Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Malam Kota Buku 2025 anjuran Perbadanan Kota Buku (PKB) yang berlangsung pada 19 Disember 2025 lalu di pekarangan pejabat PKB berjaya menghimpunkan 1,000 pemain industri perbukuan dari seluruh negara.

Penganjuran majlis buat kali ketiga itu bertujuan memberikan penghargaan kepada pemain-pemain industri perbukuan yang memperkukuh perbukuan negara, memacu budaya membaca dan menyokong agenda pembinaan bangsa berilmu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis Malam Kota Buku 2025 di pekarangan pejabat Perbadanan Kota Buku.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmiannya menyifatkan penganjuran majlis ini sebagai langkah konkrit membina Malaysia sebagai bangsa pembaca selain menjadi pentas kebangsaan yang meraikan buku dan merangka hala tuju industri perbukuan negara.

Beliau juga mengiktiraf PKB sebagai rakan strategik yang bukan sahaja menganjurkan program fizikal, malah membangunkan prasarana digital perbukuan bagi melaksanakan inisiatif kerajaan secara teratur, telus dan berkesan agar capaian ilmu tidak terhenti kerana jarak.

Selain itu, turut diadakan pengumuman dan pembentangan hala tuju strategik industri perbukuan melalui PKB oleh Ketua Pengarah Eksekutif PKB, YBrs. Puan Adibah Omar. Beliau mengetengahkan pencapaian PKB sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membangunkan prasarana dan pelaksanaan program bacaan secara tersusun.

Pencapaian PKB turut diperkukuh melalui kejayaan platform Book Capital yang menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai First Unified Digital Book City Platform selepas mencatat pertumbuhan terpantas dengan sejuta pengguna dalam tempoh 10 bulan, sekali gus mengesahkan keupayaan agensi tersebut membangunkan prasarana bacaan digital bertaraf serantau.

Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil ASEAN Records kepada YB Fadhlina Sidek bagi pihak PKB.

Antara pengiktirafan lain termasuklah Anugerah Kota Buku kepada pemain industri cemerlang, pengiktirafan Mini Kota Buku yang memperluas capaian bacaan di sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak, serta Anugerah VIP Buyers 2025 yang mengiktiraf penggunaan efektif Geran Per Kapita sekolah melalui platform Book Capital.

Anugerah VIP Buyers 2025 diungguli oleh Sekolah Kebangsaan Inarad, Sabah berdasarkan pelibatan aktif dan penggunaan strategik Geran Per Kapita bagi pembelian bahan bacaan, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan digital PKB dalam memperkasa sekolah luar bandar.

Kredit Foto: Perbadanan Kota Buku, Naim al-Kalantani
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi