Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu — Sebanyak 40 mahasiswa Tahun 1 Program Penulisan Kreatif, Fakulti Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Bengkel Deklamasi Puisi yang bertujuan memperkukuh seni deklamasi puisi mahasiswa secara teori dan praktikal di Studio M. Osman, ASTiF, UMS, baru-baru ini.

Program anjuran Sastera Mahasiswa (KARMA) UMS dengan kerjasama Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) itu dikendalikan oleh dua orang tokoh sastera, iaitu Marsli N.O.  dan Ramlie A.R. (Ramli Jusoh).

Mereka mendedahkah kepada mahasiswa pelbagai aspek penting dalam seni deklamasi sajak, termasuk teknik vokal, penghayatan karya, kawalan pentas, penggunaan bahasa tubuh, serta teknik dan gaya persembahan yang berkesan.

Ketua Program Penulisan Kreatif ASTiF, YBrs. Dr. Mashor Awang Long berkata, penganjuran bengkel seumpama itu penting dalam usaha melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mampu menghasilkan karya kreatif, malah berupaya menyampaikan karya tersebut dengan penuh berkesan kepada khalayak.

“Kemahiran deklamasi sajak dapat membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan berfikir secara kreatif dalam kalangan pelajar,” jelasnya.

Selain sesi ceramah dan perkongsian pengalaman, peserta turut diberi peluang menjalani latihan amali serta menerima bimbingan secara langsung daripada fasilitator. Pendekatan tersebut membolehkan mereka memahami teknik penyampaian sajak dengan lebih mendalam dan berkesan.

Penganjuran bengkel seperti ini menyemarakkan minat mahasiswa terhadap kesusasteraan Melayu serta memperkukuh budaya apresiasi seni dan sastera dalam kalangan warga kampus.

Kredit Foto: Mabulmaddin Shaiddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi