Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cahaya Jais mendapat iktibar setelah membaca karya penting Pendeta Za’ba, Perangai Bergantung pada Diri Sendiri.

Kuatkan keupayaan diri mendekati isu dengan jalan fikiran yang lebih kritis. Kemudahan hujung jari ini sepatutnya lebih membuatkan kita aktif mencari jalan, bukan lebih menyesatkan.

Seorang pemikir agung dan sasterawan yang jauh melangkaui zamannya, pernah menegur satu perangai manusia yang terlalu akrab dengan kita – perangai suka bergantung pada orang lain. Aneh sekali, teguran beliau ini bukan sahaja relevan ketika ditulis hampir seabad lalu, tetapi masih menggigit kita hingga hari ini. Jika ada sesuatu yang kita benar-benar berjaya warisi daripada nenek moyang kita, barangkali ialah tabiat suka lepas tangan ini.

Buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri, karya agung Za’ba yang sudah entah berapa lama menguburkan diri di rak buku saya, kini bangkit semula darpadai tidur panjangnya. Meskipun usia penulisannya sudah melangkaui 90 tahun, ternyata tulisan Za’ba ini tidak lapuk dek zaman.

Malangnya, isu yang dibangkitkan beliau – sikap malas berdikari dan suka berharap pada bantuan orang lain – juga tidak berubah. Tabiat ini, menurut Za’ba, bukan sahaja membebankan orang di sekeliling, tetapi juga membantutkan kemajuan individu dan masyarakat.

Za’ba, dengan penanya yang tajam, menekankan idea bahawa kunci untuk menguasai hidup adalah dengan memanfaatkan kuasa pemikiran, yang secara tidak langsung membantu menyemai falsafah dan sikap orang yang positif dan berjaya. Beliau percaya bahawa setiap individu memiliki kuasa mengendalikan tindakan dan sikap masing-masing.

Belajar daripada Bayi: Takkan Jatuh, Bangun Pun Nak Berteman?

Za’ba memberikan analogi yang mudah tetapi tajam: seorang bayi belajar berjalan dengan keinginan untuk tidak dipimpin. Bayi, walaupun kecil dan tidak tahu apa-apa, memiliki naluri untuk mencuba. Apabila terjatuh, dia akan menangis, tetapi lama-kelamaan dia akan bangun sendiri dan cuba melangkah lagi.

Kalau budak itu jatuh yang tiada parah, tak usahlah dibangunkan, diambil, digosok, dipujuk, dan sebagainya; biarkan dia sehingga dia bangun sendiri dan diam daripada menangisnya itu sendiri.

Sayangnya, semakin bayi itu membesar, sikap bergantung pada diri sendiri itu mulai luntur. Hal ini tanpa sedar bersangkut paut dengan kurangnya usaha melentur buluh dari rebung, tidak melatih anak-anak untuk percaya diri dengan belajar berusaha dan menguruskan sesuatu hal sendiri.

Kita terlalu sibuk melindungi anak-anak sehingga lupa mengajar mereka berdikari. Kita tidak biarkan mereka berasa susah. Kita takut mereka kecewa. Dari kecil, kita membiasakan mereka untuk meminta-minta dan bergantung pada orang lain. Lalu, kita membesarkan anak-anak yang akhirnya lebih tahu mengeluh daripada berusaha, lebih pandai meminta daripada memberi. Kesannya apabila melonjak dewasa, mereka lebih selesa mengharapkan segala-galanya datang bergolek – rezeki, kejayaan, malah kadangkala kebahagiaan.

Sering kita dengar alasan seperti “kalau ada rezeki, adalah” namun, sejauh mana kita berusaha? Za’ba mengingatkan bahawa sikap ini ialah racun yang melemahkan individu, secara tidak langsung menjadi karsinogen yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya, membiak sebagai kanser yang tanpa sedar menjadi budaya dalam hidup mereka.

Lebih membimbangkan, sikap ini tidak terhad pada individu. Sikap ini sudah merebak menjadi mentaliti kolektif, apabila sebuah masyarakat terperangkap dalam sindrom “menunggu bantuan luar” tanpa inisiatif untuk mencari penyelesaian sendiri. Pasti kerap kita dengar terdapat aduan meminta pihak atasan menyelesaikan masalah kecil atau kegagalan yang disalahkan pada orang lain, tanpa melihat kelemahan sendiri, bukan?

Taklid Buta: Kita Bukan Boneka, Kita Ada Akal

Bergantung pada diri sendiri, menurut Za’ba, ialah soal memerdekakan diri. Hal ini bukan hanya bermaksud bebas daripada kebergantungan fizikal atau material, tetapi juga pemikiran. Za’ba membidas kebiasaan menerima sesuatu tanpa usul periksa. Tidaklah kita hanya membabi buta menerima setiap ilmu, berita atau informasi tanpa memeriksa kesahihan atau membuat rujukan. Sikap ini, yang beliau gelar sebagai “taklid buta” ialah satu lagi manifestasi kebergantungan yang merugikan.

Pendeta Za’ba

Akal tidak dinikmatkan kepada manusia dengan sia-sia. Akal datang dengan tanggungjawab untuk uji-timbang benar salahnya akan sesuatu perkara. Tidak salah untuk mempersoalkan andaian dan mencari bukti sebelum menyimpulkan pendapat. Lebih-lebih lagi kita kini sedang berada dalam zaman maklumat salah dan berita palsu tersebar dengan jayanya, yang sering membawa pada kepercayaan dan tindakan yang sesat.

Kita membaca tajuk berita, terus percaya. Kita mendengar teori konspirasi, terus angguk. Kita rela menjadi boneka dalam arus propaganda yang mudah dimanipulasi oleh maklumat palsu atau ideologi yang merosakkan.

Za’ba menyeru agar kita berhenti menjadi hamba pada kebiasaan dan amalkan sikap mula bertanya dan mula mencari kerana jika salah cara, kita akan mudah terperangkap dalam kebohongan. Jika kita berani berfikir, dunia akan menjadi medan ilmu yang luas tanpa batas.

Kuatkan keupayaan diri mendekati isu dengan jalan fikiran yang lebih kritis. Kemudahan hujung jari ini sepatutnya lebih membuatkan kita aktif mencari jalan, bukan lebih menyesatkan.

Pemikiran Kritis dan Rasional: Manifestasi Berdikari

Pemikiran kritis dan rasional bukan sekadar alat untuk memahami dunia, pemikiran begini menjadi benteng perlindungan daripada manipulasi. Namun begitu, berapa ramai antara kita yang rela bersusah payah untuk memahami sesuatu secara mendalam? Mungkinkah kita lebih selesa menjadi pengikut, daripada menjadi peneroka?

Selain menjadi asas pada kebebasan sebenar, berdikari secara intelektual membolehkan seseorang membuat keputusan yang bijak dan tidak mudah dipengaruhi. Seseorang yang mampu bergantung pada dirinya sendiri untuk mendapatkan ilmu dan memahami isu lebih cenderung menjadi individu yang berprinsip dan tidak mudah goyah.

Za’ba menyeru kita supaya bersikap seimbang dalam memahami sesuatu isu. Sikap terbuka dalam berfikir melahirkan individu yang ringan tulang menyelidik dan mencari kesahihan sesuatu maklumat. Sifat ini sekali gus menghalang kita daripada menjadi buta hati, terlalu emosi atau dogmatik.

Tanggungjawab Dunia dan Akhirat: Siapa Nak Tolong Kalau Bukan Diri Sendiri?

Za’ba juga menyentuh aspek spiritual dalam berdikari. Beliau dengan tegas menempelak tabiat bergantung pada doa atau amal orang lain untuk memastikan kebahagiaan di akhirat. Contoh paling popular ialah meminta dan berharap pada sedekah “Fatihah dan Yasin orang yang masih hidup. Sikap seperti ini ialah cerminan kebergantungan yang paling parah.

Bergantung pada diri sendiri dalam konteks ini bermaksud rajin berusaha memperbaiki diri, melakukan kebaikan dan melengkapkan diri dengan ilmu serta amal. Bukankah pelik apabila kita malas berusaha tetapi berharap untuk “menumpang pahala” daripada doa orang lain, malah ada yang sekadar mahu mengharapkan syafaat Rasulullah SAW semata-mata?

Pada masa sama, beliau juga menegur sikap segelintir masyarakat yang terlalu bergantung pada doa, tetapi tidak mahu berikhtiar. Za’ba bukan menolak kepentingan doa, tetapi beliau menekankan bahawa hal itu harus disertai dengan usaha. Cuba kita renung kembali, berapa kali kita berdoa panjang tetapi enggan memulakan langkah pertama?

Menunggu Durian Jatuh atau Mendaki Puncak?

Hal ini mungkin terdengar seperti air yang membasah tekak sebentar, tetapi jika direnung dan diamalkan, ia mampu menjadi benih perubahan besar.

Za’ba menggunakan analogi lain yang mudah – mendaki untuk menikmati pemandangan indah. Tegasnya, keindahan hanya datang kepada mereka yang berani melangkah, yang gigih mendaki. Akan tetapi dalam realiti masyarakat kita, berapa ramai yang lebih suka menunggu nasib baik datang bergolek?

Sikap “menunggu durian runtuh” ini masih kuat berakar dalam pemikiran kita. Kita lebih selesa menunggu bantuan atau bergantung pada pihak lain daripada memulakan inisiatif sendiri. Lebih malang, apabila durian tidak jatuh, kita menyalahkan orang lain. Kita marah pada takdir. Kita mengeluh pada sistem. Kita menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri, tetapi jarang sekali kita bertanya, ‘Apa yang aku buat untuk mengubah keadaan ini?’

Berdikari sebagai Tunggak Bangsa

Za’ba tidak pernah menyarankan individualisme melampau. Beliau sedar bahawa kebersamaan itu penting. Namun begitu, beliau percaya bahawa kekuatan kolektif hanya boleh dicapai apabila setiap individu dalam masyarakat berdikari dan memainkan peranan mereka.

Beliau mengibaratkan individu sebagai rebung yang harus dilentur menjadi buluh. Jika setiap rebung dilentur dengan betul, ia akan menghasilkan rumpun buluh yang kukuh. Tetapi apa yang terjadi jika rebung itu dibiarkan kaku dan rapuh?

Individu yang tidak berdikari melemahkan pasukan, dan masyarakat yang tidak mempunyai daya tahan individu akan sukar bertahan menghadapi cabaran global. Za’ba telah meramalkan perkara ini, tetapi nampaknya kita ibarat itik mendengar guruh.

Warisan Za’ba yang Perlu Dihayati

Za’ba meninggalkan kita dengan pesan keras tetapi penuh kasih: berdikari ialah jalan menuju kemerdekaan diri. Namun begitu, masih ramai yang belum bebas daripada belenggu meminta-minta dan bertadah-tadah berkehendakkan pertolongan orang lain. Bersepanduk sana sini mengharapkan ada yang bersimpati dan dengar nasibnya, tetapi enggan berasa susah, tidak mahu sakit tulang menggunakan daya upaya sendiri, tidak mahu pening kepala mengerah akal ikhtiarnya. Jelas sekali, tegur-ajar sasterawan ini sekadar mencurah garam ke laut.

Beliau merakamkan pandangan ini berpuluh tahun lalu, tetapi sifat ini—takut mencuba, gayat membuat silap, menunggu bulan jatuh ke riba—masih membobok kita.

Pesan Za’ba jelas: keberhasilan, baik di dunia mahupun akhirat, hanya terjamin jika kita sendiri yang berusaha. Hal ini mungkin terdengar seperti air yang membasah tekak sebentar, tetapi jika direnung dan diamalkan, ia mampu menjadi benih perubahan besar.

Sudah tiba masanya kita mengangkat kembali falsafah ini sebagai panduan, bukan sekadar bacaan nostalgia. Jika kita benar-benar mahu maju, jawapannya sudah lama Za’ba sampaikan—kita hanya perlu mendengarnya semula.

Beli buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri di sini.

_________________________

Cahaya Jais ialah penulis kumpulan puisi Tubuh Yang Tak Ingin Lagi Bersamaku (Obscura, 2022). Karya ecerannya pernah tersiar dalam beberapa antologi berkumpulan serta media massa.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi