Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNik Mohd Hafiz Abdullah mengulas kumpulan puisi terbaharu Jack Malik, Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata.
Puisi-puisi kumpulan ini lebih personal, lebih peribadi, malah setiap diksi juga merungkaikan siapa diri pengarangnya.
Kita sudah terbiasa dengan sajak-sajak Usman Awang, A. Samad Said atau Zurinah Hassan, iaitu kata dan kata-kata disusun dengan teliti dan jitu untuk membawa pembaca ke suatu medan pemikiran.
Seterusnya, hadir pula Hilmi Rindu, Rosli K. Matari dan Lim Swee Tin dengan bahasa yang dipermudahkan, namun mempunyai kematangan yang sama dengan lapis sasterawan sebelumnya.
Kemudian kita dibiasakan pula dengan sajak-sajak Zaen Kasturi, M. Said Muharam mahupun Fahd Razy, yang mula meneroka ruang katarsis puisi tak terjangkau sebelumnya, bermain dengan kosa kata absurditi dan abstrak, mengajak pembaca untuk sama-sama hanyut dalam puisi.
Pendek kata, dalam begitu ramai sasterawan yang melatari ranah sastera tempatan, muncul seorang dua yang cuba menembusi gelembung klise sastera dengan gaya tersendiri, seolah-olah meyakinkan kita bahawa ranah sastera akan sentiasa diberkati dengan reformasi puisi.
Satu perkara perlu ditekankan bahawa sasterawan-sasterawan garda depan ini tidak datang untuk meranapkan gaya-gaya lama, tetapi untuk memperkaya khazanah sastera tempatan. Kita tetap tersentuh dengan puisi “Ke Makam Bonda”, walau sedang terpaku membaca puisi “Aku”. Kita masih merenung sajak “Songkok dan Kasut” ketika sibuk berbicara maksud siri sajak “Ingatan kepada Kawan”. Kita tidak sesekali meninggalkan gaya lama untuk menyambut gaya baharu.
Lalu kita bertanya, “Apa lagi selepas ini? Sempurnakah sudah khazanah sastera kita?” Maka hadir Jack Malik.
Bagi kebanyakan pembaca dan penggemar puisi, bahasa yang Jack bawakan dalam Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata (Smart Forum Resources, 2026) kedengaran sedikit janggal. Hal ini mungkin disebabkan sastera Jack Malik tidak lahir daripada endul bahasa. Sasteranya lahir daripada pentas terbuka. Kemunculannya di pentas sebagai artis pengucapan kata, jauh mendahului seninya sebagai penyair. Sebelum menetapkan gaya bahasa, Jack terlebih dahulu meninggalkan jejak suaranya, bukan sahaja di pentas persembahan, tetapi juga dalam kesedaran para pembaca. Suaranya bukan sekadar terngiang, malah bergema gegak gempita, hasil penat lelahnya kepada seni pengucapan yang dicintai.
Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata ternyata berbeza daripada kumpulan-kumpulan Jack sebelum ini. Puisi-puisi kumpulan ini lebih personal, lebih peribadi, malah setiap diksi juga merungkaikan siapa diri pengarangnya. Pada sudut psikoanalisis, tindakan “membuka diri” oleh Jack Malik ini boleh dilihat sebagai satu kemajuan. Sigmund Freud dalam Teori Bongkah Ais menerangkan fasa “membuka diri” sebagai kemenangan Ego (minda sedar) terhadap Id (minda luar sedar). Jack dahulu lebih misteri, lebih menyendiri. Jack yang baharu tak lagi bersembunyi di balik pentas. Jack yang baharu sudah mahu turun kepada masyarakat sastera.

Boleh jadi Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata ialah jemputannya kepada pembaca untuk menelusuri sisi peribadinya dengan lebih dekat. Pembaca boleh menganggap yang buku ini sebagai satu ruang intim untuk mengenali diri Jack. Jika benar tekaan penulis, maka sangat tepat bunga kertas dipilih sebagai tajuk. Hal ini disebabkan bunga kertas bukan sekadar dekat kepada diri Jack Malik, malah diri semua pembaca, sekurang-kurangnya yang membesar pada tahun 90-an. Penulis juga membesar dikelilingi dengan berpasu-pasu bunga kertas menghiasi laman rumah. Sungguh menggamit nostalgia. Jack Malik bijak menggunakan simbol sejagat sebagai pintu memperkenalkan diri.
Selain itu, Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata meyakinkan penulis, teori death of the author sudah mati. Dengan kepesatan teknologi, mustahil bagi pembaca untuk tidak mengenali pengarang. Apatah lagi, Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata telah mengundang seantero sastera Malaysia untuk mengenali pengarang. Penulis sendiri, menghantar pesanan peribadi kepada Jack Malik untuk mengetahui latar belakangnya. Segalanya di hujung jari.
Sekali imbas, Jack mungkin terinspirasi dengan gaya rap dalam budaya hip hop. Tambahan pula, dia dilahirkan dan membesar di Ipoh, pusat pengembangan hip hop suatu ketika dulu. Tidak hairanlah puisi Jack menikam terus kepada makna. Itulah gaya bahasanya. Berterus terang. Tidak berselindung di sebalik metafora dan simile. Idea puisinya hadir dengan fragmen pendek yang meletus berturutan, mencabar formalisasi bahasa yang sebegitu lama dianuti oleh penyair Malaysia.
Kesimpulannya, Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata bakal menjadi magnum opus Jack Malik jika dia terus prolifik dengan gaya unik dan tersendiri. Jalan tersebut mungkin sunyi, namun dengan kecekalan dan sifat rajin orang Ipoh, segala itu tidak mustahil.
_________________________
Nik Mohd Hafiz Abdullah baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Kini bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.