Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mohd Huzaire Ahmad, seorang guru dari SK Felda Mempaga 2, Pahang dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Deklamasi Sajak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (HOKU) Peringkat Kebangsaan 2025, selepas berjaya menewaskan 15 finalis lain pada peringkat akhir yang julung kali diadakan di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, baru-baru ini.
Kemenangan ini juga melayakkan beliau membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan.
Mohd Huzaire Ahmad mempersembahkan karyanya yang bertajuk “Kami Juga Manusia” yang penuh makna dan penghayatan mendalam dengan emosi sehingga berjaya memukau barisan juri serta penonton.
Pertandingan ini mendapat perhatian istimewa daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri apabila Mohd Huzaire Ahmad diberi kehormatan untuk mendeklamasikan semula sajak kemenangannya di hadapan dif kehormat semasa majlis penutupan sambutan tersebut.
Selain itu, pertandingan ini juga menyaksikan kejayaan sebanyak 16 peserta yang berani tampil ke hadapan untuk mempersembahkan karya masing-masing membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang bagi mereka untuk terus berkarya.
Usaha murni penganjur membawakan elemen sastera dalam sambutan HOKU dilihat sebagai langkah tepat dalam memartabatkan bakat golongan istimewa ini, sekali gus mengangkat suara mereka ke platform yang lebih tinggi.
Berdasarkan rekod, pertandingan ini merupakan satu daripada pengisian utama HOKU 2025 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang bertemakan “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial”. Tema ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan menerima golongan OKU sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak sosial.
