Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Aspek stamina yang merangkumi ketahanan mental, konsistensi dan komitmen dalam dunia kreatif menjadi elemen penting bagi mengekalkan kesinambungan seseorang penulis yang terus berdepan dengan pelbagai cabaran zaman.
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award (Malaysia) 2025, Sdri. Hafizah Iszahanid berkata, daya tahan mental yang tinggi mampu mendorong seseorang penulis untuk terus berkarya secara berterusan.
“Malah, ketahanan mental ini juga sebenarnya turut mendorong seseorang penulis itu untuk terus menghasilkan karya yang bermakna, apatah lagi ketika berdepan dengan anjakan paradigma yang sering kali tidak terduga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tamu undangan bagi program Sesi Dialog dari Pena Penulis (Siri 1) yang berlangsung di Pawagam Mini, Aras 4, Anjung Bestari Perpustakaan Negara Malaysia, semalam.
Program tersebut diadakan bertujuan bagi memperkasakan budaya membaca dan penulisan di samping menyemai nilai perpaduan melalui karya sastera.
Pada masa sama, Hafizah yang mula menulis karya kreatif sejak umur belasan tahun turut berkongsi pengalaman, terutama kepada generasi penulis muda agar tidak takut untuk menceburi bidang penulisan.
Tambahnya, setiap individu boleh menulis kerana masing-masing mempunyai cerita, emosi serta pengalaman tersendiri yang boleh diadaptasi melalui pelbagai bentuk genre karya.
“Tinggal lagi bagaimana kaedah hendak menulis atau bercerita. Pengarang itu sebenarnya perlu berani untuk bercakap dan berani meluahkan perasaan kerana dengan keberanian itulah terhasilnya karya yang jujur,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan agar setiap penulis seharusnya berdiri dengan identitinya sendiri, bukan selamanya terpengaruh dengan karya-karya daripada tokoh sastera yang diminati dalam membentuk jati diri seseorang penulis.
“Maksudnya, mungkin pada peringkat awal itu kita mudah terikut-ikut dengan karya atau kaedah penyampaian oleh tokoh-tokoh yang kita minati. Itu perkara normal. Tetapi akhirnya kita tak boleh jadi orang lain. Kita kena jadi diri sendiri.
“Hal inilah juga satu masa yang akan membezakan kita dengan penulis-penulis lain dalam dunia kesusasteraan,” jelasnya.