Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 14 November 2024, 13:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Empat kriteria Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) diperkenalkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs Dr. Hazami Jahari untuk merancakkan dan melonjakkan lagi nilai dan makna sastera kebangsaan dalam era digital.

Hal ini disampaikan oleh beliau dalam Persidangan Meja Bulat: Memberikan Makna dan Nilai Sastera Era Digital di Wisma DBP bersama-sama Sasterawan Negara dan ahli sarjana sastera pada 11 November 2024.

Empat kriteria DSK tersebut termasuklah (1) sastera kebangsaan perlu dikarang atau dihasilkan asli dalam bahasa kebangsaan; (2) sastera kebangsaan dikarang atau dihasilkan oleh warganegara Malaysia; (3) sastera kebangsaan perlulah berlandaskan falsafah Rukun Negara; dan (4) karya sastera yang ditulis dalam bahasa ibunda etnik dialih kepada bahasa kebangsaan oleh warganegara Malaysia.

Menurut Dr. Hazami, ciri-ciri kriteria yang termaktub dalam DSK turut mengangkat nilai kemanusiaan, kerohanian, keilmuan, dan ekonomi dalam sastera.

Sesi Persidangan Meja Bulat ini dipengerusikan oleh Dr. Hazami Jahari untuk meneliti kembali konsep dan fungsi pembinaan sastera dalam usaha menstrukturkan semula fungsi kerangka Dasar Sastera Kebangsaan.

Dalam sesi persidangan tersebut, Ketua Pengarah turut menyatakan bahawa skop perbincangan akan tertumpu pada perbincangan teori sastera, kritikan, sastera, pemasaran sastera, dan menambah baik fungsi pembinaan sastera.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam sesi meja bulat.

Antara cadangan yang disampaikan oleh beberapa ahli panel dalam sesi ini termasuklah mencadangkan usaha pemantapan teori sastera tempatan yang relevan dengan zaman sekarang, pembinaan kerangka standard sastera Melayu, dan mengembangkan sastera melalui teknologi digital, seperti sastera multimedia dan audio siar.

Selain itu, perlunya memperbanyak terjemahan karya sastera Melayu ke peringkat antarabangsa, memantapkan lagi pembinaan perbendaharaan ilmu kesusasteraan, serta penerapan standard profesionalisme dalam kerjaya sastera.

Turut hadir menyumbang buah fikiran dalam sesi meja bulat ialah Sasterawan Negara YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad Haji Salleh; pensyarah kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali; pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), YBrs. Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman; pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Mawar Safei; Pengarah Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), YBrs. Dr. Azman Ismail; mantan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim; pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), YBrs. Professor Madya Dr. Asmiaty Amat; pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani; pensyarah kanan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBrs. Dr. Nurul Afifah Adila Mohd Salleh; Pensyarah Jabatan Pengajian Media UM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin.

Turut hadir dalam sesi meja bulat termasuk Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M Azahari Edin; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; ketua-ketua jabatan; ketua-ketua bahagian dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan