Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLokman Hakim dalam proses menterjemahkan karya agung Barat, The Odyssey yang diterjemahkannya sebagai Kembara Agung. Beliau mentafsirkan rumah Ulysses sebagai sebuah negara yang gagal.
Inilah yang menjadikan rumah Ulysses sebuah alegori politik yang luar biasa …
Ada sesuatu yang jauh lebih menakutkan dalam Kembara Agung (The Odyssey) daripada sang Cyclops, Siren ataupun pusaran Charybdis. Hal itu bukanlah raksasa ataupun makhluk ghaib, bahkan bukan juga lautan bergelora. Hal yang dimaksudkan itu ialah sebuah rumah yang masih berdiri tegak, tetapi sudah kehilangan kuasa dan daulatnya. Itulah rumah Ulysses, istana tempat tinggalnya, rumah beradu isteri dan anaknya, juga pusat pemerintahannya mentadbir negara kota Ithaca.
Mengapa rumah ini hilang kuasa dan daulatnya?
Rumah Ulysses tidak dibakar. Bukan juga tentera asing menakluknya. Tiada kerajaan luar yang menjajah Ithaca secara rasmi. Ulysses yang masih hidup itu, setelah berjaya dalam Perang Trojan, dia masih mencari-cari jalan pulang ke tanah tumpahnya. Atas ketiadaannya, rumahnya perlahan-lahan berubah menjadi sebuah wilayah tanpa daulat. Dalam ruang itulah, The Odyssey menjadi sangat moden. Homer sedang memperlihatkan kita bagaimana sesebuah sistem pemerintahan/keluarga boleh runtuh, bukan melalui ledakan perang, tetapi melalui normalisasi parasitisme, ketidakberdayaan institusi dan kelesuan moral masyarakat.
Inilah yang menjadikan rumah Ulysses sebuah alegori politik yang luar biasa: rumah sang raja Ulysses menjadi sebuah “negara” yang gagal sebelum istilah failed state pernah dicipta.
Sebaik sahaja Dewi Minerva tiba di Ithaca, hal pertama yang dilihatnya bukanlah keluarga bangsawan yang bermaruah, tetapi para pelamar “yang berlagak raja sedang duduk di atas kulit lembu yang mereka sembelih dan makan” sementara para pelayan sibuk melayani kerakusan mereka. Gambaran ini memperlihatkan keruntuhan Ithaca secara fizikal. Rumah/istana itu masih utuh. Tiang-tiangnya masih berdiri. Meja-mejanya masih tersusun. Muzik masih dimainkan. Wain masih dituang. Namun begitu, struktur moral dan politik yang mengawal ruang tersebut sudah rosak.

Oleh sebab “tuan rumah” pemerintah Ithaca tidak ada (malah, ramai yang menganggap dia sudah mati), pelamar keturunan bangsawan dari setiap sudut kepulauan Greece datang untuk melamar sang isteri Ulysses, Penelope. Para pelamar itu tinggal di rumah Ulysses seperti parasit, Mereka makan di ruang bankuet setiap hari. Mereka berpesta setiap malam. Mereka bermain muzik, menari dan menikmati daging ternakan Ulysses, seolah-olah semua itu hak mereka secara semula jadi. Dalam istilah politik moden, mereka telah menormalkan penguasaan oligarki terhadap sumber awam.
Telemachus anak Ulysses memahami hal ini dengan jelas. Ketika berbicara kepada Dewi Minerva, dia tidak sekadar mengeluh tentang kehilangan ayahnya, tetapi tentang pengambilalihan rumahnya oleh kelas elit tempatan: “Para ketua dari keseluruhan gagasan pulau kami … sedang menghabiskan seisi makanan rumah aku … akibatnya mereka sedang menghabiskan segala harta aku dan tidak lama lagi, mereka mungkin menghancurkan diriku juga.”
Perhatikan pilihan kata ‘menghabiskan’ dan ‘menghancurkan’. Para pelamar bukan sekadar tetamu yang biadab. Mereka ialah kelas ekstraktif. Mereka tidak mencipta apa-apa. Mereka tidak membina apa-apa. Mereka hanya menggunakan sumber orang lain sambil menunggu peluang untuk merampas legitimasi kuasa melalui perkahwinan dengan Penelope.
Dalam kerangka neoliberalisme moden, mereka menyerupai golongan elit yang menguasai institusi ekonomi tanpa menghasilkan nilai moral yang setara. Mereka memakan negara dari dalam sambil mengekalkan ilusi bahawa sistem masih berjalan secara normal.
Dalam hal ini, Homer memperlihatkan tiadanya autoriti yang kukuh yang mampu mempertahankan sempadan moral rumah Ulysses masa itu (walaupun keluarga Ulysses masih ada di dalam rumah itu). Ithaca masih mempunyai sumber makanan. Masih mempunyai sumber pekerja. Masih mempunyai warisan politik (Telemachus), tetapi semuanya kehilangan makna apabila tiada sesiapa mampu menguatkuasakan hak milik dan maruah rumah itu.
Inilah paradoks negara gagal dalam dunia moden: institusi masih kelihatan wujud, tetapi kuasanya telah hilang.
Telemachus ialah simbol generasi pewaris yang dibesarkan dalam keruntuhan institusi. Dia pewaris sah rumah itu, tetapi tidak memiliki kekuatan politik untuk mengawal ruangnya sendiri. Ketika dia akhirnya bersuara kepada para pelamar, kata-katanya masih kedengaran seperti rayuan moral, bukan perintah seorang pemerintah: “Pergilah berpesta di rumah masing-masing… Tetapi sekiranya kalian masih ingin menumpang di rumah ini dengan angkuh…”
Pada bahagian ini, Telemachus sebenarnya sedang mengalami pengalaman yang sangat moden: dia memiliki legitimasi, tetapi tidak memiliki kuasa sebenar. Banyak negara moden kini berada dalam keadaan serupa. Mereka mempunyai perlembagaan, parlimen, mahkamah, kementerian, dan pelbagai simbol negara, tetapi kuasa sebenar telah lama dirampas oleh jaringan ekonomi, oligarki korporat ataupun kelompok elit yang terlalu besar untuk disentuh. Negara masih kelihatan hidup secara administratif, tetapi secara moralnya telah menjadi ruang tanpa pemiliknya yang sebenar.
Pada bahagian klimaks The Odyssey, Homer menunjukkan bagaimana institusi politik yang gagal akhirnya membuka jalan kepada keganasan.
Lebih menarik lagi, Homer tidak menggambarkan rakyat Ithaca bangkit pun untuk menentang keadaan ini. Sebaliknya, masyarakat sekeliling membiarkan parasitisme itu berlaku. Bahkan Aegyptius sendiri mengakui bahawa sejak Ulysses pergi, tiada perhimpunan besar diadakan lagi. Hal ini menggambarkan bagaimana institusi awam telah lumpuh sehingga masyarakat tidak lagi menganggap keadaan luar biasa itu sebagai suatu yang perlu dipedulikan.
Lihat sahaja realiti semasa kini. Kita hidup dalam dunia yang menyaksikan:
Akan tetapi, semua itu diterima sebagai “realiti pasaran”. Hal ini sama seperti tragedi yang menimpa rumah Ulysses. Sistemnya masih berjalan, namun sumber negaranya sedang dimakan (consume) perlahan-lahan oleh suatu struktur yang tidak lagi memiliki batas moral.
Homer turut memperlihatkan bahawa keruntuhan sesebuah ruang bermula apabila konsep tetamu berubah menjadi pengguna. Dalam budaya Yunani kuno, tetamu ialah figura suci yang harus dihormati melalui prinsip xenia — hubungan timbal balik antara tuan rumah dengan pengunjung. Dalam The Odyssey, para pelamar memusnahkan prinsip itu. Mereka menerima hospitaliti pemiliknya tanpa tanggungjawab moral terhadap rumah yang mereka duduki.
Hal ini sangat dekat dengan sifat neoliberalisme moden yang mengubah seluruh dunia menjadi ruang konsumsi. Dalam dunia sebegini, manusia tidak lagi melihat masyarakat sebagai sesuatu yang perlu dipelihara bersama, tetapi sebagai sumber yang boleh digunakan semaksimum mungkin. Para pelamar dalam hal ini ialah pengguna mutlak. Mereka tidak mencintai rumah Ulysses. Mereka hanya menikmati manfaat materialnya. Oleh sebab itu Homer menggambarkan mereka sentiasa makan.
Makan dalam The Odyssey bukan sekadar tindakan biologi. Makan ialah simbol politik. Para pelamar sentiasa memakan lembu, kambing dan meminum wain Ulysses kerana eksploitasi mereka bersifat metabolik: mereka hidup dengan menyerap tenaga orang lain. Dalam bahasa moden, mereka ialah kelas yang hidup melalui pengekstrakan. Malah, mereka juga memonopoli masa. Mereka memenuhi ruang rumah itu dengan kebisingan, hiburan dan pesta sehingga Telemachus sendiri kehilangan ruang psikologinya. Dia “sedang duduk muram di antara para pelamar.” Bayangkan simbolisme ini: pewaris sah rumah itu menjadi asing di rumahnya sendiri.
Ramai dalam kalangan manusia yang hidup di bandar hari ini tidak lagi mampu memiliki rumah (sewa bukan memiliki). Mereka bekerja dalam ekonomi yang tidak memberikan mereka ruang masa. Mereka tinggal di rumah yang sekadar menjadi tempat tidur sebelum kembali bekerja semula. Mereka menjadi warga dalam sistem yang semakin terasa asing terhadap kewujudan mereka sendiri.

Pada bahagian klimaks The Odyssey, Homer menunjukkan bagaimana institusi politik yang gagal akhirnya membuka jalan kepada keganasan. Ulysses akhirnya pulang ke Ithaca, pulang ke rumahnya. Kepulangannya bukanlah suatu sisi sentimental seorang suami semata-mata. Kepulangannya ialah suatu tuntutan kembali terhadap kedaulatannya yang sah sebagai waris pemerintah Ithaca. Oleh itu, para pelamar yang berkampung di rumahnya tidak dibicarakan. Mereka tidak diadili secara demokratik. Mereka dibunuh.
Hal ini menunjukkan sesuatu yang sangat gelap dalam The Odyssey. Apabila sesebuah sistem pentadbiran gagal terlalu lama, masyarakat akhirnya mengambil kekerasan sebagai bentuk penyelesaian. Dan, bukankah sejarah moden penuh dengan keadaan sedemikian?
Apabila sesebuah institusi kehilangan kepercayaan rakyat, manusia mula mencari “penyelamat”, “orang kuat” ataupun bentuk autoriti keras yang mampu “membersihkan sistem”. Dalam keadaan tertentu, keganasan mula kelihatan lebih rasional daripada tatacara sedia ada. Homer memahami psikologi ini, ribuan tahun, sebelum teori politik moden dilahirkan.
Oleh sebab itu, rumah Ulysses ialah suatu citra besar dalam karya agung ini. Rumah Ulysses menjadi suatu model miniatur negara yang kehilangan pusat moralnya. Sebuah ruang yang masih berdiri secara fizikal, tetapi sudah gagal mempertahankan kedaulatan, sempadan dan perlembagaannya.

Nota: Filem The Odyssey (2026), arahan Christopher Nolan yang mengadaptasi karya agung Yunani yang dibicarakan ini, watak Ulysses/Odyssey dilakonkan oleh Matt Damon.
_________________________
Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.