Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Perjuangan selama hampir dua dekad akhirnya membuahkan hasil apabila Mohamad Daud Ahmad yang mewakili negeri Sarawak dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-39 Peringkat Kebangsaan 2025 pada 16 Ogos 2025, bertempat di Hotel Grand Swiss-Belhotel.
Dalam sayembara anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut, Mohamad Daud mendeklamasikan sajak berjudul “Rukun yang Kita Yakini” karya Abdul Hadi Yusoff.
Beliau berjaya membawa pulang hadiah berupa Piala Pusingan Timbalan Perdana Menteri, wang tunai RM5,000.00, piala, sijil penghargaan dan hadiah iringan.
Abdul Hadi Yusoff selaku penulis sajak turut menerima cenderahati istimewa atas kemenangan tersebut.
Naib johan pula disandang oleh wakil negeri Terengganu, Nor Atiekah Hidayah Hussain yang mendeklamasikan sajak berjudul “Pembawa Pesan Penyair” nukilan Zainal Rashid Ahmad.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00, piala dan hadiah iringan.
Deklamator yang mewakili negeri Pahang pula, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman memenangi tempat ketiga dengan deklamasi sajak berjudul “Keberanian” karya A. Aziz Deraman.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.00, piala dan hadiah iringan.
Sementara itu, hadiah sagu hati dimenangi oleh Elvienie Petrus yang mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dengan sajak berjudul “Negaraku, Madani” karya Solihin Osman; Najmi Adli Mustaffa, mewakili Negeri Sembilan dengan sajak berjudul “Sanggar Nusa” karya Jamilah Harun; dan Atikapuspha Sarkawi Ramli, mewakili negeri Johor dengan sajak berjudul “Matahari di atas Bahu” karya Zaifulnizam Wagiran.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.00, piala dan sijil penghargaan.
Sebagai rekod, sayembara ini menampilkan 17 peserta mewakili seluruh negeri di Malaysia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendeklamasikan sajak-sajak daripada Antologi Puisi SDPK: Ke Sarang Cenderawasih terbitan GAPENA pada tahun 2023.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia yang turut disaksikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari; Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Datuk Wira Borhan, dan Pengarah SDPK ke-39 Peringkat Kebangsaan 2025, YBrs. Encik Azmi Ismail.