (“diikuti orang-orang yang sesat”), berkhayal kosong (“berjalan di lembah-lembah”), berada di tempat-tempat yang tidak sewajar atau secocoknya, dan suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak lakukan, atau “cakap tidak serupa bikin”.

Mereka juga secara tidak langsung menyebabkan atau mendorong timbulnya salah anggap masyarakat terhadap penyair dan puisi.

Allah yang berfirman, maka pastilah Dia yang lebih mengetahui daripada kita umat-Nya. Namun demikian, sebagai manusia yang waras akal fikiran, kita dapat memahami bahawa mereka bukan penyair yang Dia redai. Bagi-Nya, merekalah penyair yang berdusta dan tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat. Bagaimana mungkin dapat berbakti sedemikian kerana mereka sendiri yang seolah-olah membunuh peranan tersebut. Mereka bagaikan tidak tahu penyair mempunyai peranan yang besar dan positif.

Begitu pun, berdasarkan ayat tadi sekali lagi dinyatakan, Allah tidak melarang kehadiran golongan penyair, dan menegah manusia yang menyembah-Nya menjadi penyair. Allah tetap menerima kerana penyair ada manfaat yang tersendiri kepada Islam.

Setiap orang Islam boleh menjadi penyair jika berbakat dan berminat. Bakat atau kebolehan dan minat merupakan kecenderungan sendiri kurniaan Allah SWT. Walau bagaimanapun, tentulah dengan syarat si penyair menggunakan bakat dan minat tersebut sewajarnya. Jadilah penyair yang sentiasa sedar dan berada dalam batas-batas Islam.

Pada zaman Rasulullah SAW sendiri, terdapat beberapa orang penyair Islam yang bangkit menonjolkan bakat, malah diminta oleh Baginda mencipta, serta membaca puisi-puisi yang menceritakan kesucian dan kebenaran Islam untuk menangkis puisi-puisi para penyair jahiliah yang menghina Islam.

Salah seorang yang terkenal dan digelarkan sebagai penyair Rasulullah ialah Hasan bin Thabit. Hasan juga diangkat oleh Nabi Muhammad menjadi jurucakap Baginda.

Hasan sendiri memang seorang penganut Islam yang taat kepada Islam dan Allah, malah hal itu juga merupakan faktor beliau layak menjadi penyair Rasulullah. Kehadiran Hasan dan beberapa orang lagi penyair dalam dunia Islam ketika itu secara tidak langsung membezakan antara penyair sesat dengan penyair bermaruah dan beragama. Mereka merupakan penyair yang direstui, malah dipandu oleh Allah menjadi penyair beriman dan beramal soleh menerusi ayat “Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman.

Ertinya, mereka kuat beribadat, tidak melakukan apa-apa yang dilarang, melakukan apa-apa yang dikatakan “cakap serupa bikin”, mendapat rahmat dan juga perlindungan Allah kerananya, meskipun ditindas oleh pemerintah yang zalim, atau berada dalam suasana gawat.

Kemunculan para penyair yang menghasilkan puisi bernas dengan isinya memaparkan kritikan sosial, puji-pujian meninggi, dan mempertahan syiar Islam dalam bahasa yang komunikatif dengan pembaca khususnya, dan masyarakat umumnya, serta berperibadi mulia lagi terpuji memang amat dituntut, malah dialu-alukan oleh Islam.

Tidak berguna atau sia-sia jika salah satu daripadanya tiada. Kalau sekadar isi sahaja memenuhi apa-apa yang dituntut oleh Islam, sedangkan alat untuk menyampaikannya kepada pembaca, iaitu bahasa tidak difahami, rangkaian itu masih belum sempurna. Dengan bahasa yang mudah pula tetapi mesej karyanya boleh merosakkan pemikiran pembaca, hal itu juga belum lengkap – apatah lagi dengan peribadi penyair itu sendiri yang buruk.

Saya fikir, para penyair beragama Islam hari ini perlu berwaspada agar tidak terjerumus sehingga digelar oleh pihak yang tidak berminat, malah yang berminat dengan puisi itu sendiri sebagai penyair sesat dan tidak bermanfaat.

Justeru, berpuisi dan bergiatlah dalam lingkungannya dengan penuh kesedaran Islam. Usah melampaui batas sehingga terlalu mengambilnya, dan dalam masa yang sama menolak yang lebih utama, iaitu tuntutan agama. Janganlah sehingga dianggap sebagai manusia daripada golongan yang:

  • suka berhibur dan berpesta, sama ada menerusi sajak, gurindam, pantun ataupun nyanyian yang termasuk dalam golongan yang sesat dan boleh menyesatkan orang lain.
  • tidak pernah berpijak di bumi nyata, malah sentiasa hidup dalam khayalan.
  • sentiasa menzalimi orang lain menerusi sajak, pantun dan nyanyian, serta melalaikan orang daripada mengingati Allah.
  • tidak pernah mengotakan apa-apa sahaja yang dikatakan.
  • tidak pernah terasa bahawa telah menzalimi diri sendiri, dan tidak pernah bercita-cita menghentikan segala kesalahan dengan bertaubat kepada Allah.

Manusia memang memikul tanggungjawab berat, apatah lagi setelah memilih menjadi penyair. Manusia yang menjadi penyair (dalam konteks ini, penyair Islam) ialah manusia yang luar biasa dan berbeza daripada manusia lain kerana di samping ada bakat, sensitiviti dan sebagainya, mereka juga mempunyai peranan tambahan yang masih berdasarkan matlamat “menyeru kepada kebaikan”, di samping menjadi pemikir. Itulah sebenarnya amanah Allah untuk mereka.

Ertinya, mereka tidak menunaikan amanah Allah jika tidak menyeru orang lain di samping diri sendiri kepada kebaikan, dan menyatakan kebernasan pemikiran melalui puisi mereka. Meskipun jika hanya mereka yang melakukan kebaikan tanpa mengajak orang lain, atau mereka tidak melakukan seperti apa yang diseru kepada orang lain, kedua-duanya berkaitan, tidak sempurna dan menyempurnakan, serta ditolak.

Tidak mustahil ada penyair yang mungkin “sesat” dan “menyesatkan” serta seniman yang “memesongkan” dan “merosakkan” pemikiran orang ramai. Namun demikian, memang ada penyair yang sentiasa sedar akan batas Islam, beriman, beramal soleh dan berdakwah dengan sewajarnya.

Golongan penyair “sesat” diharap akan insaf dan menjadi penyair yang termasuk dalam ungkapan yang dikatakan sebagai golongan penyair Islam (menurut ayat 224–227 Surah Asy-Syu’araa).

Walau bagaimanapun, harus disedari, selain turut berdoa memohon hidayat Allah untuk menyedarkan golongan penyair “terpesong”, Allah tidak mengubah kedudukan sesuatu golongan itu jika golongan tersebut sendiri tidak berminat dan berusaha mengubahnya.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.