Diterbitkan pada 10 Julai 2026, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ismail Hashim mengesyorkan agar para penulis sekarang tidak boleh menyendiri dan “duduk di dalam gua”.

Saya sengaja menggunakan kata ‘gua’ kerana seseorang penulis pun terbentuk bertahun-tahun, barulah ada pembaca yang mula ‘mengerling’ karya mereka.

Saya agak terpanggil untuk menulis tulisan ini setelah menghadiri sebuah bengkel penulisan cerpen anjuran sebuah persatuan penulis dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama dua hari. Saya mendapati, daripada jumlah 31 peserta yang mendaftar untuk penyertaan, hanya sebahagian sahaja yang betul-betul hadir pada hari bengkel tersebut.

Adakah para penulis yang selebihnya tidak mampu (mahu?) hadir kerana berada di dalam guanya sendiri? Hal itu amatlah merugikan kerana penceramah utama yang hadir pada bengkel tersebut merupakan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP sendiri. Banyak ilmu, syarat dan selok-belok urusan penerbitan yang dikongsinya kepada para peserta.

Dari segi definisi, gua ialah ruang semula jadi yang terdapat pada struktur batu, bukit atau bawah tanah yang terbentuk dalam masa yang sangat lama akibat daripada proses hakisan air, pelarutan batu kapur atau berpunca daripada aktiviti geologi.

Dalam bahasa kiasan Melayu, gua juga boleh disamakan dengan tempat seseorang mengasingkan diri ataupun berada dalam “alamnya sendiri”. Saya sengaja menggunakan kata ‘gua’ kerana seseorang penulis pun terbentuk bertahun-tahun, barulah ada pembaca yang mula “mengerling” karya mereka.

Sememangnya, penulis juga hampir sama sebagaimana sesebuah gua terbentuk. Mereka mengambil masa yang agak lama untuk karya-karyanya dikenali ramai. Mungkin zaman sekarang tidaklah. Dengan adanya media sosial seperti Facebook, penulis itu sendiri boleh melakukan usaha promosi diri dan karyanya. Namun dalam kegilaan terhadap sifat percuma media sosial itu, ada juga musibah di sebaliknya. Buat masa ini, para pembaca lebih sukakan bacaan secara digital yang percuma daripada membaca sebuah buku/majalah/jurnal. Saya tak kata pembaca sekarang kurang membeli, tetapi yang saya maksudkan adalah kurang membaca.

Namun begitu, dengan kehadiran media sosial, semua penulis sekarang terpaksa “tinggal di luar gua”. Mereka perlu menunjukkan wajah dan kata-kata mereka kepada pihak awam (amat rugilah bagi mereka yang menetapkan mod profil mereka sebagai “tatapan privasi”). Hal ini merupakan peluang yang istimewa yang dinikmati oleh penulis zaman sekarang jika dibandingkan dengan zaman sebelumnya, yang para penulisnya terpaksa menunggu ruang sastera dalam akhbar mingguan untuk menaikkan namanya sebagai penulis melalui hasil tulisannya yang disiarkan.

Dalam hal gua ini, bagi saya, para penulis sekarang tetap perlu bergaul, terutamanya dalam aktiviti penulisan yang diadakan oleh persatuan penulis, khususnya pada peringkat negeri. Melalui pertemuan dan pergaulan inilah yang dapat membantu seseorang penulis itu mengembangkan hati nuraninya, memahami susuk masyarakat serta membantu memperkaya bahan penulisannya.

Selain itu, kehadiran penulis dalam aktiviti sebegini boleh membantunya mencetuskan idea baharu. Mereka mendengar pelbagai kisah, pandangan dan pengalaman hidup orang lain yang boleh dijadikan sumber bahan untuk mengungkapkan sesebuah karya.

Karya yang baik lahir daripada pemerhatian yang baik terhadap kehidupan sebenar. Dengan bergaul dalam persatuan, penulis lebih memahami ragam manusia, bahasa, budaya, dan masalah semasa. Dengan bergaul juga, penulis dapat menambahkan rangkaian kenalan sesama penulis, editor juga pembaca. Hal ini juga boleh dimanfaatkan dengan perkongsian pandangan serta galakan dalam kumpulan ini demi meningkatkan lagi penulisan karya para penulis.

Sekiranya penulis mengambil sikap menyendiri atau “duduk di dalam gua” tadi, mereka mungkin ketinggalan akan perkembangan sastera semasa dan kehilangan peluang untuk memajukan diri.

Antara perbincangan yang berlangsung dalam bengkel yang saya hadiri itu ialah perbualan tentang usaha untuk membuka ruang baharu dalam “sastera pelancongan”, iaitu suatu inisiatif yang memberikan peluang untuk sesebuah negeri (atau tempat tertentu) yang merupakan rumah kediaman penulis atau gambaran tempat dalam sesebuah karya penulis untuk menarik pelancong berkunjung ke tempat/negeri berkenaan.

Sudah tentu inisiatif seperti ini menarik perhatian para pemimpin sesebuah negeri untuk melihat tempat penulis atau karya-karya tertentu yang boleh meningkatkan industri pelancongan dalam negeri tersebut. Sememangnya, banyak isu pelancongan yang boleh dijadikan bahan dalam sastera pelancongan. Hal yang diperlukan sekarang ialah kajian, penyelidikan dan dokumentasi. Hal ini samalah seperti yang diperhatikan oleh Nisah Haron dalam jelajah sasteranya di negara England dan Ireland dalam Kembara Sastera Nisah Haron.

Saya terbayangkan juga, adalah eloknya jika sastera pelancongan turut menjejak tempat-tempat kediaman (atau tempat kerja) tokoh-tokoh penulis sesebuah negeri yang “tidak didendangkan”. Hal ini sudah tentu mempunyai perspektif yang berbeza daripada tokoh penulis yang sudah tersohor dan menang pelbagai anugerah.

Oleh sebab itulah, saya sarankan agar para penulis sekarang tidak boleh berada di dalam guanya sendiri. Jika dia masih hendak tinggal di dalam guanya, tidak ada yang tahu nanti dari mana dia tinggal, dari mana dia datang. Kehadirannya tidak kelihatan di peta, dan takut nanti, tidak ada dalam peta minda mana-mana editor, penulis dan pembaca.

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Kredit Foto: Ksenia Kudelkina/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi