Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching Sastera alam perlu diperkukuh sebagai medium penting dalam membina kesedaran serta tanggungjawab masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar, khususnya dalam menghadapi cabaran pembangunan dan perubahan iklim pada masa kini.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ketika menyampaikan Syarahan Keris Mas Kali ke-5 bertajuk “Sastera Alam dalam Alam Sastera” bersempena Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 yang berlangsung di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, pagi tadi.

Syarahan tersebut merupakan antara pengisian utama dalam sambutan ulang tahun DBP ke-70 yang bertujuan memperkukuh peranan sastera sebagai medium pembinaan masyarakat berilmu, beretika dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Dalam syarahannya, beliau menyatakan bahawa sastera alam tidak seharusnya dilihat sebagai karya yang hanya menonjolkan keindahan alam semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai medium yang mampu menyampaikan mesej kesedaran, kritikan dan dorongan untuk membendung tindakan dalam kalangan masyarakat.

“Sastera alam berbeza daripada puisi alam biasa kerana sastera alam bukan sekadar menggambarkan keindahan, tetapi menuntut kesedaran serta tindakan manusia dalam menjaga alam sekitar,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa konsep sastera alam merangkumi karya yang menjadikan alam sebagai subjek utama dengan mengangkat nilai, simbol serta hubungan antara manusia dengan alam dalam konteks yang lebih luas dan mendalam.

Tambah beliau, pemahaman terhadap sastera alam perlu melibatkan pendekatan yang menyeluruh, termasuk pemahaman terhadap empat komponen utama alam, iaitu hidrosfera, atmosfera, biosfera, dan litosfera yang saling berkait dalam memastikan keseimbangan ekosistem.

Beliau turut menghuraikan empat tema utama dalam perkembangan sastera alam, iaitu karya berpusatkan alam, fiksyen perubahan iklim, kesedihan ekologi (ecological grief) serta tindakan lestari yang menekankan usaha memelihara dan melindungi alam sekitar.

Menurut beliau, gabungan antara pendekatan sains dengan sastera amat penting dalam menghasilkan pemikiran yang lebih seimbang dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan profesional yang terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan.

“Sastera perlu dibaca bukan sahaja oleh sasterawan, tetapi juga oleh jurutera, arkitek dan perancang bandar supaya setiap keputusan pembangunan yang dibuat mengambil kira aspek kemanusiaan dan kelestarian alam,” ujarnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa sungai merupakan antara elemen penting yang mencerminkan tahap kesedaran dan pengurusan alam dalam sesebuah masyarakat. 

Menurut beliau, “Keadaan sungai yang tercemar menggambarkan kegagalan manusia dalam memelihara alam sekitar dengan baik.

“Sungai ialah cerminan pada budaya dan sikap masyarakat. Jika sungai tercemar, maka keadaan ini mencerminkan kelemahan kita dalam mengurus alam.”

Pada masa yang sama, beliau turut menekankan peranan puisi sebagai medium yang berkesan dalam menyampaikan mesej berkaitan alam sekitar kerana sifatnya yang mampu menyentuh emosi, membina kesedaran serta mudah dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Sastera, khususnya puisi, mempunyai kekuatan untuk memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa manusia, sekali gus menjadi alat penting dalam membentuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam,” ujar beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa agar karya sastera alam diperluas kepada khalayak yang lebih besar dan tidak terhad kepada kelompok tertentu sahaja.

Menurut beliau, “Usaha memperluas pasaran dan pembaca sastera alam penting bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat memberikan impak yang lebih meluas.”

Para hadirin dan barisan tetamu khas Syarahan Keris Mas Kali ke-5.

Turut hadir termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohamed Salahuddin Datuk Paduka Paduka Mohamed; anakanda Sasterawan Negara Keris Mas, YBrs. Dr. Muhammad Amir Kamaluddin; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya.

Kredit Foto: Norfazrie Isquandy
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi