Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 07:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, yang mula menekuni dunia sastera sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menghimpunkan satu sintesis berdasarkan penelitian ringkas terhadap pelbagai literatur bagi menelusuri persoalan sama ada penulis, khususnya penulis sastera, dilahirkan atau dibentuk. Persoalan itu semakin menebal ketika beliau menelusuri latar belakang para Sasterawan Negara yang sebahagian besarnya mempunyai pendidikan dan pengalaman dalam bidang kesusasteraan.

Adakah penulisan sastera hanya untuk insan berbakat atau sebenarnya boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja?

Sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah dan menengah, ranah sains dan matematik sangat ditekankan dalam hidup saya. Jujur saya katakan, jiwa saya memang jiwa ilmu hisab. Namun, jika seseorang bertanya mata pelajaran kedua yang paling saya gemari, tanpa berfikir panjang saya akan menjawab Bahasa Melayu. Ayah masih melanggan surat khabar secara fizikal sehingga hari ini. Setiap pagi, helaian akhbar itulah yang saya tatap. Daripadanya, saya membaca, menambah kosa kata dan mengenali dunia di luar pagar rumah. Yang paling mengujakan ialah peraduan yang tersiar pada halaman akhbar. Saya dan adik-adik akan mencuba nasib. Pemenang ditentukan berdasarkan slogan yang paling kreatif. Ketika itu, saya boleh berfikir sehingga tidak lena tidur memikirkan rangkai kata yang paling menarik dengan jumlah perkataan yang sangat terhad. Saya membayangkan ayat yang berirama, ayat yang mungkin mampu menambat hati juri. Waktu itu belum ada internet, apatah lagi kecerdasan buatan. Jika ada, barangkali pening kepala penganjur memilih pemenang. Kemudian saya melangkah ke sekolah menengah berasrama penuh dalam aliran sains tulen. Dunia saya dipenuhi formula matematik, teorem, eksperimen, zarah, dan molekul yang sebahagiannya bersifat abstrak. Namun di sebalik semua itu, mata pelajaran kegemaran kedua saya masih Bahasa Melayu selepas Matematik. Malah sewaktu di universiti, saya pernah memenangi hadiah utama berupa tiket penerbangan pergi dan balik ke Melbourne untuk dua orang, hanya kerana sebuah slogan yang barangkali berjaya memikat hati juri.

Jika ditelusuri, tulisan saya yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah sebelum ini kebanyakannya berada dalam ranah sains sosial. Tulisan yang sarat dengan fakta dan data. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kecenderungan saya terhadap sastera semakin kuat. Bahasa Melayu dan Kesusastera Melayu memang berbeza disiplin, namun kedua-duanya saling bergantung. Bahasa ialah alat komunikasi sama ada secara lisan mahupun bertulis. Sastera pula ialah seni yang memanfaatkan bahasa untuk menyampaikan pemikiran, budaya dan keindahan. Saya mula membaca karya sastera dari pelbagai ruang, sama ada majalah bercetak mahupun versi dalam talian. Dari situlah saya memberanikan diri untuk menulis dan mencuba nasib. Alhamdulillah, beberapa karya saya pernah diterbitkan dalam Tunas Cipta, Dewan Sastera, Berita Harian, Media Selangor, dan Wadah DBP. Namun begitu, satu persoalan sering berlegar dalam fikiran saya. Adakah penulisan sastera hanya untuk insan berbakat atau sebenarnya boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja?

Persoalan ini sebenarnya telah lama diperdebatkan. Ada pandangan yang melihat penulis sebagai insan yang dilahirkan dengan bakat yang luar biasa. Dalam bayangan romantik ini, penulis seolah-olah menerima ilham yang tidak dimiliki oleh orang lain. Namun begitu, dalam tradisi pendidikan moden, penulisan sering dilihat sebagai kemahiran yang boleh diasah melalui latihan dan pengalaman. Kedua-dua pandangan ini tidak semestinya saling menafikan. Sebaliknya, kedua-duanya membantu kita memahami bagaimana seseorang penulis berkembang dalam dunia sastera. Dari sudut psikologi kreativiti, kreativiti sastera merujuk keupayaan menghasilkan karya yang baharu dan bernilai secara estetika melalui penggunaan bahasa secara imaginatif. Individu yang dianggap berbakat biasanya memiliki kepekaan yang tinggi terhadap bahasa, imaginasi naratif yang kuat, serta kecenderungan untuk bereksperimen dengan bentuk dan simbol. Namun, kreativiti sastera tidak lahir secara tiba-tiba. Kreativiti dibentuk oleh penguasaan tradisi sastera, pengalaman membaca yang luas dan latihan menulis yang berterusan.

Pandangan yang lebih luas dikemukakan oleh Mihaly Csikszentmihalyi melalui model sistem kreativiti (Csikszentmihalyi, 2014). Menurut beliau, kreativiti tidak lahir hanya daripada individu semata-mata. Kreativiti terbentuk melalui pertemuan antara individu, bidang pengetahuan dengan komuniti yang menilai karya tersebut. Dalam dunia sastera, sebuah karya mungkin kelihatan baharu dan segar, namun hanya diiktiraf sebagai kreatif apabila diterima oleh komuniti sastera seperti penyunting, pengkritik dan penerbit. Dalam erti kata lain, bakat tidak bergerak sendirian. Bakat sentiasa berhubung dengan institusi dan budaya yang memberikan pengiktirafan kepada karya. Beliau juga berpendapat bahawa kreativiti dipengaruhi oleh peluang, latihan, pengalaman, mentor, jaringan profesional, dan akses pada ilmu.

Pandangan ini diperkukuh oleh pendekatan sosiologi yang mengkaji hubungan antara bakat dengan latar sosial. Kajian oleh Zhu dan Loh (2025) menunjukkan bahawa hal yang sering disebut sebagai bakat sastera sebenarnya berkait rapat dengan modal budaya dan sikap sosial seseorang individu. Individu yang membesar dalam persekitaran yang kaya dengan buku, budaya membaca dan sokongan keluarga lebih mudah menonjol dalam bidang penulisan. Sebaliknya, individu yang kurang terdedah pada dunia sastera sering menghadapi kekangan untuk mengembangkan potensi mereka. Dalam keadaan ini, bakat tidak sekadar persoalan keupayaan individu, tetapi juga hasil daripada peluang budaya yang tersedia.

Prinsip ini menunjukkan bahawa kepakaran tidak terbentuk melalui bakat semata-mata tetapi melalui latihan yang panjang dan disiplin yang konsisten.

Kajian terhadap penulis muda juga menunjukkan bahawa hubungan dengan penulisan sering bersifat sangat peribadi. Penyelidikan oleh Olthouse (2012) mendapati bahawa individu yang berbakat dalam penulisan kreatif melihat usaha menulis sebagai sebahagian daripada identiti diri mereka. Bagi mereka, menulis bukan sekadar tugas akademik. Menulis menjadi ruang untuk memahami diri dan mengekspresikan perasaan. Namun, minat ini tidak berkembang dengan sendirinya. Hal ini memerlukan pengalaman peribadi, sokongan keluarga, bimbingan guru dan komuniti yang menghargai penulisan.

Menyentuh pengalaman hidup pula, Effe (2025) menegaskan bahawa penulisan kreatif membolehkan individu membentuk identiti melalui pengalaman hidup dan membayangkan kemungkinan kehidupan baharu. Dalam konteks ini, pengalaman menjadi bahan mentah pada karya. Hal yang sama dinyatakan oleh dalam liputan oleh Noor Mohammad (2026) mengenai kenyataan Sasaterawan Negeri Sarawak keenam, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi bahawa pengalaman hidup merupakan faktor utama dalam menghasilkan karya yang baik di samping bakat dan minat.

Di samping faktor sosial dan identiti, latihan yang berterusan juga memainkan peranan penting. Kajian oleh Ericsson dan rakan-rakan (1993) memperkenalkan konsep latihan terancang. Latihan seperti ini dilakukan secara sistematik dengan tujuan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi. Prinsip ini menunjukkan bahawa kepakaran tidak terbentuk melalui bakat semata-mata tetapi melalui latihan yang panjang dan disiplin yang konsisten. Dalam penulisan, proses ini terlihat melalui draf demi draf, penyuntingan berulang dan refleksi terhadap karya sendiri. Pandangan yang hampir sama dikemukakan oleh Stewart (2022) yang melihat penulisan sebagai ketukangan yang perlu dipelajari. Bakat mungkin memberi kelebihan pada permulaan perjalanan, tetapi kejayaan sebenar bergantung pada ketekunan dan kesediaan untuk memperbaiki tulisan berkali-kali. Gambaran romantik tentang penulis yang hanya bergantung pada ilham sering menutup hakikat bahawa penulisan sebenarnya merupakan kerja yang panjang dan menuntut kesabaran. Latihan penulisan kreatif juga terbukti memberikan kesan terhadap kemahiran menulis secara lebih menyeluruh. Melalui penulisan kreatif, individu belajar membina gaya bahasa, memperkaya kosa kata dan mengembangkan pemikiran kritis. Mereka belajar menyusun idea dengan lebih jelas dan berani mengekspresikan pandangan mereka sendiri. Semua ini menunjukkan bahawa kreativiti bukanlah sifat yang hanya dimiliki oleh segelintir individu, tetapi sesuatu yang boleh dipupuk melalui pembelajaran yang sesuai.

Akhirnya, perdebatan antara bakat dengan kemahiran dalam penulisan sastera sebenarnya terlalu mudah jika dilihat sebagai pilihan yang saling menolak. Kreativiti sastera lahir daripada pertemuan antara pengalaman, kecenderungan individu, latihan yang berterusan dengan persekitaran budaya yang memberi ruang kepada penulis untuk berkembang. Seseorang mungkin mempunyai kecintaan semula jadi terhadap bahasa dan imaginasi, namun kemampuan itu hanya akan berkembang melalui pembacaan yang luas, latihan yang tekun dan keterlibatan dalam komuniti sastera. Dengan demikian, penulisan sastera bukanlah wilayah eksklusif bagi mereka yang dianggap berbakat semata-mata. Penulisan sastera juga sebuah perjalanan pembelajaran yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang sanggup menekuni kata demi kata.

Rujukan

Csikszentmihalyi, M., 2014. “Implications of a Systems Perspective for the Study of Creativity” dlm. Handbook of Creativity 313, hlm. 321, https://doi.org/10.1017/CBO9780511807916.018.

Effe, A., 2025. “Narrative Identity and Creative Writing: Crafting and Imagining Possible Lives” dlm. Topoi, hlm. 1–12. https://doi.org/10.1007/s11245-025-10264-7

Ericsson, K.A., Krampe, R.T. dan Tesch-Römer, C., 1993. “The Role of Deliberate Practice in the Acquisition of Expert Performance” dlm. Psychological Review 100:3, hlm. 363, https://doi.org/10.1037/0033-295X.100.3.363.

Noor Mohammad, N. H., 2026. “Sastera Lahir daripada Pengalaman Hidup dan Realiti Sekeliling” dlm. Dewan Sastera JendelaDBP, https://dewansastera.jendeladbp.my/2026/06/20/21699/.

Olthouse, J. M., 2012. “Talented Young Writers’ Relationships with Writing” dlm. Journal for the Education of the Gifted 35:1, hlm. 66–80, https://doi.org/10.1177/0162353211432039.

Stewart, L., (25 Mei 2022). “Is Talent or Skills More Important for Writing Novels?” dlm. Leilanie Stewart, https://leilaniestewart.com/2022/05/25/is-talent-or-skills-more-important-for-writing-novels/.

Zhu, Y., dan Loh, C. E., 2025. “The Use of ‘Literary Talent’: Cultural Capital, Habitus and Competition Engagement of Chinese Literary Youth” dlm. British Journal of Sociology of Education 46:6, hlm. 773–792, https://doi.org/10.1080/01425692.2025.2514582.

_________________________

Abdul Halim Abdullah (Prof. Madya Dr.) merupakan ahli akademik sepenuh masa di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sangat cinta pada bahasa ibundanya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Tokoh Penerbitan (Kategori Sains Sosial) Majlis Citra Karisma UTM 2025.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi