Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching Puisi bukan sekadar medium ekspresi seni, malah berperanan sebagai wahana penting dalam mendidik masyarakat tentang nilai demokrasi, pemikiran kritis dan tanggungjawab warganegara.

Demikian perkongsian yang diketengahkan oleh Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Amir Asyraff Jamin sebagai ahli panel dalam Program Kejora Darul Hana: Kata, Kias dan Lakon Sasterawan Negeri Sarawak Keenam bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 yang berlangsung di Dewan Toh Puan Hajah Masniah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak, pagi semalam.

Amir Asyraff memberikan perkongsian berkaitan wacana bertajuk “Sasterawan Sarawak Keenam: Penyajak Sosial Demokrasi yang Komunikatif”.

Beliau menghuraikan bahawa karya puisi Sasterawan Negeri Sarawak Keenam, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi menampilkan hubungan erat antara sastera dengan realiti sosial, khususnya dalam membincangkan isu demokrasi yang selari dengan kehidupan masyarakat.

Menurut beliau, unsur sosial dalam karya sastera menjadi asas penting yang mencerminkan denyut nadi kehidupan masyarakat, manakala demokrasi pula tidak harus difahami sebagai sekadar sistem pemerintahan, tetapi perlu dilihat melalui nilai dan amalan yang membentuknya.

Beliau menjelaskan bahawa antara kekuatan utama karya Dr. Abang Patdeli termasuklah pendekatan komunikatif yang digunakan, iaitu penggunaan bahasa yang jelas, mudah dan dekat dengan masyarakat.

“Sesebuah karya perlu difahami oleh pembaca agar mesej yang disampaikan memberikan kesan. Jika tidak, nilai sosialnya akan terhad,” ujarnya.

Mengulas beberapa puisi moden terpilih, beliau menyatakan bahawa sajak seperti “Omong Kosong” mengkritik budaya politik yang dipenuhi janji palsu dan retorik kosong, sekali gus menggambarkan kesan negatif terhadap masyarakat seperti perpecahan, keresahan dan konflik.

Sementara itu, sajak “Sandiwara Politik Itu” pula menggunakan simbol teater bagi menggambarkan realiti politik yang sarat dengan unsur manipulasi, oportunisme dan nepotisme.

Selain kritikan, beliau turut menegaskan bahawa puisi Abang Patdeli membawa pendekatan yang mendidik masyarakat, seperti karya “Undilah dan Undi di Tangan Sendiri” yang menekankan kepentingan mengundi sebagai hak dan tanggungjawab rakyat dalam menentukan masa hadapan negara.

“Melalui sajak ini, masyarakat diajak supaya membuat pilihan secara bijaksana, tidak dipengaruhi emosi serta menilai pemimpin berdasarkan integriti dan keupayaan.

“Dr. Abang Patdeli tidak menunjukkan keberpihakan kepada mana-mana pihak politik, sebaliknya memberikan ruang kepada pembaca untuk membuat pertimbangan sendiri,” ujar beliau.

Para pelajar yang hadir di program Kejora Darul Hana bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70.

Amir Asyraff turut menekankan bahawa pendekatan ini secara tidak langsung membentuk masyarakat yang lebih kritis, rasional dan bertanggungjawab dalam mengamalkan demokrasi.

Pada masa yang sama, karya Abang Patdeli berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa kuasa sebenar dalam sistem demokrasi terletak di tangan mereka dan bukannya pemimpin.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa puisi Abang Patdeli bukan sahaja berfungsi sebagai kritikan terhadap kelemahan amalan politik, tetapi juga sebagai panduan dalam memperkukuh nilai demokrasi yang sihat.

“Sastera harus berperanan menggerakkan masyarakat ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Yang turut hadir termasuklah, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Haji Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Sasterawan Negeri Sarawak Keenam, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi; dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tun Abang Haji Openg, YBrs. Encik Jamli Bujang.

Kredit Foto: Norfazrie Isquandy
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi