Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Amiruddin Md. Ali Hanafiah mengharapkan agar layar sastera Dewan Bahasa dan Pustaka terus maju dalam persada nadi kesusasteraan kebangsaan.

DBP kini melangkah dengan lebih jelas untuk pembinaan dan pengembangan sastera apabila diwujudkan Jabatan Pengembangan dan Pembinaan Sastera.

Tarikh 22 Jun ialah tarikh keramat yang tidak akan luput daripada ingatan para pencinta dan pendukung bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bukan sahaja dikenali sebagai institusi memartabatkan bahasa kebangsaan; malah menjadi pendukung pada pemartabatan sastera kebangsaan.

Dari Bukit Timbalan dan kini megah berdiri sebuah menara dalam usia tujuh dekad, usianya bukan lagi sekadar merentas usia “warga emas”, tetapi suatu usia untuk menempuh dekad yang lebih bergelora.

Dalam usia tujuh dekad, pada dasarnya DBP telah berjaya membina dan mengembangkan sastera Melayu sebagai sastera kebangsaan di negara ini. Namun begitu, DBP “terpaksa” menghadapi pelbagai cabaran dalam gelora dalam memartabatkan sastera kebangsaan.

Cabaran paling besar ialah tanggapan terhadap konsep sastera kebangsaan yang tidak pernah selesai, termasuk ketiadaan Dasar Sastera Kebangsaan, walaupun pelbagai kegiatan termasuk seminar, forum, bengkel, dan pelbagai lagi program yang dilaksanakan oleh DBP memperjelas definisi sastera kebangsaan ini.

Namun begitu, sesetengah kelompok penulis dan pengamal sastera tidak mahu menerima konsep sastera yang meletakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai asas sastera kebangsaan.

Cabaran mengadakan program yang memberikan manfaat kepada penulis semakin berat dengan kehadiran teknologi maklumat. Sesetengahnya memberikan pandangan bahawa tidak perlu lagi ada program kerana mereka boleh mendapatkan ilmu melalui media sosial.

DBP perlu menempuh cabaran ini kerana penganjuran program bukan sahaja sekadar menyebarkan ilmu dan maklumat, tetapi mampu menjalin ukhuwah penulis.

DBP kini melangkah dengan lebih jelas untuk pembinaan dan pengembangan sastera apabila diwujudkan Jabatan Pengembangan dan Pembinaan Sastera. Usaha DBP ini jelas berkesinambungan sejak tahun 1990-an apabila mengadakan sayembara penulisan puisi dan cerpen untuk kanak-kanak yang berusia antara 10 hingga 13 tahun bulan Mei 1999.

DBP turut menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (PURNAMA) pada 3 Mac 1997; hasil daripada Konvensyen Sastera Kanak-kanak pada 26 hingga 27 Jun 1989. Bergerak daripada konvensyen tersebut, diadakan Bengkel ke Arah Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja pada 23 November 1996.

DBP merupakan satu-satunya badan yang diberikan peranan mengiktiraf para penulis, termasuk penganjuran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang mula diadakan pada tahun 1971, yang pada masa itu dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera. Ada dua cabaran utama penganjuran HSPM pada masa akan datang, iaitu nilai hadiah dan pemilihan pemenang yang sering menimbulkan “prasangka” dalam kalangan penulis.

Namun begitu, cabaran prasangka memang tidak dapat dielakkan kerana sudah resam manusia yang pelbagai, apatah lagi ada segelintir yang menanggap dirinya sahaja yang betul.

Ketiadaan anugerah sastera negeri juga, sesetengahnya “menuding” kepada DBP. Masih terdapat negeri yang gagal mewujudkan Hadiah Sastera Negeri bagi mengiktiraf para penulis pada peringkat negeri, termasuk mewujudkan Anugerah Sasterawan Negeri.

Negeri Johor menjadi negeri pertama yang mengiktiraf para penulis melalui Hadiah Sastera Darul Ta’zim (HSDT) yang diadakan secara konsisten sejak tahun 1995. Antara penerima anugerah Sasterawan Negeri Johor termasuklah Zam Ismail, Aminah Mokhtar dan Maskiah Masrom. DBP juga turut bersama-sama menganjurkan HSDT. Selain Johor, negeri yang turut menganjurkan anugerah sastera negeri secara konsisten ialah Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Penganugerahan Sasterawan Negara dan “pengantara” bagi SEA Write Awards juga dikelola dengan jayanya oleh DBP. Allahyarham Keris Mas (Kamaluddin Muhamad) menjadi penerima Sasterawan Negara yang pertama pada tahun 1981. Kini, Allahyarham Mana Sikana menjadi penerima Sasterawan Negara terbaharu.

Pada masa akan datang, DBP seharusnya bersama-sama menjadi “pengiktiraf” Sasterawan Negeri dengan menjadi penyumbang tetap pada hadiah sastera peringkat negeri. DBP perlu menetapkan kriteria Sasterawan Negeri hanya untuk anak negeri sahaja; seperti yang dilakukan oleh lima negeri ketika ini, iaitu Johor, Kedah, Sabah, Terengganu, dan Kelantan.

Ketiadaan pendidikan Kesusasteraan Melayu yang mantap di sekolah kini menjadi “tempias” yang turut terkena kepada DBP. Dewan Sastera Jun 1999 pernah membicarakan hal tentang hala tuju pendidikan kesusasteraan. Perbincangannya menjadi suatu yang menarik dan perlu difikirkan bersama, demi maruah masyarakat sastera. Untuk itu, usaha DBP ditagih menjadi “orang tengah” untuk menyelamatkan pendidikan kesusasteraan di sekolah.

DBP juga berhadapan dengan cabaran tanggapan bahawa sastera Melayu hanya untuk bangsa Melayu. Sepatutnya, sastera Melayu bukan milik bangsa Melayu sahaja. Malah, bangsa lain turut mempelajari dan menghargai sastera Melayu. Jadi, menganggap sastera Melayu itu hanya untuk satu bangsa tertentu sahaja satu kesilapan.

Pada dasarnya, telah banyak usaha yang dilakukan oleh DBP untuk mengangkat sastera ke persada tanah air, Nusantara, malah ke taraf antarabangsa. Namun begitu, cabaran tetap akan muncul dan perlu ditangani dengan hikmah oleh DBP. Moga DBP terus cemerlang memacu penulis Malaysia dalam usaha mendenyutkan nadi sastera tanah air.

_________________________

Amiruddin Md. Ali Hanafiah ialah Ketua Satu Persatuan Penulis Johor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi