Diterbitkan pada 4 Jun 2026, 18:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan novel terjemahan dari China, Gema, yang merupakan pemenang Anugerah Kesusasteraan Mao Dun ke-11, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Anugerah Kesusasteraan Mao Dun merupakan salah satu pengiktirafan sastera tertinggi dan berprestij bagi negara Tembok Besar itu.

Nilai prestij anugerah ini menyamai pengiktirafan Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang mengangkat karya sastera terbaik peringkat kebangsaan.

Dianjurkan setiap empat tahun sekali bagi memberi penghormatan kepada karya novel yang cemerlang, penganugerahan Mao Dun edisi ke-11 menyaksikan Gema atau dalam bahasa asalnya, 回响, terpilih sebagai salah satu daripada lima buah novel yang dinobatkan sebagai penerima.

Novel berkonsepkan detektif dan psikologi nukilan penulis tersohor ini telah terjual melebihi 400,000 naskhah di China dan telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Rusia, Vietnam, dan Myanmar.

“Saya menaruh harapan yang tinggi terhadap edisi bahasa Melayu ini kerana saya difahamkan Malaysia merupakan sebuah negara yang cintakan amalan membaca, dengan purata pembacaan sebanyak 20 buah buku setahun bagi setiap individu,” ujar Dong Xi.

Dong Xi (tiga dari kiri) bersama-sama Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Dato’ Goh Hin San dan  Alex Yong Yee Tuck melancarkan novel Gema terjemahan Melayu.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut memuji keupayaan penterjemah novel Gema, Alex Yong Yee Tuck, yang berjaya menyampaikan naratif novel tersebut ke dalam bahasa Melayu dengan amat baik.

Bahkan, katanya lagi, proses penterjemahan karya sastera bukanlah satu tugas yang mudah kerana tidak semua novel terjemahan mampu mengungkapkan keindahan dan keunikan yang sedia ada dalam bahasa asalnya.

“Novel ini menceritakan proses penyiasatan sebuah kes pembunuhan oleh seorang pegawai siasatan wanita yang dalam masa yang sama terpaksa menyelesaikan kes hubungan kekeluargaan akibat kecurangan suaminya,” jelas beliau.

Para pengunjung dan tetamu undangan yang hadir dalam majlis pelancaran novel Gema.

“Turut dikagumi tentang novel ini adalah melalui plotnya yang memaparkan konflik antara realiti dengan psikologi, ilusi dengan kebenaran, kesulitan dalam penebusan jiwa yang dramatik.

“Saya amat berharap agar DBP akan terus mengusahakan penterjemahan pelbagai karya besar dalam bahasa asing lain untuk dijadikan bahan bacaan masyarakat,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran novel terjemahan tersebut. Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato’ Goh Hin San.

Novel Gema boleh didapati di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena PBAKL 2026.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi