Diterbitkan pada 10 Julai 2026, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zulkifli Mohd Top menulis tentang kuasa imaginasi, khususnya buat para penulis.

Tanpa imaginasi, sesebuah karya akan kehilangan daya kreatif dan nilai keseniannya.

Setiap karya sastera bermula daripada sesuatu yang tidak terlihat. Sebelum lahirnya sebuah cerita, terlebih dahulu hadir sebuah bayangan dalam minda pengarang. Bayangan itulah yang dinamakan imaginasi atau daya yang mengubah pengalaman, pemerhatian dan pemikiran yang menjadi dunia yang dapat disentuh oleh jiwa pembaca.

Imaginasi merupakan daya mental yang membolehkan seseorang membentuk gambaran, idea, peristiwa, dan pengalaman yang melangkaui realiti yang sedang dihadapinya. Dalam konteks penulisan sastera, imaginasi merujuk keupayaan pengarang mencipta, mengolah dan mentafsir kehidupan secara kreatif, sehingga terhasilnya karya yang mempunyai nilai estetik dan makna kemanusiaan.

Penulisan sastera tidak lahir daripada fakta semata-mata. Sebaliknya, karya sastera terhasil daripada pertemuan antara pengalaman, pemerhatian, ilmu dengan daya imaginasi pengarang. Melalui imaginasi, pengarang berupaya menghidupkan watak, membina konflik, mencipta latar, dan mengemukakan pelbagai persoalan kehidupan yang mampu menyentuh pemikiran serta emosi pembaca.

Hal ini dapat dilihat dalam pelbagai karya sastera yang memaparkan peristiwa dan watak yang bersifat rekaan, namun tetap memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca kerana karya tersebut mengandungi kebenaran tentang kehidupan manusia. Malah, banyak karya agung dunia dan sastera Melayu terus diingati kerana kekuatan imaginasi pengarang dalam membina dunia naratif yang meyakinkan dan bermakna.

Jelaslah bahawa imaginasi merupakan unsur yang tidak dapat dipisahkan daripada proses penciptaan sastera. Tanpa imaginasi, sesebuah karya akan kehilangan daya kreatif dan nilai keseniannya. Oleh itu, persoalan tentang sejauh manakah pentingnya imaginasi dalam penulisan sastera wajar diperhalusi bagi memahami peranannya dalam melahirkan karya yang berkesan dan berkekalan.

Kepentingan utama imaginasi dalam penulisan sastera ialah imaginasi berfungsi sebagai sumber penciptaan karya. Imaginasi membolehkan pengarang membentuk idea, membina dunia naratif dan mencipta pelbagai unsur karya yang tidak semestinya wujud dalam realiti sebenar.

Melalui imaginasi, pengarang berupaya mengubah pengalaman harian dan peristiwa biasa menjadi sebuah cerita yang mempunyai daya tarikan serta nilai kesenian. Watak, konflik, latar dan peristiwa yang dicipta melalui imaginasi menjadikan karya sastera lebih hidup dan bermakna. Pengarang bukan sekadar merakam apa-apa yang dilihat atau dialami, sebaliknya mentafsir dan membina semula realiti mengikut perspektif kreatifnya sendiri.

Sebagai contoh, sebuah peristiwa kehilangan, perpisahan atau kemiskinan yang lazim berlaku dalam kehidupan boleh diolah melalui imaginasi sehingga menjadi sebuah cerpen atau novel yang sarat dengan emosi dan persoalan kemanusiaan. Pengarang juga mampu mencipta watak dan situasi yang bersifat rekaan, namun tetap meyakinkan pembaca kerana imaginasi tersebut berakar pada pengalaman dan pemerhatian terhadap kehidupan. Hal ini dapat dilihat melalui novel Salina karya Sasterawan Negara A. Samad Said yang mengangkat kehidupan golongan bawahan bukan sekadar sebagai gambaran kemiskinan, tetapi sebagai persoalan tentang maruah, kasih sayang dan ketabahan manusia.

Tegasnya, imaginasi merupakan sumber utama yang menggerakkan proses penciptaan karya sastera. Tanpa imaginasi, karya yang dihasilkan mungkin hanya menjadi catatan peristiwa yang bersifat deskriptif dan kehilangan keupayaan untuk mengangkat pengalaman manusia ke tingkat pemikiran dan kesenian yang lebih mendalam.

Selain menjadi sumber penciptaan karya, imaginasi penting dalam penulisan sastera kerana imaginasi membolehkan pengarang memperkaya makna dan memberikan tafsiran baharu terhadap kehidupan manusia.

Sastera tidak sekadar merakam peristiwa sebagaimana yang berlaku dalam realiti. Sebaliknya, pengarang menggunakan imaginasi untuk menyelami emosi, konflik dan persoalan yang tersembunyi di sebalik sesuatu peristiwa. Melalui imaginasi, pengalaman biasa memperoleh dimensi makna yang lebih mendalam dan mendorong pembaca merenung kehidupan dari pelbagai sudut. Pemikiran ini selari dengan pandangan A. Samad Said yang melihat sastera sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan manusia. Malahan, imaginasi pengarang bukanlah khayalan yang terpisah daripada realiti, tetapi cara kreatif untuk memahami dan mentafsir pengalaman manusia.

Sebagai contoh, pengalaman masyarakat ketika pandemik COVID-19 bukan hanya dapat ditulis sebagai catatan tentang wabak dan perintah kawalan pergerakan. Dengan bantuan imaginasi, pengarang dapat mentafsir pandemik sebagai lambang kesunyian manusia moden, keterasingan dalam hubungan kekeluargaan atau pencarian makna hidup ketika berdepan dengan ketidakpastian. Begitu juga dalam era kecerdasan buatan hari ini, imaginasi membolehkan pengarang mencipta naratif tentang hubungan manusia dengan teknologi, persoalan identiti dan kebimbangan terhadap masa hadapan peradaban. Tafsiran sedemikian menjadikan karya sastera lebih dekat dengan pengalaman semasa, namun tetap mempunyai nilai renungan yang bersifat sejagat.

Dengan kata lain, imaginasi berperanan memperkaya makna dan tafsiran terhadap kehidupan. Melaluinya, sastera bukan sahaja menjadi cerminan realiti semasa, bahkan berupaya menyingkap persoalan kemanusiaan yang lebih mendalam dan berpanjangan.

Selagi manusia masih berfikir, bermimpi dan mentafsir dunia di sekelilingnya, selagi itulah imaginasi akan kekal menjadi denyut nadi penulisan sastera.

Kepentingan seterusnya ialah imaginasi berupaya membina empati dan memperluas pengalaman pembaca. Melalui imaginasi, pengarang membawa pembaca memasuki dunia dan pengalaman yang mungkin tidak pernah dilalui dalam kehidupan sebenar.

Sastera memberikan peluang kepada pembaca untuk melihat kehidupan dari perspektif orang lain. Dengan kekuatan imaginasi, pengarang dapat menggambarkan pelbagai keadaan seperti penderitaan, kehilangan, ketidakadilan, dan pengorbanan sehingga pembaca bukan sahaja memahami peristiwa tersebut secara intelektual, malah turut merasai denyut emosi yang dialami oleh watak. Keupayaan ini menjadikan sastera sebagai medium yang menyuburkan kepekaan, belas ihsan dan pemahaman terhadap kerencaman pengalaman manusia.

Sebagai contoh, konflik kemanusiaan yang berlaku di wilayah peperangan seperti di Palestin sering dipaparkan melalui puisi, cerpen dan novel yang mengisahkan kehilangan ahli keluarga, kehidupan di kem pelarian dan impian kanak-kanak yang diragut oleh peperangan. Walaupun kebanyakan pembaca tidak pernah mengalami situasi sedemikian, kekuatan imaginasi pengarang membolehkan mereka menyelami penderitaan, ketabahan dan harapan manusia yang terperangkap dalam konflik. Begitu juga karya yang mengangkat isu warga emas yang kesunyian atau golongan miskin bandar; imaginasi menjadikan pengalaman mereka lebih dekat dan menyentuh jiwa pembaca.

Pendek kata, imaginasi bukan sahaja memperkayakan proses penciptaan karya, malah berfungsi sebagai jambatan emosi antara pengarang, watak dengan pembaca. Melalui imaginasi, sastera berupaya membina empati dan memperluas pengalaman kemanusiaan sehingga pembaca lebih memahami kehidupan dari pelbagai sudut dan latar yang berbeza.

Seterusnya, kepentingan imaginasi dalam penghasilan karya sastera ialah keupayaannya mengangkat pengalaman dan realiti tempatan kepada persoalan yang bersifat sejagat. Imaginasi membolehkan pengarang mengolah latar, budaya dan pengalaman masyarakat setempat sehingga dapat difahami dan dihayati oleh pembaca daripada pelbagai latar.

Melalui imaginasi, pengarang tidak sekadar menggambarkan kehidupan masyarakat secara harfiah, sebaliknya mentafsir pengalaman tersebut dengan memberikan dimensi kemanusiaan yang lebih luas. Peristiwa yang berlaku di sebuah kampung, kehidupan nelayan, petani, atau masyarakat bandar dapat berkembang menjadi renungan tentang kasih sayang, pengorbanan, kehilangan, keadilan, dan pencarian identiti. Oleh sebab itu, karya yang berpijak pada realiti tempatan mampu merentas sempadan geografi dan zaman.

Sebagai contoh, novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengisahkan kehidupan keluarga petani di sebuah kampung yang berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup. Melalui kekuatan imaginasi pengarang dalam membina watak, konflik dan emosi, novel tersebut tidak lagi terbatas kepada kisah petani di Malaysia semata-mata. Sebaliknya, karya tersebut berkembang menjadi kisah tentang perjuangan, ketabahan dan maruah manusia yang dapat difahami oleh pembaca di mana-mana sahaja.

Dengan demikian, imaginasi memainkan peranan penting dalam mengangkat realiti tempatan kepada nilai kemanusiaan yang bersifat sejagat. Melaluinya, sastera Malaysia bukan sahaja merakam pengalaman masyarakat sendiri, malah berupaya menyampaikan makna kehidupan yang merentas batas tempat, budaya dan zaman.

Kesimpulannya, bagi memastikan penulisan sastera terus berkembang dan melahirkan karya yang bermutu, daya imaginasi perlu dipupuk secara berterusan dalam kalangan penulis dan generasi muda. Amalan membaca karya pelbagai genre, melakukan pemerhatian terhadap kehidupan, memperluas pengalaman serta membudayakan pemikiran kreatif wajar diberikan perhatian kerana semua aspek tersebut menjadi sumber yang menyuburkan imaginasi pengarang.

Sesungguhnya, imaginasi bukan sekadar unsur pelengkap dalam penulisan sastera, bahkan merupakan nadi yang menggerakkan keseluruhan proses penciptaan karya. Melalui imaginasi, pengarang dapat mencipta dunia naratif, memperkaya makna kehidupan, membina empati pembaca, dan mengangkat pengalaman tempatan kepada persoalan yang bersifat sejagat. Tanpa imaginasi, karya sastera akan kehilangan daya kreatif, nilai estetik dan keupayaannya untuk menyentuh jiwa manusia.

Oleh itu, dapat ditegaskan bahawa imaginasi amat penting dalam penulisan sastera kerana imaginasilah yang memberikan roh pada sesebuah karya dan memungkinkan sastera terus berfungsi sebagai wahana untuk memahami manusia, kehidupan dan peradaban. Selagi manusia masih berfikir, bermimpi dan mentafsir dunia di sekelilingnya, selagi itulah imaginasi akan kekal menjadi denyut nadi penulisan sastera.

______________________________

Zulkifli Mohd Top dilahirkan di Ipoh, Perak. Beliau berkhidmat sebagai guru di Ipoh, Perak dan berkelulusan Sarjana Pendidikan Universiti Malaya (2007). Beliau menulis Karya cerpen, puisi dan eseinya tersiar dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta akhbar tempatan. Beliau turut ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) oleh DBP pada tahun 2010.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi