Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Pilah – Pendeta Za’ba (1895 – 1973) atau Tan Sri Zainal Abidin Ahmad bukan sekadar tokoh cendekiawan dan pakar bahasa, malah beliau ialah seorang ahli moralis yang banyak menegur sikap dan cara pemikiran orang Melayu.
Hal ini dikongsikan oleh Presiden Benevolent Malaysia, YBrs. Encik Muhamad Hanapi Jamaludin, ketika tampil sebagai tamu Wacana Za’ba Pahlawan Bangsa sempena Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 peringkat Zon Tengah, Jumaat lalu.
Muhamad Hanapi berkata, tokoh itu “break the pattern” orang Melayu zaman dahulu, yang kebanyakannya bersifat anglophile.
“Beliau menguasai bahasa Inggeris dengan baik, tapi beliau tetap memperjuangkan bahasa Melayu kerana beliau percaya, tidak ada mana-mana bangsa yang besar dengan guna bahasa orang lain.
“Dan hal ini dibuktikan oleh negara seperti Jerman dan Jepun,” katanya dalam acara yang turut menampilkan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), YBrs. Puan Hajah Nisah Haron sementara Pengerusi Akademi Jawi Malaysia, YBrs. Encik Muhammad Syukrti Rosli, selaku moderator.
Muhamad Hanapi berkata, tulisan Za’ba tersebar luas dan tokoh itu juga seorang moralis, kerana kecenderungannya yang menegur sikap orang Melayu yang terbabas daripada agama.
“Hal ini boleh dilihat dalam tulisan-tulisannya yang menegur sikap orang Melayu berkaitan kemiskinan.
“Tulisannya, Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya, antara sumbangan beliau menggugah cara orang Melayu melihat kemiskinan,” katanya.
Sementara itu, Nisah ketika ditanya bagaimanakah tulisan Za’ba Ilmu Mengarang Melayu memberikan pengaruh kepada pengarang zaman selepas Za’ba berkata, naskhah itu secara tidak langsung mengajarnya apa-apa yang tidak dikuasainya.
“Pada peringkat awal menjadi penulis kita tidak perlu tahu sangat pasal nahu, ibarat kanak-kanak belajar berjalan.

“Tetapi seiring dengan waktu kita menambah pengetahuan mengenainya dan saya masih belajar mengenai tatabahasa hingga kini.
“Saya melihat perkataan ‘pengarang’ dan ‘penulis’ itu berbeza, tapi hari ini, kedua-duanya sama saja. Sebenarnya pengarang datang daripada perkataan karang (compose), jadi ada sentuhan krafnya,” katanya.
Tambah Nisah, bahan bacaan yang membentuk diri penulis, dan hal inilah yang memperjelas identiti karya, misalnya mengapa satu-satu perkataan itu dipilih dalam menulis.
Nisah berkata, hari ini walaupun Za’ba sudah meninggal dunia 50 tahun lalu, tetapi karya-karyanya masih kekal relevan kerana tokoh itu tidak menulis untuk populariti.
“Za’ba juga sebenarnya menguasai bahasa Inggeris dengan baik, malah beliau turut tampil dengan novel terjemahan pertama yang diterbitkan oleh DBP, Anak Raja Anak Papa,” katanya.